Demokrasi runcit menjadikan politik tepu

Demokrasi runcit menjadikan politik tepu

DEMOKRASI yang sihat memerlukan persaingan politik yang matang, institusi yang kukuh dan tujuan bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA politik Malaysia mutakhir ini diselubungi satu kejanggalan yang semakin melemaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rasa ‘berbeza’ ini bukan bermaksud kita sebuah bangsa yang naif atau tidak pernah diuji krisis. Sejarah membuktikan kita pernah melalui parut berdarah peristiwa 13 Mei, krisis kewangan 1997 hingga 1998, era reformasi serta pelbagai kemelut kepimpinan yang getir.

Jika dinilai secara objektif hari ini, kedudukan fiskal, keselamatan sempadan dan asas makroekonomi negara masih utuh serta terkawal.

Namun, kelainan hari ini berpunca daripada bentuk krisis itu sendiri. Kita tidak lagi berdepan keruntuhan ekonomi atau pertumpahan darah. Sebaliknya, kita diasak ketepuan naratif akibat kuasa politik yang semakin berpecah dan lambakan maklumat yang membingitkan akal.

Kita menyaksikan rentetan peristiwa luar biasa berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Belum reda satu kontroversi, muncul pula polemik baharu. Politik, perundangan, institusi, sentimen kaum hingga watak peribadi pimpinan saling bertindih saban hari.

Media sosial pula mempercepatkan setiap isu untuk segera ditafsir dan dihakimi mengikut kem masing-masing. Setiap hela nafas negara seolah-olah pantas dijadikan senjata politik.

Keadaan ini menuntut kita melihat semula sama ada perkembangan tersebut benar-benar mematangkan demokrasi atau semakin melemahkan kudrat bangsa.

DEMOKRASI RUNCIT

Sejak 2018, runtuhnya hegemoni mutlak telah memecahkan peta politik negara kepada kepingan yang semakin runcit. Inilah gambaran ‘demokrasi runcit’ yang dibayangi sebagai ekosistem apabila kuasa tidak lagi dikuasai secara pukal oleh satu pihak dominan, sebaliknya diagihkan kepada kelompok kecil yang masing-masing mempunyai kuasa tawar-menawar.

Keadaan ini mengubah corak urus tadbir negara menjadi siri rundingan berterusan. Kerajaan perlu mengimbangi kompromi politik demi kestabilan semasa, pada masa sama tidak mengorbankan wawasan nasional jangka panjang.

Akibatnya, negara mengharungi rentetan peristiwa luar biasa secara bertindih, bermula dengan Langkah Sheraton, pertukaran tiga perdana menteri dalam sepenggal, Parlimen tergantung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pemenjaraan bekas perdana menteri hinggalah penyatuan seteru tradisi UMNO-DAP di meja yang sama.

Secara ringkas, Malaysia kini terperangkap dalam transisi mampat. Perubahan struktur yang sepatutnya mengambil masa berdekad terpaksa dilonggokkan dalam tempoh singkat.

Namun, persoalannya sama ada institusi negara menjadi semakin kuat, impersonal dan kompeten walaupun pentadbiran bertukar ganti. Jika tidak, kita sebenarnya sekadar mengalami perubahan politik, bukannya pembangunan politik.

OBESITI MAKLUMAT, POLITIK MENEPU

Rentak transisi yang meletihkan ini bertembung pula dengan perubahan radikal dalam ekologi maklumat. Dahulu, politik mempunyai jeda masa tetapi hari ini sudah mati.

Masyarakat pada mulanya dihimpit sindrom keletihan maklumat, kini berdepan wabak obesiti maklumat.

Ucapan bernas selama lima minit boleh dipotong menjadi klip 15 saat dengan kapsyen provokatif, lalu mencetuskan kemarahan dan tularan gema. Politik berhijrah daripada ekonomi maklumat kepada ekonomi perhatian apabila ia menjadi mata wang rasmi.

Nilai politik tidak lagi terletak pada kualiti dasar dan hujah, sebaliknya kandungan menghina, mencetuskan kemarahan atau memalukan sengaja diketengahkan kerana lebih pantas menarik tontonan dan klik.

Inilah yang membawa kepada fenomena ketepuan politik. Dimensi politik menenggelamkan wacana ilmu, sosial dan ekonomi. Kepincangan paling ketara berlaku apabila naratif partisan mengambil alih budaya penyelesaian masalah.

Kemerosotan skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) negara, misalnya, sepatutnya mencetuskan bedah siasat jujur terhadap kelompangan struktur pendidikan, bukannya sekadar menjadi modal menuding jari kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Begitu juga isu kekurangan peruntukan agensi luar bandar. Perkara itu sepatutnya dianalisis dari sudut kapasiti fiskal dan berbaloi dengan perbelanjaan, bukannya terus diheret menjadi sentimen perkauman.

Keadaan ini akhirnya menghakis kepercayaan awam terhadap institusi. Apabila setiap keputusan mahkamah, titah atau pelantikan akademik ditafsir berdasarkan persoalan ‘parti mana mendapat untung’, menyebabkan keluhuran keadilan semakin sukar dihormati.

Paradoksnya, semakin riuh masyarakat berbicara tentang politik, semakin dangkal kefahaman terhadap dasar awam.

MENCARI SEMULA ‘PEREKAT SOSIAL’ NEGARA

Segala kebingitan ini kembali kepada satu persoalan asas, adakah kita sedang membina institusi dan bangsa atau sekadar taksub membina pengaruh serta mengagungkan personaliti?

Sejarah peradaban besar seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS) meletakkan tanda aras yang jelas. Kemaraan mereka merentasi pelbagai zaman bukan kerana kepemimpinan bebas kesilapan. Sebaliknya, mereka berjaya kerana tekun membina institusi yang kebal.

Apabila sistem kehakiman diteguhkan, birokrasi dibersihkan dan pelan makroekonomi diikat sebagai undang-undang, pasti pakej ketahanan itu mampu mendepani krisis peribadi pemimpin.

Malangnya, wacana di Malaysia terlalu taksub menobatkan ‘manusia’ sehingga terlupa individu akan pergi tetapi institusi yang menjamin kelangsungan bangsa.

Kelemahan institusi ini diburukkan lagi dengan pudarnya ‘perekat sosial’ atau gagasan nasional bersama. Malaysia pernah melalui fasa politik yang mendidih, namun ketika itu kita dipasakkan dengan projek nasional yang jelas seperti Wawasan 2020 serta kerangka pencapaian terukur seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Hari ini, gagasan Malaysia Madani tidak kekurangan agenda. Ia sarat dengan pelan strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Namun, sama ada semua itu berjaya bernyawa sebagai cita-cita bersama rakyat atau masih dirasakan sekadar agenda pentadbiran kerajaan.

Di sinilah konsep asabiyyah Ibnu Khaldun relevan. Masyarakat memerlukan ikatan kebersamaan yang kuat, melampaui kepentingan sempit kelompok politik. Dasar boleh kelihatan sempurna di atas meja tetapi untuk menjadi perekat sosial, rakyat mesti mampu menjawab ke manakah arah tuju negara ini dan apakah peranan saya di dalamnya?

Apabila jawapan itu kabur, ruang kosong tersebut akan segera diisi toksik perbalahan harian.

Inilah cabaran sebenar negara hari ini. Kita tidak berdepan masalah persaingan politik. Persaingan itu sebahagian daripada demokrasi. Masalahnya ialah persaingan tanpa tujuan bersama.

Apabila pasak institusi teguh dan perekat sosial kukuh, perbezaan politik dapat ditampung secara matang. Sebaliknya, apabila ikatan itu rapuh, pergeseran kecil pun berpotensi menjadi ledakan yang boleh mengaramkan bahtera negara.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Felo RCE Tongyeong, Sejahtera Forest, Korea Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN