Tolak manifesto 'bulan bintang' - Utusan Malaysia

Tolak manifesto ‘bulan bintang’

TENGKU Razaleigh Hamzah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH bercakap pasal masa depan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dalam akhbar ini semalam, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu mengupas beberapa isu lagi. Ku Li, 83, antara arkitek pembangunan negara. Pengasas Petronas dan Bank Bumiputera yang bertanggungjawab melahirkan tokoh perbankan serta korporat orang-orang Melayu ini suatu ketika turut menyandang jawatan Pengerusi Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam pertemuan dengan wartawan ZULKIFLI JALIL, ZAAIN ZIN dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN di Langgak Golf, Kuala Lumpur Khamis lepas, Ahli Parlimen Gua Musang itu menyuarakan kebimbangan negara dalam mengharungi cabaran pasca Covid-19.

Juga berkisar soal ‘pengorbanan’, pilihan raya umum ke-15 dan pengamatannya terhadap bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini – yang suatu ketika menyaksikan pertembungan politik Clash of the Titans antara kedua-duanya dalam perebutan jawatan Presiden UMNO 1987.

Ikuti sedutan wawancara dengan Ku Li.

STRATEGI PRU-15

UTUSAN: Ku fikir PRU-15 akan berlaku dalam masa terdekat?
TENGKU RAZALEIGH: Terpulang kepada perhitungan Perdana Menteri. Apa saya fikir tak penting tetapi kita sekarang menghadapi keadaan begitu sukar sekali. Ia begitu kompleks. Bukan kita sahaja, Singapura pun menghadapi kemelesetan, separuh tahun 2020 ini KDNK nya merosot 42 peratus. Susah nak pulih tu. Negara kita ini akan ada masalah lebih besar.

Orang kata manifesto menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sudah tidak rele­van?
Ya, tak boleh. Kita boleh janjikan bulan dan bintang ketika zaman Tunku Abdul Rahman. Zaman tidak ada televisyen atau suratkhabar manakala ramai pengundi tidak sekolah. Sekarang ini ramai cerdik pandai, malah ramai pengundi lebih bijak daripada kita. Dan kita tak boleh bohong! Buat manifesto ikut suka hati. Kita kena realistik. Apa yang kita boleh buat, kita ajak rakyat menyokong dan menerimanya. Saya rasa tak boleh lagi buat manifesto macam PH buat. Tol hapus, ini hapus itu hapus. Senanglah janji begitu. Itu bukan janji bulan bintang lagi dah, tapi janji syurga.

Apakah itu menjadi punca 22 bulan sahaja PH tadbir negara?
Saya rasa itu sebahagian kecil sahaja. Yang besar kerana tak pandai melayan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Mengetepikan perasaan sehingga me­nimbulkan ketakutan di kalangan rakyat majoriti iaitu orang Melayu dengan tindakan dia terhadap Tabung Haji (TH), bantuan kepada sekolah Cina dan lain-lain. Ini menakutkan orang Melayu. Ini yang menyebabkan jatuh kerajaan PH dan bagi saya susah untuk mereka berkuasa balik. Mengikut perhitungan sayalah kerana rakyat dah rasa apa yang telah dia buat dan mungkin perkara itu akan diulangi. Saya rasa rakyat tak mahu beri dia kesempatan lagi sekali. Bukan dia tak tahu majoriti rakyat ialah Islam dan Melayu tetapi itu juga yang dia buat.

Di sebalik keyakinan Ku untuk UMNO dan Pas menghadapi PRU-15 tanpa Bersatu, perlu juga diambil kira aura Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sekarang selepas kejayaan berdepan Covid-19?
(Aura Muhyiddin) Itukan sebab ada kuasa. Begitu juga dengan (Datuk Seri) Najib, dengan Dr. Mahathir. Bila jadi Perdana Menteri semua orang duk hidu bau. Itu semua ‘tempolali’ (temporary) kata orang Cina. Kuasa mesti datang dari rakyat. Covid-19 ini kerja Kementerian Kesihatan. Tetapi soal kepimpinan ini, aspek ekonomi yang nombor satu. Beratus ribu menganggur sekarang dan ramai kena buang kerja. Hampir 800,000 orang Melayu hilang kerja dan menjelang Oktober telah dibuat unjuran, dekat dua juta akan menganggur. Ini masalah besar. Covid-19 mesti kita tangani, tapi apa akan berlaku kalau 2.8 juta orang tak ada kerja?

‘PENYAKIT’ LOMPAT PARTI?

Apa pandangan Ku tentang budaya lompat parti yang melanda politik sekarang?
Ini berpunca daripada politik wang. Saya tengok benda ini berleluasa semasa saya lawan Dr. Mahathir sebab mengikut kiraan kita, saya dan Musa, kita team up satu team, saya boleh menang dengan majoriti besar, tetapi selepas kita tangguh untuk solat Jumaat pada hari itu, orang yang kuat dengan saya sudah berjauhan seolah-olah ada benda yang dia lakukan dan malu nak jumpa kita, Kemudian kita dapat tahu mereka ini dapat imbuhan. Soalnya, ia telah meresap ke dalam akar umbi dan apabila UMNO dipinda perlembagaan menjadi UMNO baharu, ada pula syarat-syarat seperti pencalonan secukupnya dan macam-macam lagi. Itu menyebabkan orang cari duit untuk mengatasi syarat-syarat itu. Syarat-syarat itu dikenakan di peringkat cawangan, maka peringkat cawangan pun belajar cari duit, untuk bayar, jadi menjalar kepada seluruh badan UMNO, kepada akar umbi dan berjangkit kepada parti lain semua orang dapat peluang buat duit. Dan saya diberitahu orang seronok sangat datang ke perhimpunan agung kerana dapat sampul surat yang dimasukkan ke bawah pintu bilik hotel masing-masing, tak banyak RM50, RM100 tapi dapatlah duit. Jadi semua ini merosakkan. Tak lagi ada semangat perjuangan kerana bangsa, atau kerana perkara-perkara yang diperjuangkan kita tetapi semata mata kerana duit. Kerana inilah yang menyebabkan parti jadi begini. Sampai ke peringkat lawan Presiden pun. Saya tidak ada amalkan itu, saya menentang amalan main duit. Akhirnya kita tak ambil orang yang tidak berduit walaupun berbakat memimpin kita. Kita sepatutnya buka jalan untuk orang-orang ini diketengahkan supaya boleh memimpin kita. Sebab kita semua tak kekal selamanya di atas.

Mahukah pengundi Cina kembali menyokong BN?
Saya rasa bukan soal dia kembali, tetapi dia sudah jelak dengan DAP. Itu sebab kita cuba di PRK Tanjung Piai. Banyak orang tak setuju letak calon MCA, namun saya dan beberapa kawan kata kita kena cuba, kerana saya tengok orang Cina dah tak berapa berkenan kepada DAP. Sebab apa? Sebab ekonomi. Mereka berniaga rugi, peluang tertutup, apa PH buat? Hari hari duduk bantai Najib saja.

Selaku bekas Menteri Kewangan, bagaimana pengamatan Ku terhadap survival ekonomi negara sehingga hujung tahun ini?
Pertama yang mesti dibuat membaiki ekonomi kita ini bukan mudah iaitu nak memperbetulkan exchange rate supaya Ringgit kita tak jatuh seperti sekarang. Apabila jatuhnya Ringgit, hutang kita jadi banyak, bukan kerana kita berhutang banyak tetapi kerana hutang itu dalam bentuk tunai Dollar America (USD). Apabila USD melonjak naik dengan sendiri hutang kita dalam Ringgit bertambah banyak, dan bunga yang kita nak bayar pada setiap tahun atau setiap enam bulan akan menjadi banyak. Ini dia bertukar hari-hari, kadangkala melonjak naik dan sehingga hari ini kita dengan USD sudah 4.36 dulu 2.30 sahaja. Ini 4 ringgit lebih orang nak pergi ke Mekah pun tak upaya. Kita nak pergi Singapura tak upaya sekarang kerana nilai Ringgit kita jatuh teruk.
Dulu zaman saya jadi Menteri Kewangan, duit Singapura lebih murah dari kita.Sama juga Jerman sebelum dia guna Euro. Nilai Ringgit kita mahal daripada mata wang dia. Ini kita nak baiki, kalau kita boleh baiki ini, Insya Allah boleh kita baiki keseluruhan dari segi pekerjaan, pelaburan dan sebagainya tapi kalau kita duduk main sikit-sikit seperti tikus baiki labu, susah. Ini macam bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), sikit-sikit tak ke mana, Bolehlah kita tolong dan patut kita tolong rakyat yang susah tetapi adakah itu akan membantu rakyat untuk jangka panjang?

NAJIB, ZAHID DAN PENGORBANAN

Bagaimana pula dengan pemimpin utama UMNO seperti Ahmad Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang menghadapi kes di mahkamah?
Saya tak boleh nak memikirkan lebih ke depan daripada apa yang berlaku sekarang tetapi harapan saya ialah supaya mereka sedar. Kalau mereka kasih dan sayang kepada rakyat Melayu dan masa depan parti sendiri maka pengorbanan mesti dilakukan oleh mereka yang bersifat cacat dari segi pemandangan rakyat. Kalau tidak, kita tidak ke mana. Pengorbanan itu penting, dalam agama pun dituntut kepada pengorbanan, dalam masyarakat kita pun ada pengorbanan. Sekejap sahaja satu penggal lima tahun,

Apa bentuk pengorbanan yang Ku maksudkan?
Beri jalan kepada orang lainlah. Saya tak tahulah bagaimana, sama ada dia mahu bertanding atau tidak, tetapi pengorbanan itu mesti dilakukan kalau mereka sayang kepada rakyat Melayu sebagaimana didakwa dan dilaung-laungkan mereka dalam UMNO. Mesti beri keutamaan kepada kepentingan parti.

DR. MAHATHIR KELAS TERSENDIRI

Bagaimana Ku melihat tindak-tanduk Tun Dr. Mahathir sejak kebelakangan ini?
Umur 95 tahun susah nak ubah pendirian, sikap dan sebagainya. Saya pun begitu juga. Nak ubah jadi budak-budak, jadi orang muda? Susah, dah terlewat. Saya rasa Dr. Mahathir ini tak pandai berehat. Dia ni seorang yang hands on, gemar lakukan perkara yang dia gemar lakukan. Misalnya, selepas PRU 2018, salah satu cadangan dia nak buat kereta. Padahal dia dah buat kereta, nak buat lagi 3rd car?

Tindakan Dr. Mahathir letak jawatan mengejutkan semua pihak. Adakah Ku fikir beliau silap percaturan?
Saya tak tahu apa dalam kepala dia. Nombor satu, saya akui Mahathir ini hebat orangnya. Kita tak boleh nak pandang ringan kepada seseorang seperti Mahathir. Dari segi politik dia super classlah, tetapi dia ada kelemahan juga. Dia nak buat sesuatu, dia mesti lakukan. Kalau jambatan bengkok, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi tak nak buat, dia minta Najib buat. Najib tak nak buat dia buat sendiri. Dia mesti nak buat juga. Maknanya dia berpegang kepada keputusan yang dia buat sendiri kerana dia yakin kepada apa yang dia nak buat. Kita boleh ketawa atau pandang perkara itu tak berfaedah, tapi perhitungan dia lain. Sekarang ini dia tekan soal kerajaan perpaduan. Sebelum letak jawatan dia ada sebut nak tubuh kerajaan perpaduan. Lepas berhenti dia masih cakap perkara sama. Biasanya dia berjaya, tetapi itu dulu lah. Sekarang tak tahu, keadaan sudah berubah.

Mungkin Dr. Mahathir bakal kembali sebagai PM?
Susah nak kata tapi kalau tengok kepada keadaan kumpulan yang mendukung PH, saya rasa susah. Sebab dia sekarang parti pun tak ada.

Mungkin Ku boleh pujuk Dr. Mahathir kembali kepada UMNO?
Pujuk, UMNO tak nak dah. Cukuplah. Biar Dr Mahathir berehat. Kalau dia nak buat parti lain, dia buatlah parti lain tapi tak usah lagi balik kepada UMNO.

Apa pandangan Ku terhadap cadangan Dr Mahathir menamakan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai PM dan Datuk Seri Mukhriz sebagai TPM?
Itu mengikut perkiraan dia, barangkali baiklah untuk pertimbangan dia. Tetapi orang semua tak boleh terima. Saya bertanya kepada orang ramai, macam mana? (Jawatan) Ini bertanggungjawab terhadap negara, bukan nak pandang rendah Shafie Apdal atau sesiapa pun. Namun mestilah orang itu mempunyai kelebihan untuk memimpin negara, bukan sahaja negara tetapi rakyat yang berbilang kaum. Jangan lupa, kita ada sembilan Raja, empat Gabenor. Ini bukan perkara nak ajak main sepak takraw, ini lebih besar.

BERPELUANG LAGIKAH ANWAR?

Ada berpendapat negara kita tidak ada pemimpin muda dan hanya kitar semula orang lama seperti Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar. Ini terpulang kepada parti-parti berkenaan, saya ada jumpa kumpulan orang muda yang mahu mencuba tetapi mengakui tiada pengalaman dan masih perlukan orang lama. Dalam tahun 80-an, banyak orang muda seperti saya, (Tun) Musa Hitam, kita semua diketepikan pada zaman Dr. Mahathir, Dan sejak itu tidak ada pelapis baik di peringkat pusat, mahupun negeri. Ada pemuda tetapi tidak diberikan peranan macam zaman Tunku atau Tun Razak.

Adakah Anwar masih berpeluang menjadi PM?
Saya rasa kalau dia tak jadi Perdana Menteri, tak matilah dia. Kalau mati pun sebab lain. Apa yang penting sangat nak jadi Perdana Menteri? Cita-citalah, tetapi kalau tidak dapat capai cita-cita itu, takkanlah keadaan menjadi lebih buruk daripada sekarang? Saya tak fikir begitu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya