LAWATAN rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun, baru-baru ini hadir dalam satu detik geopolitik yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Dalam konteks persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat (AS) dan China, gangguan rantaian bekalan global serta peralihan kepada ekonomi hijau dan digital, hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun perlu dinilai semula secara kritis.
Hubungan sekian lama terjalin melalui Dasar Pandang Ke Timur kini memerlukan anjakan strategik agar kekal relevan dan memberi impak lebih mendalam kepada kedua-dua negara.
Sejak diperkenalkan pada 1982, Dasar Pandang Ke Timur memainkan peranan penting dalam membentuk trajektori pembangunan Malaysia.
Jepun menjadi model dalam aspek etika kerja, disiplin dan perindustrian. Sementara Malaysia mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing, pemindahan teknologi asas serta pembangunan sektor pembuatan khususnya dalam elektronik dan automotif.
Namun demikian, kejayaan masa lalu ini tidak boleh menjadi alasan untuk mengekalkan pendekatan yang statik. Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi, hubungan ini perlu berkembang melangkaui kerangka tradisional yang lebih tertumpu kepada perindustrian berintensif buruh dan pelaburan konvensional.
Perubahan landskap geopolitik Indo Pasifik menuntut pendekatan yang lebih strategik dan adaptif.
Jepun melalui visinya mengenai Indo Pasifik yang bebas dan terbuka berusaha memperkukuh jaringan ekonomi dan keselamatan dengan negara-negara serantau, termasuk Malaysia.
Pada masa sama, Malaysia mengekalkan pendekatan berkecuali yang pragmatik dalam mengimbangi hubungan dengan kuasa besar.
Dalam keadaan ini, hubungan Malaysia dan Jepun berpotensi menjadi contoh kerjasama antara kuasa sederhana yang menekankan kestabilan, keterbukaan ekonomi dan tadbir urus yang baik tanpa terperangkap dalam persaingan blok geopolitik.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam hubungan semasa yang perlu diakui secara jujur.
Pertama, struktur kerjasama ekonomi masih banyak bergantung kepada sektor pembuatan tradisional yang berorientasikan pemasangan dan pengeluaran berskala besar.
Walaupun sektor ini kekal penting, namun nilai tambah yang dihasilkan terhad jika dibandingkan dengan sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor maju, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Kedua, pemindahan teknologi antara Jepun dan Malaysia masih belum mencapai tahap yang optimum, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan yang berimpak tinggi.
Ketiga, integrasi dalam ekonomi digital dan tadbir urus data masih berada pada tahap awal, sedangkan kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk bekerjasama dalam bidang ini.
Dalam menghadapi cabaran ini, hubungan Malaysia dan Jepun perlu ditransformasikan kepada perkongsian strategik baharu yang boleh dirujuk sebagai Malaysia Jepun 2.0.
Transformasi ini perlu berasaskan beberapa teras utama. Pertama ialah pengukuhan rantaian bekalan yang pintar dan berdaya tahan. Dalam konteks strategi kepelbagaian pelaburan Jepun di luar China, Malaysia mempunyai peluang untuk memposisikan dirinya sebagai hab alternatif yang stabil dan kompetitif.
Sektor semikonduktor dan elektronik boleh diperkukuh dengan fokus kepada reka bentuk, ujian lanjutan dan inovasi, bukan sekadar pemasangan.
Kedua ialah kerjasama dalam ekonomi digital dan tadbir urus AI. Jepun mempunyai kelebihan dalam teknologi dan inovasi, manakala Malaysia mempunyai potensi sebagai hab data serantau.
Kerjasama ini boleh melibatkan pembangunan pusat penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran serta pembentukan rangka kerja tadbir urus data yang beretika dan selamat.
Dalam era di mana data menjadi aset strategik, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi tetapi juga memperkukuh kedaulatan digital kedua dua negara.
Ketiga ialah peralihan tenaga dan pembangunan teknologi hijau. Jepun merupakan peneraju dalam teknologi hidrogen dan penyelesaian tenaga rendah karbon.

Malaysia pula mempunyai sumber semula jadi dan keperluan mendesak untuk mempelbagaikan sumber tenaga.
Kerjasama dalam bidang ini boleh mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia sambil membuka peluang pelaburan baharu bagi syarikat Jepun. Ini juga selari dengan komitmen global terhadap perubahan iklim dan pembangunan mampan.
Keempat ialah pembangunan modal insan generasi baharu. Dasar Pandang Ke Timur perlu diberi nafas baharu dengan memberi tumpuan kepada kemahiran masa hadapan seperti sains data, AI dan kejuruteraan lanjutan.
Program pertukaran pelajar dan penyelidik perlu diperkukuh dengan penekanan kepada kolaborasi penyelidikan dan inovasi. Universiti di kedua-dua negara boleh memainkan peranan sebagai hab pengetahuan yang menghubungkan sektor awam dan swasta.
Kelima ialah pengukuhan kerjasama dalam keselamatan ekonomi dan peranan serantau. Malaysia sebagai anggota ASEAN boleh bertindak sebagai jambatan strategik bagi Jepun dalam memperluas pengaruh ekonominya di Asia Tenggara.
Pada masa sama, kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam forum pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mempromosikan perdagangan bebas dan sistem ekonomi terbuka. Kerjasama ini penting dalam menghadapi risiko fragmentasi ekonomi global yang semakin meningkat.
Dari sudut dasar, Malaysia perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk memanfaatkan hubungan ini. Penyelarasan antara kementerian dan agensi seperti Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) penting untuk memastikan pendekatan menyeluruh dan bersepadu.
Reformasi institusi juga diperlukan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memudahkan pemindahan teknologi. Dalam hal ini, universiti dan institusi penyelidikan perlu diberi peranan yang lebih besar sebagai pemangkin inovasi dan kerjasama antarabangsa.
Bagi Jepun, Malaysia menawarkan nilai strategik yang melangkaui hubungan dua hala semata-mata kerana kedudukannya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang merangkumi lebih 650 juta penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan melebihi AS$ 3 trilion (RM14.1 trilion).
Malaysia juga merupakan antara rakan dagang utama Jepun di Asia Tenggara, dengan jumlah perdagangan dua hala yang mencecah lebih AS$ 40 bilion (RM188 bilion) setahun dalam dekad terkini, di samping menjadi destinasi penting pelaburan langsung asing Jepun khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia dan automotif.
Dalam konteks usaha Jepun mempelbagaikan rantaian bekalan melalui strategi China Plus One, Malaysia menawarkan kelebihan dari segi kestabilan politik relatif, infrastruktur industri yang matang serta penyertaan dalam perjanjian perdagangan seperti RCEP dan CPTPP yang memudahkan akses pasaran serantau dan global.
Pada masa sama, Jepun berpeluang mengukuhkan reputasinya sebagai rakan pembangunan yang dipercayai melalui pemindahan teknologi bernilai tinggi, kerjasama dalam ekonomi digital, serta sokongan kepada reformasi tadbir urus dan pembangunan modal insan di Malaysia.
Hubungan Malaysia dan Jepun kini berada pada titik perubahan yang kritikal dalam menghadapi dunia yang semakin terfragmentasi dan tidak menentu.
Lawatan Perdana Menteri harus dilihat sebagai pemangkin kepada peralihan daripada hubungan berasaskan sejarah kepada perkongsian strategik berteraskan inovasi, daya tahan dan keselamatan ekonomi.
Melangkaui Dasar Pandang Ke Timur bermaksud memperbaharui legasi tersebut dengan memasukkan dimensi baharu seperti AI, tenaga hijau dan geoekonomi. -UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










