Derma darah dapat elak krisis nyawa

Derma darah dapat elak krisis nyawa

KERAJAAN menawarkan inisiatif rawatan percuma di wad kelas pertama bagi penderma tegar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Statistik terbaharu menunjukkan Malaysia mencatat kadar pendermaan darah yang stabil namun masih belum mencapai tahap optimum.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 18 Jun mendapati sumbangan daripada penderma seluruh negara mencakupi kira-kira 80 peratus daripada keperluan, dengan 98.9 peratus terdiri daripada pendermaan darah penuh dan hanya 1.1 peratus melalui kaedah apheresis.

Walaupun sebanyak 39,975 penderma baharu direkodkan pada 20 Mei lalu, majoritinya terdiri daripada golongan belia berumur antara 17 hingga 24 tahun. Namun kadar pendermaan di sesetengah negeri masih rendah. Selangor mencatat kurang daripada satu peratus penduduk menyumbang darah.

Impak daripada pendekatan sifar toleransi terhadap ketidakcukupan bekalan darah sangat kritikal. Ini kerana darah mempunyai jangka hayat yang terhad, sel darah merah hanya boleh disimpan selama 42 hari, manakala plat darah hanya bertahan selama lima hari. Kegagalan untuk menggalakkan pendermaan darah secara berterusan boleh mencetuskan krisis yang mengancam nyawa.

Sekiranya bekalan darah tidak stabil, sektor perubatan berisiko terjejas, termasuk pelaksanaan pembedahan, rawatan pesakit kanser, kes kecemasan trauma serta keperluan transfusi berkala bagi pesakit talasemia.

Justeru, setiap individu harus menganggap pendermaan darah bukan sekadar amal tetapi tanggungjawab sosial demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.

Tempoh simpanan darah yang singkat, khususnya bagi sel darah merah dan plat darah, berpunca daripada sifat biologi semula jadi komponen darah yang mudah merosot apabila berada di luar tubuh manusia.

Stok darah yang disimpan di hospital merupakan komponen kritikal dalam rawatan perubatan moden dan digunakan dalam pelbagai situasi kecemasan serta rawatan berjadual.

Penggunaan paling utama adalah dalam kes kecederaan trauma seperti kemalangan jalan raya atau pembedahan kecemasan. Selain itu, darah turut digunakan secara rutin dalam pembedahan besar seperti pembedahan jantung, ortopedik serta ransplantasi organ, lazimnya melibatkan kehilangan darah yang dirancang dan dianggarkan awal.

Stok darah juga penting untuk rawatan penyakit kronik. Pesakit yang menghidap talasemia major, misalnya, memerlukan transfusi darah secara berkala sepanjang hayat untuk memastikan paras hemoglobin kekal stabil. Pesakit kanser pula sering menerima plat darah dan sel darah merah selepas menjalani kemoterapi, yang boleh merosakkan sumsum tulang serta mengurangkan penghasilan sel darah.

Di samping itu, darah penting dalam pengurusan ibu bersalin yang mengalami komplikasi seperti tumpah darah selepas melahirkan anak, yang merupakan antara punca utama kematian ibu di hospital.

Di unit rawatan rapi (ICU), darah turut diperlukan untuk menyokong pesakit yang mengalami kegagalan pelbagai organ.

Dengan pelbagai kegunaan ini, jelaslah keperluan darah tidak pernah surut di hospital dan hanya dapat dipenuhi melalui pendermaan sukarela yang konsisten daripada masyarakat.

Kesedaran masyarakat tentang bagaimana darah digunakan di hospital seharusnya mencetuskan rasa tanggungjawab untuk menjadi sebahagian daripada penyelamat nyawa.

Sebagai rakyat prihatin, perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuh simpanan dan bekalan darah negara. Langkah pertama ialah dengan menjadi penderma darah yang konsisten.

Individu yang layak digalakkan untuk menderma darah sekurang-kurangnya setiap tiga bulan bagi lelaki dan setiap empat bulan bagi wanita. Selain itu, pendekatan kolektif perlu diterapkan melalui penganjuran kempen derma darah yang lebih kerap dan strategik di peringkat komuniti, institusi pendidikan, tempat kerja serta pusat membeli-belah.

Institusi awam dan swasta boleh bekerjasama dengan Pusat Darah Negara (PDN) atau pusat darah hospital berdekatan untuk menjayakan program pendermaan darah secara berkala.

Penggunaan platform digital dan media sosial juga wajar dimaksimumkan bagi menyebarkan maklumat tepat mengenai lokasi kempen, syarat kelayakan dan keperluan semasa.

Pendidikan awal tentang kepentingan menderma darah juga wajar dimasukkan ke dalam silibus kesihatan di sekolah bagi melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.

Dalam masa sama, kerajaan dan agensi berkaitan perlu mempergiatkan promosi dengan menawarkan insentif bukan kewangan kepada penderma tetap seperti sijil penghargaan, pelepasan masa bekerja atau kemudahan kesihatan tertentu.

Bagi individu yang tidak dapat menderma atas sebab kesihatan, mereka masih boleh memainkan peranan sebagai sukarelawan dengan membantu menyebarkan maklumat atau menggalakkan keluarga dan rakan-rakan.

Pusat Darah Negara (PDN) dan KKM melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menghargai penderma darah serta menggalakkan lebih ramai rakyat tampil secara sukarela. Antara insentif utama yang ditawarkan ialah kelebihan rawatan kesihatan di fasiliti kerajaan.

Penderma yang menderma darah sekurang-kurangnya sekali layak menerima rawatan percuma di wad kelas dua selama empat bulan. Bagi mereka yang menderma sebanyak enam hingga 10 kali, tempoh rawatan percuma tersebut dilanjutkan kepada enam bulan.

Menariknya, penderma tegar yang menderma 30 kali atau lebih layak menerima rawatan percuma di wad kelas pertama.

Pengiktirafan kepada penderma turut dipertingkatkan melalui pelbagai bentuk penghargaan seperti sijil, lencana dan plak yang disampaikan semasa sambutan Hari Penderma Darah Sedunia. PDN juga memperkenalkan Kad Penderma Digital menerusi aplikasi MySejahtera yang memantau rekod pendermaan, membuat temu janji serta mengesan lokasi kempen dengan lebih mudah dan efisien.

Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan, malah menjadikan pengalaman pendermaan lebih moden, tersusun dan mesra pengguna selaras gaya hidup digital masyarakat kini.

PENDERMA JUGA TERIMA FAEDAH
Menderma darah bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah memberikan kebaikan kesihatan kepada penderma sendiri. Antara faedah fisiologi yang paling ketara ialah merangsang penghasilan sel darah merah baharu, sekali gus menyegarkan sistem peredaran darah.

Selain itu, pendermaan darah secara berkala membantu menstabilkan paras zat besi dalam darah, yang jika berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Proses pendermaan darah selamat, cepat dan dikendalikan petugas kesihatan terlatih dengan menggunakan peralatan steril sekali guna.

Kebimbangan terhadap kesakitan atau ketidakselesaan sering dilebih-lebihkan. Hakikatnya, kebanyakan penderma hanya mengalami sedikit rasa tusukan yang sebanding dengan ujian darah biasa. Tambahan pula, badan mampu menggantikan darah yang didermakan dalam masa yang singkat tanpa menjejaskan kesihatan jangka panjang.

Menderma darah juga memberikan kepuasan batin dan nilai kemanusiaan yang tinggi kerana satu beg darah berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

Jika rasa takut itu dapat diatasi walaupun sekali, ia boleh membuka jalan kepada amalan pendermaan yang berterusan dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi penderma.

Jangan biarkan ketakutan mengekang niat murni, cubalah sekali dan alami sendiri bagaimana satu tindakan kecil mampu mencetuskan perubahan besar kepada kehidupan orang lain.-UTUSAN

 

DR. Evana Kamarudin ialah Pensyarah Kanan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN