Senang bah orang kita! - Utusan Malaysia

Senang bah orang kita!

KASIM MD. MANSUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU nak dikaitkan perkataan ‘pergolakan’ dengan senario politik di Sabah, memang sudah banyak kali berlaku.
Bermula dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang memerintah selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1967, parti itu berkuasa selama enam tahun di bawah dua ketua menteri iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun (1967-1975) dan Tun Mohamad Said Keruak (1975-1976). Selepas memerintah selama sembilan tahun, USNO kemudiannya dikalahkan oleh Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dibawa kepemimpinan Tan Sri Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976 yang kemudian membentuk kerajaan baharu.
Pada 1984, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS). Bersama parti baharu, Pairin menumbangkan Berjaya pada pilihan raya negeri 1985. Sabah kemudiannya diketuai Pairin selama sembilan tahun. Pada 1990, sekali lagi berlaku pergolakan politik dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PBS beralih arah kepada UMNO.
Berikutan beberapa ADUN PBS beralih arah menyertai Barisan Nasional (BN), BN mula memerintah Sabah sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

EKONOMI

Kalau dilihat kepada beberapa peralihan kuasa di Sabah, era USNO merupakan pentadbiran awal di negeri berkenaan selepas pembentukan Malaysia pada 1963. USNO mentadbir Sabah di bawah kerajaan Perikatan. Ketika itu, ekonomi di Sabah adalah pada tahap awal dan kepemimpinan ketika itu dalam proses untuk meletakkan asas yang betul bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat bergerak dan berkembang. Di bawah pemerintahan Berjaya, ekonomi Sabah berjaya dilonjak ke tahap yang memberangsangkan dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan sektor-sektor hiliran.

Selepas Berjaya jatuh, PBS mengambil alih pentadbiran. Bagaimanapun, PBS tidak mesra dengan Kerajaan Persekutuan. Apabila berlaku sedemikian atau dalam erti kata lain – diperintah oleh blok pembangkang, sudah tentunya trend pembangunan menjadi terencat. Ini kerana jalinan hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak begitu ‘mesra’. Secara umumnya, keadaan itu menjejaskan pertumbuhan ekonomi Sabah.

PENTADBIRAN BN

BN mengambil alih pentadbiran dari awal 1990-an sehingga 2018. Pada 1994, berlaku sistem penggiliran jawatan ketua menteri bagi setiap dua tahun. Sistem penggiliran sedemikian dilihat tidak begitu propembangunan kerana dalam tempoh dua tahun, sukar bagi seseorang ketua menteri untuk menyelesaikan agenda yang dirancang. Apabila ketua menteri baharu dilantik, sudah tentu beliau ada agenda tersendiri menyebabkan perancangan sebelum ini bukan lagi menjadi keutamaan. Akibatnya, perkembangan ekonomi tidak memihak kepada Sabah.
Berikutan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merubah sistem terbabit dan menyerahkan kepada rakyat Sabah untuk membuat keputusan. Ternyata rata-rata rakyat Sabah menolak sistem penggiliran ketua menteri selama dua tahun.

Selepas Pilihan Raya Umum 2002, Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah hingga 2018. Berlatar belakangkan pengalaman sebagai ahli perniagaan yang berjaya, beliau telah melonjakkan ekonomi negeri ke tahap membanggakan walaupun dari segi geografi, Sabah begitu luas dan mempiunyai kepelbagaian etnik. Ekonomi Sabah terus maju ke depan hingga disenaraikan sebagai lima negeri tertinggi dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini bermakna ekonomi Sabah mengalami arus pertumbuhan yang baik walaupun terdapat halangan yang berlaku disebabkan oleh faktor-faktor luaran di luar kawalan.

Pada 2018, keputusan PRU-14 menyaksikan BN ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH). Namun BN masih mempertahankan kerusi di Sabah. Bagaimanapun, disebabkan beberapa ADUN BN melompat ke Parti Warisan Sabah (Warisan), Musa hanya mampu mempertahankan jawatan ketua menteri untuk beberapa hari. BN kemudian menjadi pembangkang di Sabah.

PERGOLAKAN

Kini politik di Negeri Di Bawah Bayu kembali bergolak yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri dibubarkan semalam. Timbul tanda tanya, siapa yang akan mentadbir semula Sabah selepas ini?

Kalau diikutkan track record parti-parti politik di Sabah, dapat dilihat pertumbuhan ekonomi tidak begitu baik semasa ditadbir PBS yang dalam blok pembangkang kerana tidak mesra Kerajaan Persekutuan. Apabila jalinan hubungan kedua-dua pihak tidak baik, maka ia memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi. Untuk mendapatkan peruntukan-peruntukan pembangunan, lebih mudah sekiranya Sabah bersama Kerajaan Persekutuan. Ini kerana kalau ikut prosedur, peruntukan-peruntukan pembangunan disalurkan ke kementerian-kementerian yang kemudiannya mengalir ke negeri-negeri.

Dalam situasi sekarang, hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai pendekatan menang-menang kerana keserasian antara negeri dan Putrajaya dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah. Persamaan dari segi rentak aspirasi pembangunan di Persekutuan dan negeri perlu berlaku bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat di bumi Sabah. Keperluan untuk mewujudkan hasrat dan kerjasama dalam merealisaikan aspirasi yang baik bagi menyampaikan agenda pembangunan di Sabah harus menjadi keutamaan. Yang mendapat tempias kemewahan nanti pastinyalah rakyat. Senang bah orang kita!

 

PROFESOR DATUK KASIM MD. MANSUR ialah Profesor Ekonomi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya