JOHOR BAHRU: Ahli keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi tidak bersekolah secara formal dan tidak bercampur dengan masyarakat setempat.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Fauzi Faizal, 39, memberitahu, kesemua adik beradik suspek dididik sendiri oleh ayah mereka yang juga dipercayai merupakan Jemaah Islamiyah (JI).
“Mereka adik beradik dipercayai tidak mendapat pendidikan persekolahan yang formal, sebaliknya dididik oleh bapa mereka sendiri.
“Dipercayai dengan ajaran yang ekstrimis,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Sungai Tiram, di sini.
Fauzi yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Tiram turut memberitahu, kejadian tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
Sementara itu, Ketua Kampung Ulu Tiram, Shazrul Idham Abd. Aziz, 41, pula memberitahu, pihaknya turut berharap polis dapat menjalankan siasatan dengan sebaiknya.
“Kejadian ini merisaukan penduduk, tetapi saya yakin polis akan ambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat dan menjaga keamanan serta keharmonian penduduk kampung,” ujarnya. – UTUSAN










