Kerakyatan naturalisasi: Menang sorak kampung tergadai

Kerakyatan naturalisasi: Menang sorak kampung tergadai

KERAKYATAN hanya boleh dipertimbang kelayakannya kepada etnik bukan Melayu setelah mereka betul-betul menjiwai identiti nasional dan budaya rakyat negara ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Untuk memperoleh kemerdekaan, orang Melayu sebagai penduduk asal dan pemilik sah Persekutuan Tanah Melayu perlu bersetuju dengan pelbagai perancangan pihak British. Antara yang paling utama menerima kehadiran etnik bukan Melayu yang dibawa masuk demi kepentingan ekonomi. Dalam masa sama, etnik Cina dan India juga menyatakan hasrat untuk terus menetap di tanah bertuah ini.

Untuk ini, etnik Melayu walaupun dengan berat hati, terpaksa bersetuju dengan rancangan penjajah itu, iaitu pemberian kerakyatan.

Ini kerana mereka tersangat ingin memperoleh kebebasan untuk memerintah tanah air sendiri. Ini mahu dilakukan sesegera yang boleh setelah ratusan tahun berada di bawah belenggu penjajah.

Pun begitu, pemberian itu berupa perjanjian, iaitu etnik bukan Melayu hendaklah menerima sebilangan perkara sebagai pertukaran. Perkara itu ialah menerima Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu sebagai pemilik tempat ini dan kekuasaan raja Melayu di persekutuan ini.

Kerakyatan itu bersifat naturalisasi, iaitu pemberian untuk menjadi rakyat berdasarkan beberapa syarat. Antaranya taraf mastautin dan pengetahuan bahasa setempat.

Pemberian itu didapati penting untuk menubuhkan negara pada kadar segera. Dengan tertubuhnya negara merdeka pada 1957, pemberian itu bukan sahaja menjadi perintis proses pembinaan negara, malah proses itu sendiri.

Dengan adanya kependudukan sepadu etnik Melayu-bukan Melayu, ia sesungguhnya prasarana yang sangat diperlukan oleh Persekutuan Tanah Melayu yang baharu merdeka itu.

Ini kerana kependudukan yang sepadu adalah pengukuhan, penstabilan selain pembangunan mampan yang bukan sahaja amat diperlukan bagi negara yang baharu merdeka. Malah ia sangat wajib ada pada sesebuah negara berdaulat untuk membangun.

Sehubungan itu, aspek sosial seperti kesepaduan rakyat merupakan antara faktor penting dalam proses pembinaan negara. Dalam masa sama, aspek lain seperti ekonomi, budaya dan agama turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menyokong usaha tersebut.

Kepentingan aspek sosial bukan sahaja mampu merangsang pembangunan sosial yang mampan, malah turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara, iaitu rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Sehubungan ini, pembangunan sosial dan kestabilan sesungguhnya penting sekali. Ini kerana kedua-duanya dapat mengelakkan negara daripada mengalami perpecahan. Apabila ada perpecahan, misalnya konflik, apatah lagi keganasan, ia pasti akan menjejaskan kesepaduan yang merupakan faktor penting untuk perpaduan negara dan integrasi nasional.

Itulah dimensi pada kesepaduan yang sangat diperlukan untuk proses pembinaan negara. Ia memang tiang seri kepada kestabilan negara. Melaluinya akan wujudlah kepercayaan, kerjasama serta rasa keterikatan. Sesungguhnya semua ini penting sekali untuk urus tadbir negara yang cekap dan pembangunan nasional yang berprestasi.

Dengan adanya kesepaduan, lebih-lebih lagi yang utuh, ia pasti akan ikut membantu negara, khususnya dalam konteks rakyat berkongsi identiti serupa secara kolektif, selain mempunyai rasa kebersamaan yang kuat sesama mereka. Dengan ini, ia pasti akan mengurangkan, malah boleh menamatkan ketegangan etnik.

Sesungguhnya dengan adanya kesepaduan ini, ia juga pasti akan mempertingkat legitimasi negara. Ini berlaku apabila rakyat sendiri bukan sahaja berasa terikat sesama sendiri untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Juga untuk sama-sama menyakini semua institusi dalam masyarakat dan negara.

Walaupun tidak dapat dinafikan sisi sosial pada kesepaduan rakyat ini berkesan, malah mantap sekali untuk proses pembinaan negara. Namun, ia didapati lompong, bahkan tidak terisi langsung untuk proses pembinaan bangsa.

Ini kerana naturalisasi yang diperlukan bagi membina negara dengan cepat, umpama menabur banyak baka asing yang pembiakannya tidak sama dengan yang tempatan. Dengan ini, jutaan etnik bukan Melayu menjadi rakyat tanpa langsung ada identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat di bumi Melayu-Islam ini.

Dengan naturalisasi yang begitu cepat, etnik bukan Melayu menjadi rakyat segera. Sehubungan ini, mereka bukan sahaja didapati tidak mampu pada masa itu, untuk berintegrasi dengan etnik Melayu bagi menjadi satu bangsa sepadu di bumi Melayu-Islam ini. Juga sampai ke hari ini setelah hampir 70 tahun, setelah sebilangan generasi, mereka didapati masih tidak mampu menjadi sebahagian daripada satu bangsa sepadu bersekali dengan etnik Melayu.

Ini antaranya kerana mereka sendiri tidak pernah mahu memupuk diri secara serius untuk berintegrasi dalam proses pembinaan bangsa.

Sebetulnya etnik bukan Melayu tidak boleh sesekali diberikan naturalisasi secepat itu. Dalam hal ini, mereka tidak boleh diharapkan agar berintegrasi sepenuhnya dengan etnik Melayu. Ini terbukti tidak terjadi pun sehingga masa ini.

Sepatutnya, mereka perlu tinggal dalam tempoh yang lebih panjang sebagai bukan warganegara. Dalam tempoh inilah mereka seharusnya memanfaatkan peluang untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping membuktikan negara ini benar-benar merupakan tanah air mereka juga.

Setelah semua ini berlaku, baharulah etnik bukan Melayu boleh sewajarnya dibenarkan menjadi sebahagian sah daripada kependudukan bumi Melayu-Islam ini. Dengan kata lain, mereka hendaklah terlebih dahulu membuktikan sudah terintegrasi sepenuhnya selain ikhlas ke dalam struktur sosial Melayu.

PENUHI PERKARA WAJIB
Kerakyatan di bumi Melayu-Islam ini hanya boleh dipertimbang kelayakannya kepada etnik bukan Melayu setelah mereka betul-betul memenuhi satu siri kewajipan. Untuk ini, ia hendaklah diperoleh melalui cara yang tidak secepat dan semudah itu, seperti yang berlaku di kebanyakan tempat lain di dunia.

Tidak keterlaluan dikatakan naturalisasi untuk mahu mula membina negara pada 1957, umpama peribahasa menang sorak kampung tergadai. Ia secara perbandingan berkeuntungan yang tidak banyak pun manfaatnya untuk jangka yang panjang.

Ia baik hanya bagi memperoleh kemerdekaan untuk proses pembinaan negara kemudiannya. Akan tetapi naturalisasi itu langsung tiada dinamika dan faedahnya dalam proses pembinaan bangsa.

Ini dapat dilihat dengan jelas pada rakyat daripada etnik bukan Melayu yang kini masih tidak mampu mempamerkan identiti nasional untuk negara dan juga identiti budaya bagi rakyat negara ini. Antaranya penguasaan baik terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN