Gunalah akal, bukan... - Utusan Malaysia

Gunalah akal, bukan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Marina Ibrahim mungkin masih baharu dalam pentas politik DAP jika dibandingkan dengan nama-nama pemimpin muda Melayu parti itu seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman; Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Ali dan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin. Ketika mengulas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar Kuching, Sarawak, minggu lalu, Marina, 32, tegas mempertahankan pendiriannya.

Menyentuh isu tersebut, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor itu menegaskan, gara-gara tindakan segelintir ahli parti tanpa memikirkan kesan akibat tindak-tanduk berkenaan boleh menghakis kepercayaan orang Melayu terhadap DAP. Menyifatkan perkara sedemikian sebagai tidak wajar, anak kelahiran Kluang itu berkata, ia boleh menyebabkan usaha beliau bersama ahli-ahli parti untuk memikat orang Melayu terbantut.

“Kami sudah tiga langkah ke hadapan untuk meraih kepercayaan, tetapi akibat tindakan sesetengah orang, akhirnya kita telah 10 langkah ke belakang,” katanya ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI di Kulai, Johor, kelmarin.

PELEKAT TULISAN CINA

Semua pihak termasuk pemimpin DAP perlu berhati-hati sama ada ketika mengeluarkan pandangan atau keputusan dengan melihat sensitiviti kaum lain termasuk orang Melayu. Saya berpandangan, semua ahli DAP sebelum melakukan sesuatu tindakan, dia kena fikir dahulu kesan baik atau buruk. Tindakan itu nanti bukan mencerminkan diri dia sahaja sebaliknya mewakili parti juga. Jadi kena lebih berhati-hati dan saya percaya, pemimpin atasan juga sebelum ini ada banyak kes seperti ini. Mereka kini mengambil pendekatan mendengar pandangan orang bawahan terutama ahli-ahli DAP berbangsa Melayu.

Bagi saya, mereka (DAPSY) tidak boleh mengikut perasaan sehingga membelakangkan undang-undang kerana tindakan menampal pada papan tanda jalan merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT). Gara-gara perbuatan itu, sedikit sebanyak menjejaskan usaha saya dan ahli-ahli DAP Melayu lain yang selama ini berusaha meraih kepercayaan orang Melayu terhadap parti. Untuk mendapat kepercayaan sesetengah pihak bukan perkara mudah, namun untuk meranapnya boleh sekelip mata sahaja dengan kenyataan atau perbuatan tidak berasas. Kita sudah ke hadapan meraih kepercayaan, namun akibat tindakan sesetengah orang, akhirnya kita mundur 10 langkah ke belakang.

Saya ada mengulas isu tersebut menerusi hantaran dalam Facebook. Bukan niat saya untuk mencari simpati atau meraih sokongan orang Melayu kerana menentang perbuatan DAPSY berkenaan.
Tidak perlu itu semua sebab apabila melakukan satu-satu kerja, tidak perlu hendak suruh orang suka kepada kita. Misalnya ketika menjadi Ahli Majlis Daerah Kulai sebelum ini, sewaktu saya mula-mula anjur program, tidak ramai hadir memberi sokongan. Namun lama kelamaan, jumlah kehadiran ke program anjuran saya semakin meningkat.

Tidak kira parti mana sekali pun sama ada UMNO atau DAP, saya mengajak setiap pengundi untuk memilih calon yang boleh melakukan kerja kerana kelak yang terkesan adalah rakyat, bukannya pemimpin tersebut. Kalau kamu suka seseorang pemimpin, tapi dia gagal melakukan kerja, rakyat yang menerima akibatnya nanti. Oleh itu, rakyat kena bijak dan pilihlah mereka yang boleh selesaikan masalah.

ISU JAWI

Isu tulisan Jawi tidak wajar dipolemikkan oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin dan ahli DAP sendiri. Meskipun mereka berhak mengeluarkan kenyataan atas hak kebebasan bersuara, namun masing-masing perlu melihat kepada sensitiviti kaum itu sendiri.Ketika hendak mengeluarkan kenyataan, semula pihak perlu melihat bahawa rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan ada sensitiviti perlu dijaga. Dalam DAP sendiri, setiap bulan kita ada program dialog untuk pemimpin mendengar pendapat akar umbi. Bermula dari situ, saya jelaskan tentang isu Jawi dan kemudian beri penerangan serta maklumat. Akhirnya mereka faham apa sebenarnya tulisan Jawi.

Mengenal atau belajar tulisan Jawi tidak bermaksud proses Islamisasi berlaku, sebaliknya ia merupakan satu kesenian yang sama seperti kaligrafi tulisan lain yang merupakan warisan sejak zaman-berzaman. Pemahaman perlu dibuat agar mereka dapat mengetahui maksud tulisan Jawi itu sendiri. Bagaimana kita hendak memberi penerangan kepada orang bukan Melayu yang tidak pernah tahu tulisan Jawi dan untuk faham tulisan ini selain kita marah, caci dan maki hamun mereka? Apakah usaha kita untuk memahamkan mereka? Sebab itu bila Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sewaktu menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, dia turun padang ke setiap kawasan untuk beri penerangan tentang tulisan Jawi sewaktu tercetus isu ini.

Akhirnya mereka faham. Mereka kena faham yang tulisan Jawi ini bukan proses Islamisasi. Macam orang Kristian di Arab, mereka gunakan bahasa Arab. Adakah mereka Islam? Tidak. Begitu juga anak-anak Melayu yang belajar di sekolah Cina, adakah mereka dicinakan? Sudah tentu tidak.

Sehubungan itu, saya mengambil inisiatif dengan menganjurkan program mengajar tulisan kaligrafi termasuk Jawi melibatkan bukan Melayu seperti Cina dan India agar mereka faham identiti dan sejarah tulisan Jawi itu sendiri.Saya mengajak ahli-ahli politik agar mencari jalan keluar, berbanding menimbulkan polemik semata-mata mahu mengejar pengaruh masing-masing dalam isu membabitkan tulisan Jawi. Sesetengah pemimpin dan tokoh dilihat pilih bulu berhubung isu ini, khususnya jika melibatkan nama pemimpin DAP. Bila ada satu, dua pemimpin DAP cakap isu Jawi, mulalah dimainkan isu perkauman, sedangkan ramai pemimpin (DAP) mengetengahkan sokongan terhadap tulisan Jawi termasuk ahli Parlimen lain yang menganjurkan program tulisan Jawi.

MENGAPA PILIH DAP?

Selain sukakan cabaran, saya lihat keharmonian hidup berbilang kaum sekarang semakin hilang berbanding sewaktu kecil dahulu apabila semua kaum dapat hidup aman damai. Oleh itu, saya pilih DAP sebagai wadah politik kerana saya lihat DAP merupakan sebuah gagasan politik terdiri daripada pelbagai kaum walaupun sering ditohmah sebagai parti cauvinis dan parti kaum Cina.
Betul ke DAP parti untuk orang Cina sahaja? Saya anggap persoalan ini sebagai cabaran, lalu saya sertai DAP pada 2015. Namun lama-kelamaan saya lihat dakwaan itu tidak benar. Sekiranya dibiarkan persepsi perkauman terus berlaku, akhirnya apa yang akan jadi? Saya lihat semakin hari isu perkauman semakin menjadi-jadi. Sudah 2020 pun, bukan makin elok tetapi makin meruncing.

CALON PRU-15?

Saya menyerahkan kepada tampuk kepimpinan DAP berhubung kedudukan saya sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Seandainya khidmat saya diperlukan, saya bersedia pada bila-bila masa. Saya ingin membawa perubahan dalam kancah politik tanah air untuk menyatu-padukan semua kaum.

HALA TUJU POLITIK ANAK MUDA

Untuk mencipta perubahan, rakyat memerlukan anak muda sebagai pemimpin untuk membawa agenda dan pembaharuan dalam menentukan hala tuju negara. Saya lihat penglibatan anak muda dalam kancah politik perlu diperluaskan sama ada dalam Kabinet, ahli Parlimen, ADUN, Senator dan pelbagai jawatan lain agar visi dan misi mereka dapat diterapkan.

Prinsip saya, tiada parti yang salah (kelemahan) sama ada UMNO mahupun DAP, tetapi yang salah adalah orang dalam parti itu sendiri. Jadi sebagai anak muda yang terlibat dalam parti, kita perlu tanya kepada diri sendiri, mengapa kita terlibat dalam politik? Tidak kira dalam parti mana pun, mereka perlu ingat matlamat dan agenda menyertai politik. Seandainya anak muda salah tujuan, maka akan pincanglah hala tuju politik mereka.

Jika nak masuk politik untuk habuan tertentu, maka tujuan ini salah. Jadi, tiada parti yang bermasalah. Yang bermasalah adalah mereka yang terlibat dalam parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN