Dilema wanita bekerja: Kerjaya atau keluarga?

Dilema wanita bekerja: Kerjaya atau keluarga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI wanita berpendidikan, berkemahiran dan bekerjaya di negara ini memilih meninggalkan dunia pekerjaan apabila berdepan tekanan menguruskan keluarga.

Situasi itu bukan lagi perkara asing kerana sebahagian besar wanita khususnya yang sudah berkeluarga terpaksa membahagikan masa antara kerjaya, anak-anak, ibu bapa yang semakin uzur serta urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai.

Dalam banyak keadaan, golongan wanita akhirnya menjadi individu yang memikul hampir keseluruhan tanggungjawab tersebut.

RAMAI wanita masih terpaksa membuat pilihan sukar sama ada meneruskan kerjaya atau memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.

Lebih membimbangkan, hal itu berlaku ketika kos sara hidup semakin meningkat dan ramai keluarga memerlukan pendapatan dua individu untuk meneruskan kehidupan di bandar-bandar besar.

Namun pada masa sama, ramai wanita masih terpaksa membuat pilihan sukar sama ada meneruskan kerjaya atau memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.

Tekanan menguruskan pekerjaan dan tanggungjawab domestik secara serentak pula menyebabkan ramai wanita semakin sukar mengekalkan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

Keadaan itu akhirnya memberi kesan terhadap kesihatan mental, emosi serta kesejahteraan hidup sehingga ada wanita memilih untuk meninggalkan kerjaya yang dibina demi memfokuskan kepada keluarga.

Cabaran tersebut menjadi lebih rumit apabila sistem sokongan sedia ada masih belum benar-benar mampu membantu golongan wanita untuk terus kekal dalam pasaran pekerjaan.

Isu seperti kos taska tinggi, kekurangan pusat jagaan warga emas, waktu kerja tidak fleksibel dan perjalanan harian yang memenatkan antara faktor yang terus membebankan wanita bekerja.

Dalam kebanyakan keluarga pula, tanggungjawab jagaan masih sering dianggap sebagai tugas wanita walaupun mereka turut bekerja sepenuh masa.

Persepsi itu menyebabkan ramai wanita terpaksa mengetepikan perkembangan kerjaya sendiri kerana keutamaan keluarga akhirnya diletakkan sepenuhnya di bahu mereka.

Keadaan tersebut secara tidak langsung menyebabkan negara kehilangan ramai tenaga kerja wanita mahir yang sepatutnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Lebih mengecewakan apabila sebahagian besar wanita yang meninggalkan pekerjaan terdiri daripada golongan berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Jika keadaan itu terus berlaku, jurang penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan akan menjadi semakin sukar diperbaiki walaupun pelbagai dasar dan insentif diperkenalkan kerajaan.

Usaha meningkatkan produktiviti negara juga akan berdepan cabaran kerana sebahagian besar potensi tenaga kerja tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Isu wanita berhenti kerja juga tidak seharusnya dilihat sebagai masalah peribadi semata-mata kerana kesannya turut melibatkan ekonomi negara, struktur keluarga dan kesejahteraan sosial masyarakat secara keseluruhan.

Dalam jangka panjang, keadaan itu boleh memberi kesan terhadap pendapatan isi rumah serta kadar produktiviti negara.

Justeru, sudah tiba masanya isu beban jagaan dan cabaran wanita bekerja diberikan perhatian lebih serius kerana realiti kehidupan hari ini memerlukan sistem sokongan yang lebih menyeluruh.

Ia bertujuan membantu golongan wanita terus kekal dalam dunia pekerjaan tanpa perlu mengorbankan kesejahteraan keluarga.

Menurut Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, pelbagai kajian mendapati tanggungjawab menjaga anak, ibu bapa menua dan individu yang memerlukan perhatian khusus menjadi faktor utama wanita tidak memasuki atau kekal dalam pasaran kerja.

Katanya, beban tersebut semakin meningkat berikutan proses penuaan masyarakat yang berlaku dengan begitu pesat ketika ini sehingga menyebabkan ramai wanita berdepan kesukaran untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

“Mengikut kajian Institut Penyelidikan Khazanah Malaysia (KRI) pada 2018, wanita menanggung 63.6 peratus atau 3.5 jam sehari kerja jagaan berbanding lelaki iaitu 2.5 jam sehari dan kebanyakannya tidak berbayar.

“Beban ini membelenggu peluang wanita menceburi matlamat pendidikan, ekonomi dan pekerjaan yang lebih mencabar di luar rumah. Ini bermakna ketidaksamaan gender diperluaskan,” katanya.

Sharifah Hapsah berkata, kajian KRI juga membuktikan ramai wanita mula menyertai pasaran kerja sehingga umur 30-an sebelum kadar penyertaan mereka mula menurun akibat tekanan mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Katanya, penyertaan wanita dalam pasaran kerja di Malaysia juga masih antara yang terburuk di rantau ASEAN walaupun pelbagai dasar dan insentif diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan wanita bekerja serta kembali bekerja selepas mengambil cuti menjaga anak.

“Kerumitan mencapai work-life balance sehingga mengakibatkan tergugatnya kesihatan mental dan fizikal menjadi punca utama wanita tidak bekerja. Lebih-lebih lagi perkhidmatan jagaan yang diperlukan sukar diakses dan juga tidak termampu.

“Keadaan ini akhirnya menyebabkan ramai wanita memilih untuk memperlahankan perkembangan kerjaya atau terus meninggalkan pasaran pekerjaan kerana tidak mampu menanggung tekanan yang berpanjangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu tersebut perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan memberi perhatian kepada tanggungjawab jagaan yang masih banyak dipikul wanita menerusi pembangunan ekonomi jagaan.

Katanya, ekonomi jagaan bukan sahaja mampu membantu meringankan beban wanita, malah berpotensi menjana peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pertumbuhan industri jagaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Pertumbuhan ekonomi jagaan juga mampu menjana pekerjaan terutama bagi wanita dan remaja serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pertumbuhan industri jagaan yang inovatif dan peluang pelaburan.

“Ia juga dapat menangani beberapa cabaran Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) seperti kesaksamaan jantina, kesihatan dan pendidikan.

“Kajian McKinsey turut menunjukkan KDNK negara boleh meningkat sebanyak 8.3 peratus manakala pendapatan per kapita meningkat 26.2 peratus sekiranya jurang jantina dalam pasaran pekerjaan dapat dikurangkan,” katanya.

Secara keseluruhannya, isu wanita meninggalkan pekerjaan tidak boleh lagi dianggap sekadar pilihan individu semata-mata kerana ia melibatkan masa depan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Beban tanggungjawab yang terus dipikul tanpa sistem sokongan yang kukuh hanya akan menyebabkan lebih ramai tenaga kerja wanita tercicir daripada pasaran pekerjaan sedangkan golongan itu mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN