Ulama pacu keharmonian masyarakat majmuk

Ulama pacu keharmonian masyarakat majmuk

ULAMA berperanan penting membina keharmonian melalui tafsiran al-Quran yang seimbang, berteraskan keadilan, hikmah dan sikap saling menghormati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merupakan sebuah negara majmuk yang terbentuk daripada pertemuan pelbagai etnik, agama, bahasa dan tradisi kebudayaan. 

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menunjukkan Islam dianuti 63.5 peratus penduduk, diikuti Buddhisme (18.7 peratus), Kristian (9.1 peratus) dan Hinduisme (6.1 peratus), selain agama serta kepercayaan lain. 

Kepelbagaian ini menjadikan hubungan antara agama bukan isu sampingan, sebaliknya unsur penting dalam pembentukan kehidupan sosial dan peradaban negara.

Pada peringkat kenegaraan, kedudukan Islam serta hubungan antara masyarakat beragama mempunyai asas perlembagaan. 

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan. 

Perkara 8 pula menyentuh prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan Perkara 11 memperuntukkan kebebasan beragama dalam kerangka perundangan. Justeru, keharmonian tidak bermaksud menghapuskan identiti agama tetapi menuntut keseimbangan antara identiti, hak, tanggungjawab dan kedaulatan undang-undang.

Dalam kerangka ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ yang digariskan Dasar Perpaduan Negara, ulama mempunyai kedudukan strategik. Mereka bukan sekadar penyampai hukum, malah pewaris tradisi keilmuan yang mentafsir wahyu, membentuk pandangan alam masyarakat dan memberikan panduan terhadap persoalan baharu akibat perubahan sosial.

Fungsi tersebut amat penting kerana teks agama boleh disalah faham apabila dibaca secara terpisah daripada konteks ayat, maqasid, sirah Nabi SAW dan keseluruhan sistem etika al-Quran. Oleh itu, tafsiran ulama tidak seharusnya berhenti pada makna literal, sebaliknya menghubungkan wahyu dengan realiti masyarakat secara bertanggungjawab.

Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran karya Sheikh Abdullah Muhammad Basmeih, yang diterbitkan dalam Edisi Rumi Baharu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2022, merupakan antara karya penting dalam tradisi tafsir-terjemahan di Malaysia. Ia memperlihatkan usaha mendekatkan makna al-Quran dengan kefahaman masyarakat tempatan.

KEPELBAGAIAN MANUSIA SEBAGAI SUNNATULLAH

Antara asas penting hubungan masyarakat majmuk ialah firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan…”

Ayat ini mengemukakan prinsip manusia berkongsi asal kejadian yang sama, kepelbagaian bangsa merupakan realiti kehidupan dan perbezaan tersebut seharusnya membawa kepada li-taarafu, iaitu saling mengenali.

Ta‘aruf bukan sekadar mengetahui nama atau identiti pihak lain. Ia merangkumi usaha memahami pengalaman, budaya dan sensitiviti masyarakat berbeza, sekali gus menghapuskan prasangka serta membuka ruang komunikasi dan kerjasama. 

Ibn ‘Ashur menekankan fungsi perbezaan bangsa dan kabilah sebagai asas pengenalan serta penyusunan kehidupan manusia, bukan alasan untuk kesombongan kelompok.

Dalam konteks Malaysia, prinsip ini boleh diterjemahkan kepada etika kewarganegaraan. Masyarakat Melayu, Cina, India, peribumi Sabah dan Sarawak serta kelompok lain tidak seharusnya hidup dalam ruang sosial yang hanya bertemu atas kepentingan ekonomi. 

Mereka perlu memahami sejarah, agama dan budaya antara satu sama lain. Ulama pula berperanan menjelaskan  keterbukaan terhadap kelompok lain tidak bermaksud menggadaikan akidah, bahkan selaras dengan tuntutan ta‘aruf.

KEADILAN SEBAGAI TERAS KEHARMONIAN

Keharmonian tanpa keadilan hanya menghasilkan keamanan yang rapuh. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8: “…dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa…”

Prinsip ini menuntut keadilan walaupun terhadap pihak yang tidak disukai. Surah Al-Nisa’, ayat 135 turut menegaskan kewajipan menegakkan keadilan sekalipun bertentangan dengan kepentingan diri, ibu bapa atau kaum kerabat.

Di sinilah tafsiran ulama mempunyai fungsi besar dalam membentuk kesedaran moral masyarakat. 

Perkauman, kebencian agama, diskriminasi dan fitnah tidak boleh dibenarkan hanya atas alasan mempertahankan kelompok sendiri. Ketegasan mempertahankan prinsip agama tidak memberi lesen untuk menghina maruah atau menafikan hak pihak lain.

Keadilan juga merupakan prasyarat pembinaan peradaban. Kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kekayaan dan infrastruktur tetapi melalui keyakinan rakyat bahawa hak serta maruah mereka dilindungi.

TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA

Surah al-Baqarah, ayat 256 melalui prinsip ‘tiada paksaan dalam agama’ memberikan asas penting terhadap hubungan antara keimanan, kebebasan memilih dan dakwah. Keimanan yang sebenar lahir daripada kefahaman dan keyakinan, bukan tekanan.

Dalam masyarakat majmuk, prinsip ini tidak bermaksud umat Islam perlu mengorbankan keteguhan akidah. Sebaliknya, kebenaran disampaikan melalui hujah, hikmah dan nasihat yang baik sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nahl, ayat 125. Ulama perlu membina keyakinan masyarakat melalui ilmu dan dalil, bukan penghinaan terhadap kepercayaan pihak lain.

Kefahaman ini juga penting bagi melahirkan Muslim yang kukuh identiti agamanya tetapi matang ketika berinteraksi. 

Kepelbagaian agama sebagai realiti sosial perlu dibezakan daripada pluralisme agama yang menyamakan semua tuntutan kebenaran teologi. Menghormati hak pihak lain untuk hidup bersama tidak bermakna menyamakan doktrin setiap agama.

Al-Quran turut memberikan panduan jelas melalui Surah al-Mumtahanah, ayat 8:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu…”

Dua istilah penting dalam ayat ini ialah al-birr, yang membawa makna kebajikan, dan al-qist, iaitu keadilan. Hubungan dengan masyarakat bukan Islam yang hidup secara aman tidak seharusnya dibina atas permusuhan.

Dalam realiti Malaysia, ruang al-birr amat luas, termasuk membantu mangsa bencana, menjaga kebajikan golongan miskin, memelihara alam sekitar, memperkukuh keselamatan kejiranan serta bekerjasama dalam bidang pendidikan, kesihatan dan integriti. 

Ulama perlu mengembangkan wacana daripada sekadar persoalan boleh atau tidak berhubung dengan bukan Muslim kepada persoalan yang lebih konstruktif, iaitu bagaimana umat Islam dapat menjadi pembawa rahmat, keadilan dan kebajikan kepada masyarakat keseluruhannya.

DIALOG BERHIKMAH MENGURUS PERBEZAAN

Perbezaan agama dan pandangan tidak seharusnya menjadi punca permusuhan. Surah al-Nahl, ayat 125 menekankan kebijaksanaan, nasihat yang baik dan perbahasan secara beradab, manakala al-‘Ankabut, ayat 46 mengarahkan dialog dengan ahli kitab dilakukan dengan cara yang terbaik, kecuali terhadap mereka yang berlaku zalim.

Al-Quran tidak melarang perbahasan tetapi menetapkan akhlak dalam berbahas. Justeru, ulama perlu membangunkan suatu fiqh dialog yang menggabungkan keteguhan prinsip dengan kebijaksanaan komunikasi. 

Dialog bukan bertujuan menghasilkan agama campuran tetapi memastikan pihak yang berbeza memahami pendirian satu sama lain dengan tepat, menghapuskan gambaran palsu, mengurus konflik dan mencari kepentingan bersama.

PERANAN STRATEGIK ULAMA

Wahyu bersifat tetap, sedangkan realiti masyarakat sentiasa berubah. Antara kedua-duanya terdapat ruang tafsir, tafaqquh, istinbat dan ijtihad yang memerlukan keilmuan ulama. Mereka berperanan sebagai pengantara yang memastikan perubahan sosial tidak memutuskan masyarakat daripada wahyu, sementara pembacaan terhadap wahyu pula tidak terpisah daripada realiti.

Dalam masyarakat majmuk, tanggungjawab ini semakin besar kerana petikan ayat secara terpisah daripada konteks boleh menghasilkan kesan sosial yang luas. Ulama perlu menjelaskan perbezaan antara ayat berkaitan peperangan dengan hubungan damai, antara persoalan teologi dengan muamalat sosial serta antara kesetiaan akidah dan kewajipan berlaku adil.

Pendekatan wasatiyyah juga wajar diketengahkan. Wasatiyyah bukan bermaksud mengambil kedudukan pertengahan antara benar dan salah, tetapi kemampuan meletakkan setiap nas pada tempatnya, menghimpunkan dalil secara menyeluruh dan mengelakkan pemahaman ekstrem.

Akhirnya, peranan ulama dalam masyarakat majmuk bukan sekadar menjaga kefahaman agama tetapi turut membentuk akhlak sosial dan budaya kewarganegaraan. Tafsiran al-Quran yang tepat dapat melahirkan masyarakat yang teguh beragama, menghormati hak manusia, menegakkan keadilan, terbuka kepada dialog dan mampu bekerjasama merentasi perbezaan. 

Dalam konteks Malaysia, keseimbangan inilah yang dapat mengukuhkan keharmonian sosial serta menjadi asas kepada pembinaan peradaban yang stabil, matang dan berteraskan nilai. -UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Mustaffa Abdullah ialah Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran, Universiti Malaya (UM).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×