Salah Dr. M, Azmin saja? - Utusan Malaysia

Salah Dr. M, Azmin saja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi

Naratif populis terhadap kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebutkan sebagai salah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR) dalam ‘silat Sheraton’ mereka. Siapa yang kata demikian? Rakyat, masyarakat sivil, pimpinan PH dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sendiri. Cerita Dr. Mahathir yang merupakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Mohamed Azmin sebagai dalang utama kejatuhan PH memang mempunyai fakta dan teori yang kuat. Saya sendiri pun tidak menolaknya langsung. Satu kampung pun sudah tahu. Namun saya hendak menbuat analisis berbeza dengan membuat cadangan bahawa rakyat, masyarakat sivil, pimpinan PH dan Anwar sendiri juga memainkan peranan yang amat besar dalam kejatuhan PH.

IDEALISME

Pertama, saya ingin menyatakan tentang masyarakat sivil dan peranannya dalam kejatuhan PH. Masyarakat sivil merupakan segelintir rakyat yang mempunyai idealisme besar dan yakin terhadap prinsip kesejagatan dan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, agama dan status ekonomi seseorang. Aktivis-aktivis ini memperjuangkan hak sama rata dengan cekal dan penuh komitmen. Lihat saja demonstrasi Bersih yang menguningkan Kuala Lumpur dan serata pelosok dunia. Fenomena ini tidak termimpi melainkan hanya selepas Reformasi Anwar bergema di ibu kota setelah beliau ‘direnyah’ oleh Dr. Mahathir.

Apabila PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), masyarakat sivil telah membuat kesilapan besar. Ia tidak sabar untuk membuat perubahan bagi memastikan keadilan dan kesamarataan yang tidak diperoleh sebelum ini. Aktivis-aktivis mengkritik pimpinan PH terutama Dr. Maszlee Malik (ketika itu Menteri Pendidikan) saban hari. Perubahan cepat yang dikehendaki tanpa mengikut perubahan budaya secara perlahan-lahan mengakibatkan orang Melayu menjadi takut dan termakan berita-berita palsu dan fitnah menerusi media sosial. Kritikan terhadap pemimpin Melayu seperti Maszlee juga membuatkan orang Melayu marah yang menganggap perbuatan tersebut sebagai biadab. Tambah lagi serangan bukan Melayu terhadap Dr. Zakir Naik (pendakwah Islam) dan Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) menaikkan kemarahan orang Melayu. Walaupun Mohd. Asri dan Zakir memang jelas menghina kaum lain tetapi ini tidak diendahkan kerana bukan Melayu tidak patut menghina tokoh Melayu dan Islam. Isu seperti kahwin bawah umur tidak dibawa kepada perdebatan dan mesyuarat ulama tetapi dibuatkan undang-undang secara terus. Masyarakat sivil perlu lebih memahami budaya Melayu dan Islam dan bersabar dalam membuat perubahan dengan cara dialog, mesyuarat, forum yang diadakan dengan adab-adab yang baik pada masa hadapan.

KURANG ADAB

Orang bukan Melayu merupakan golongan yang paling ramai menyokong PH. Apabila kemenangan (PH) tercapai, rakyat merasakan perubahan telah berlaku maka mereka bertindak. Di media sosial, ramai yang mula bersikap kurang beradab dalam membuat komen tentang Islam dan personaliti Islam. Ada juga beberapa orang yang menghina Islam dan Nabi Muhammad. Walaupun satu, dua orang bukan mewakili seluruh golongan kaum itu tetapi kaum Melayu yang cepat baran terus menyahut panggilan jihad atau panggilan demonstrasi oleh puak-puak politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memang kerja saban harinya adalah ‘mencari pasal’. Orang bukan Melayu perlu lebih bersikap sabar dan beradab ketika membuat komen dalam media sosial. Jangan jadikan media sosial akhirnya media ‘sial’ bagi diri dan kaum mereka. Isu tulisan Jawi dalam pendidikan perlu ditangani dengan berhemah dan perlu melibatkan semua kaum dan bukannya satu kaum sahaja. Walaupun PH bersikap terbuka, orang Melayu yang berpendidikan tinggi masih lagi berperangai ‘kampung’ dalam hal budaya, sejarah dan nilai hidupnya.

MUSUH

Pemimpin PH yang menjadi menteri juga perlu dipersalahkan dalam kejatuhan PH. Terutamanya geng Parti Amanah Negara (Amanah) yang tidak reti langsung berperang tentang isu Islam. Apabila naratif Islam ekstremis dilaungkan, mereka duduk dalam pejabat dan bergerak dari bilik mesyuarat ke dewan perasmian. Tidak ada satu strategi langsung bagi jentera kerajaan dan jentera parti digerakkan untuk melawan dan menangkis serangan musuh. Yang sibuknya adalah melantik ‘kawan-kawan’ ke sini dan ke sana. Keduanya pula, pimpinan bukan Melayu yang menjadi menteri dalam kalangan DAP tidak tahu untuk merapatkan jurang budaya dengan kakitangan Melayu yang ramai dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan negeri. Menteri-menteri DAP ini walaupun rajin-rajin belaka, sepatutnya melantik satu kumpulan Melayu profesional yang memihak kepada PH untuk berdepan kakitangan awam. Oleh kerana kakitangan awam tidak mengenali orang DAP, maka mudah mereka mempercayai propaganda UMNO, Pas yang menggalakan mereka memusuhi ‘golongan kafir’ ini.

TAKTIK POLITIK

Akhir sekali kita lihat kesalahan ‘Pak Sheikh’ Anwar. Beliau tahu yang Mohamed Azmin dan gengnya akan keluar bersama Bersatu suatu ketika nanti. Biasanya satu taktik politik adalah membuat tawaran lumayan kepada geng Mohamed Azmin sehingga tinggal seorang dengan Zuraida Kamaruddin (bekas Naib Presiden PKR). Tetapi Anwar tidak begitu. Anwar tetap hendak menjadi Perdana Menteri walaupun beliau jelas tiada sokongan. Kalau Anwar tidak mendesak dan membiarkan Dr. Mahathir memerintah, maka Mohamed Azmin akan di-checkmate, tidak boleh bergerak. Perikatan Nasional tidak akan tertubuh.

Akhir sekali, jika kita amati, walaupun Dr. Mahathir dan Mohamed Azmin wujud atau tidak, saya kira, PH akan jatuh juga. Rakyat dan masyarakat sivil yang kurang matang serta pimpinan politik PH yang tidak faham budaya Melayu serta tidak reti nak berperang atau berkawan menjadikan politik Malaysia kucar-kacir. Jika keempat-empat pemain utama ini tidak mengubah pendirian dan muhasabah diri, tidak akan ada erti kemenangan yang jelas bagi Malaysia pada masa hadapan.

PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis dalam media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya