Cerita ibu mengidam bukti masyarakat silam kreatif

Cerita ibu mengidam bukti masyarakat silam kreatif

BUKU Katha Sarit Sagara turut menyajikan cerita rakyat tentang wanita mengandung mengidam sesuatu yang aneh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM karya klasik India berbahasa Sanskrit dan Prakrit, konsep ‘mengidam’ dalam kalangan wanita mengandung dikenali sebagai dohada. Terjemahan langsung istilah itu ialah hati yang berbelah bagi tetapi sering digunakan untuk merujuk situasi wanita mengandung yang mengidam sesuatu.

Sekiranya apa yang diidam si bakal ibu tidak dipenuhi, kononnya janin dalam kandungan akan berduka. Maka, dalam tradisi India sejak dahulu, si suami diwajibkan memenuhi permintaan isteri yang mengidam sesuatu.

Kita tentu pernah terdengar kes wanita mengandung mengidam benda yang pelik seperti tanah liat. Perkara seperti ini memang direkodkan dalam karya klasik India seperti Raghuvansa.

Maurice Bloomfield (1855-1928) yang mengkaji karya klasik India menyebut dalam tulisannya, Journal of the American Oriental Society (1920) bahawa ada enam motif bagaimana babak wanita mengidam dihadirkan dalam cerita rakyat.

Motif sama boleh kita lihat dalam karya klasik di Malaysia dan Indonesia kerana memang banyak dipengaruhi hikayat dan epik dari Benua Kecil India.

Dalam situasi pertama, permintaan si isteri akan menyebabkan kecelakaan kepada si suami atau lelaki itu berdepan situasi penuh bahaya.

Misalnya, dalam sebuah cerita rakyat Sri Lanka, seorang puteri yang mengandung mengidam makan buah ‘damba’. Semasa dia memanjat pokok untuk memetik buah, datang seekor harimau kumbang.

Puteri itu mengikut harimau kumbang ke dalam gua secara sukarela. Tidak lama kemudian, harimau itu dibunuh tujuh abang kepada puteri berkenaan.

Dalam tradisi Buddha dan Jain pula ada cerita tentang permaisuri mengandung dan mengidam mahu minum darah dari lutut kanan raja. Raja membenarkan walaupun sedar ada malapetaka menanti.

Apabila dewasa, si putera membunuh raja berkenaan. Kisah ini ada dalam pelbagai variasi di India. Motif utama adalah anak yang lahir akhirnya menjadi punca kematian si bapa.

Dalam situasi kedua, susulan si isteri mengidam, si suami terlibat dalam peristiwa yang menjadikannya muncul sebagai wira atau menerima ilmu sangat berguna.

Ada kisah tentang seorang wanita miskin mengidam buah mangga. Dia mendesak suaminya mencuri buah mangga di halaman istana. Dengan berat hati, si suami memanjat pokok mangga pada waktu malam.

Pada waktu itu, raja berangkat ke halaman istana bersama dua guru agama untuk sesi mengaji. Raja duduk di kerusi tinggi manakala dua guru duduk di lantai. Si lelaki di atas pokok sangat marah lalu segera turun dari pokok. Dia mengingatkan raja bahawa kedudukan guru sebagai penyampai ilmu perlu dihormati dan diberi kedudukan tinggi.

Raja kagum dengan pengajaran itu yang membuka minda. Lalu, lelaki itu dilantik menjadi penasihat diraja. Maka, episod si isteri mengidam buah mangga membawa kebaikan kepada suaminya.

Situasi ketiga pula menyaksikan wanita mengandung mengidam mahu melakukan perkara yang ada kaitan dengan ritual agama. Perkara ini sering muncul dalam cerita berunsur ajaran Buddha dan Jain.

Misalnya, wanita itu mungkin mengidam mahu melakukan upacara pemujaan khas atau pergi bersembahyang di kuil yang jauh. Ada juga kisah wanita mengandung mahu memberi makan atau bersedekah kepada golongan miskin.

Kategori keempat kisah berkaitan wanita mengandung mengidam sesuatu yang aneh dapat dilihat paling jelas dalam cerita rakyat yang turut saya sajikan dalam buku berjudul Katha Sarit Sagara (2023).

Misalnya, semasa watak Vasavadatta mengandung, dia mengidam untuk mendengar pelbagai cerita tentang bidadari, kayangan dan sebagainya. Watak Alamkaraprabha pula mengidam menaiki kenderaan magis berbentuk teratai yang boleh terbang.

Insiden mengidam seperti ini dilihat hanya sebagai penghias cerita dan tidak membantu mengembangkan plot atau jalan cerita.

Keadaan kelima pula agak berbeza kerana wanita mengandung itu pura-pura mengidam untuk membantunya mencapai sesuatu hajat atau memenuhi keinginan.

Cerita-cerita Jataka memang ada banyak contoh. Misalnya, Permaisuri Khema bermimpi bertemu burung, angsa atau rusa emas yang pandai berkata-kata.

Maka, dia berpura-pura mengidam dan mendesak Raja Samyama mendapatkan angsa emas. Akhirnya, angsa emas itu berjaya ditangkap dan menyampaikan ilmu undang-undang kepada pasangan diraja.

MANDUL
Ada pula kisah dalam Nigrodha Jataka tentang seorang wanita mandul berpura-pura mengandung dan mengidam benda yang pelik-pelik. Selepas sembilan bulan, dia terjumpa bayi yang dibuang di bawah pokok lalu membawanya pulang sebagai anak sendiri.

Cerita rakyat dari India Selatan dan Sri Lanka pula tentang seorang wanita yang dikahwini ketua kampung. Dia berpura-pura mengandung dan kononnya mengidam untuk makan bintang di langit.

Si suami meninggal dunia selepas bertahun-tahun cuba mencari titik temu langit dan bumi untuk memetik bintang. Balu itu dikahwini pula oleh seorang raja.

Kali ini dia berpura-pura mengidam mahu makan pasir dari dasar lautan. Si raja mati lemas dalam usahanya. Suami ketiga pula diminta mencari objek bernama Nikini. Akhirnya, lelaki itu tahu isterinya ada kekasih gelap.

Kategori keenam ialah situasi wanita mengandung ditipu sehingga mempercayai apa yang diidam sudah dimiliki. Dalam satu cerita, seorang isteri muda mengidam mahu minum bulan di langit.

Maka, sebuah pondok khas dibina dengan satu lubang di bumbung. Apabila bulan mengambang, cahaya bulan masuk dan menimpa segelas susu. Wanita mengandung diminta minum susu itu. Sedikit demi sedikit, lubang pada bumbung ditutup. Wanita itu menyangka dia sudah berjaya minum bulan dan tidak lagi mengidam apa-apa.

Kisah-kisah seperti ini mungkin dianggap lucu dan tidak logik pada masa sekarang. Akan tetapi, ia membuktikan daya imaginasi dan kreativiti tinggi dimiliki masyarakat silam.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×