Arwah kerap kongsi nasihat mengenai kematian

Balai polis diserang: Arwah kerap kongsi nasihat mengenai kematian

NUR Azza Assyaqiren Azhar ketika ditemui di Jalan Kampung Poh Tambahan 1 Bidor, Tapah, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, yang maut dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi semalam seorang yang peramah dengan keluarga dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, kakak sulungnya, Nur Azza Assyaqiren Azhar, 29, berkata, beberapa minggu kebelakangan ini, ke­lakuan arwah agak pelik ke­rana selalu menulis dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengenai kematian.

“Arwah sebenarnya kerap WhatsApp dan membuat panggilan video dalam kumpulan WhatsApp keluarga, boleh dikatakan setiap hari.

“Namun, beberapa minggu akhir-akhir ini, beliau selalu menulis dan menghantar gambar dalam kumpulan WhatsApp mengenai kematian.

“Saya dan ahli keluarga lain turut berasa pelik namun mungkin sifat Allahyarham yang suka bergurau dan amat sayang kepada keluarganya menyebabkan kami menganggap ia sebagai satu nasihat,” katanya ketika ditemui di Jalan Kampung Poh Tambahan 1 Bidor di sini semalam.

Jelasnya, status WhatsApp Allahyarham Ahmad Azza Fah­mi juga banyak memuatkan gambar dan kata-kata nasihat mengenai kematian.

Katanya lagi, Allahyarham Fahmi memang bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis sejak kecil.

“Beliau memang ingin menjadi seorang anggota polis dan berusaha sendiri dengan menjalani temuduga, latihan fizikal sehingga terpilih.

“Sebaik sahaja ditawarkan bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, arwah berasa amat gembira.

“Beliau menghulurkan duit kepada ayah, ibu dan atuknya tanpa gagal sepanjang lebih dua tahun bertugas di balai polis itu,” katanya.

Tambah Nur Azza Assyaqiren, kenangan terakhir berjumpa dengan arwah ialah semasa Ramadan lalu.

“Arwah seorang yang senang dan mudah, tidak berkira mengenai makanan dan sebagainya.

“Cuma syaratnya dimasak oleh ibunya kerana katanya masakan ibu tiada tandingannya di dunia,” katanya.

Kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi semalam mengorbankan dua anggota polis manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas premis tersebut diceroboh individu bertopeng.

Salah seorang anggota yang terkorban ialah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang berasal dari Kampung Poh Tambahan 1 di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×