KEBELAKANGAN ini, wacana politik tanah air hangat memperdebatkan tuntutan wilayah Borneo, khususnya Sarawak, yang mendesak agar diperuntukkan kuota minimum 35 peratus (atau satu pertiga) daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Naratif yang sering dilaungkan adalah demi memulihkan ‘semangat asal’ Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun, jika dinilai menerusi lensa perundangan, tuntutan matematik ini bukan sahaja tersasar daripada reka bentuk asal dokumen Perlembagaan, malah berisiko menggoyahkan tiang seri persekutuan iaitu prinsip Keluhuran Perlembagaan, prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 dan Kedaulatan Watan 9 Negeri Melayu.
Ini sekali gus menjadi nasihat agar kerajaan tidak tergesa-gesa membawa tuntutan ini ke Parlimen tanpa lebih dahulu merujuk dan memperoleh perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) di bawah Perkara 38(4).
PERKARA 161E: PERISAI PROSEDUR, BUKAN ALAT TUNTUTAN
Asas salah faham ini sering kali dikaitkan dengan Perkara 161E(2)(e) Perlembagaan Persekutuan. Pihak yang menuntut berhujah fasal ini memberikan jaminan hak perwakilan. Namun, dari sudut tafsiran harfiah, Perkara 161E(2)(e) hanyalah sebuah mekanisme pertahanan prosedur.
Fasal tersebut sekadar menetapkan sebarang perubahan kepada nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak tidak boleh diluluskan tanpa perkenan Yang di-Pertua Negeri (TYT), malah berfungsi sebagai perisai undang-undang, iaitu memberikan kuasa veto kepada TYT (hak untuk berkata tidak) sekiranya Parlimen cuba mengecilkan kerusi mereka secara sepihak.
Perkara 161E tidak sekali-kali mengandungi formula matematik tetap dan tidak boleh dijadikan instrumen ofensif untuk menuntut penambahan kerusi secara mutlak tanpa melalui proses teknikal yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan di bawah Jadual Ke-13 dan Perkara 46.
KEISTIMEWAAN SEDIA ADA
Sabah dan Sarawak, sejak penyertaan mereka ke dalam Persekutuan pada 1963, telahpun menerima susunan perlembagaan khas yang tidak dinikmati negeri-negeri Semenanjung.
Antaranya kawalan imigresen sendiri di bawah Perkara 161B, peruntukan hasil khas di bawah Perkara 112C dan Jadual Ke-10, serta pelbagai jaminan tambahan yang termaktub dalam Jadual Kesembilan dan syarat-syarat khas yang dipersetujui semasa perundingan MA63.
Jika kedua-dua wilayah ini menikmati rangka jaminan struktur yang tersendiri, apakah asas keadilan bagi menuntut lagi satu lapisan jaminan tambahan iaitu kuota kekal sepertiga kerusi Parlimen, sedangkan 11 negeri lain langsung tidak memiliki sebarang mekanisme perlindungan setara terhadap peruntukan kerusi mereka?
Lebih membimbangkan, baki 65 peratus kerusi yang ‘dikongsi’ 11 negeri Semenanjung tiada jaminan kestabilan dalaman.
Ia tertakluk kepada dinamik demografi, migrasi penduduk dan persempadanan semula yang berterusan mengikut Jadual Ke-13 tanpa sebarang ‘lantai’ perlindungan seperti yang dituntut Sarawak.
Maka, mewujudkan satu blok kekal 35 peratus bagi dua wilayah sambil membiarkan 11 negeri lain terdedah kepada ketidakstabilan berterusan dalam baki 65 peratus adalah satu ketidakseimbangan berganda bukan sahaja dari segi nisbah penduduk-kerusi tetapi juga kepastian jangka panjang antara kumpulan negeri.
PERKARA 8: KESAKSAMAAN SEBAGAI ROH PERLEMBAGAAN
Sebarang usaha mengubah struktur perwakilan Parlimen wajib diuji terhadap Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang saksama.
Walaupun Perkara 8 tidak secara langsung mengawal selia bilangan kerusi Parlimen, namun mencerminkan roh keadilan struktural yang menjadi asas kepada keseluruhan seni bina perlembagaan negara bahawa tiada mana-mana kumpulan rakyat sepatutnya menikmati kuasa politik yang jauh melangkaui nisbah kependudukan mereka atas alasan wilayah semata-mata, sekiranya membawa kepada peminggiran sistemik golongan lain.
Prinsip seorang, satu undi, satu nilai yang menjadi tunjang demokrasi berperlembagaan tidak seharusnya dikorbankan demi tuntutan blok wilayah. Menyerahkan kuasa veto berkekalan sebanyak 35 peratus kepada wilayah yang mewakili kira-kira 20 peratus penduduk negara bukan sahaja mencairkan nilai undi berjuta-juta rakyat lain, malah berpotensi bercanggah dengan semangat kesaksamaan yang cuba dipelihara Perkara 8, walaupun tidak menjadikannya per se tidak sah dari segi perlembagaan.
2 WILAYAH MENUNDUKKAN 11 NEGERI
Apabila prinsip Keluhuran Perlembagaan ditegakkan, kita tidak boleh mengetepikan prinsip kesamataraan status negeri yang menjadi roh kepada pembentukan sistem pilihan raya persekutuan.
Sifir tuntutan 35 peratus ini mengandungi kecacatan matematik yang ketara iaitu bagaimana mungkin dua buah negeri diberikan hak pegangan kekal satu pertiga kuasa parlimen, manakala 11 buah negeri lagi dipaksa berkongsi baki 65 peratus?
Semenanjung Tanah Melayu menampung hampir 80 peratus populasi negara. Menyerahkan 35 peratus kuasa veto parlimen kepada wilayah yang hanya mewakili sekitar 20 peratus penduduk bukan sahaja mencairkan nilai undi jutaan rakyat di negeri-negeri lain, malah mewujudkan ketidakadilan geopolitik yang parah di mana majoriti mutlak suara rakyat boleh ditundukkan oleh kehendak politik blok wilayah tertentu secara kekal.
Persekutuan Tanah Melayu 1957 dibentuk hasil rundingan antara British dan raja-raja Melayu serta mengambil kira pandangan pemimpin tempatan, dipacu cadangan Suruhanjaya Reid, Jawatankuasa Kerja Perlembagaan dan semakan oleh pakar perundangan kemudian dimeterai menerusi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Ia bukan sekadar pengagihan kuasa pentadbiran tetapi satu manifestasi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang meletakkan raja-raja Melayu sebagai pemegang kedaulatan asal bagi sembilan Negeri Melayu, yang bersetuju berkongsi sebahagian kompetensi perundangan mereka bagi mendirikan sebuah kerajaan persekutuan yang baharu yang merdeka tanpa melupuskan kedaulatan institusi beraja itu sendiri.
Elemen-elemen watan yang lahir daripada susunan keluhuran perlembagaan asal ini ialah kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, kedaulatan institusi raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera di bawah Perkara 153 dianggap sebagai struktur asas kepada legitimasi Perlembagaan.
Apabila Malaysia diperluaskan pada 1963 menerusi MA63 untuk memasukkan Sabah, Sarawak, dan Singapura (yang kemudiannya keluar pada 1965), rangka asal ini tidak digantikan, sebaliknya diperluas dengan jaminan tambahan khusus untuk wilayah Borneo tanpa menjejaskan struktur watan sedia ada bagi sembilan negeri Melayu.
Justeru, sebarang pengubahsuaian besar kepada nisbah kuasa Parlimen seperti kuota kekal 35 peratus yang berpotensi mengecilkan berat politik negeri-negeri Semenanjung secara sistemik, secara tidak langsung turut menyentuh kedudukan elemen watan yang telah dijamin sejak 1957.
Ini bukan sekadar isu pembahagian kerusi teknikal tetapi isu yang menyentuh struktur asas perlembagaan yang mesti ditangani dengan penuh kewaspadaan perundangan.
PERKARA 38(4): KEPERLUAN PERKENAN MAJLIS RAJA-RAJA
Atas dasar itu, bersandarkan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, sebarang usaha mengubah landskap Parlimen yang memberi impak sistemik kepada kedudukan struktur watan ini wajib dibawa dan tertakluk kepada persetujuan bertulis MRR.
Fasal ini wujud khusus untuk memastikan bahawa perkara-perkara yang menyentuh kepentingan raja-raja Melayu dan kedudukan asasi negeri-negeri tidak boleh diputuskan semata-mata menerusi proses politik eksekutif atau majoriti mudah Parlimen.
Kerajaan perlu berhati-hati kerana membawa tuntutan kuota 35 peratus ke Parlimen tanpa merujuk dan mendapat perkenan MRR boleh mencetuskan ketidakstabilan politik serta cabaran perundangan di bawah Perkara 38(4).
Parlimen dan rundingan eksekutif tidak boleh membelakangkan MRR dalam isu yang menyentuh kedaulatan watan negara. –UTUSAN
DATUK Professor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens Watan Dan Fiqh Al-Watan (ISTAC-UIA)/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).











