PADA suatu ketika dahulu, mendapatkan berita tentang perkembangan dalam atau luar negara memerlukan sedikit masa dan menunggu. Surat khabar menjadi teman pada awal pagi, radio dipasang untuk mengikuti berita, manakala televisyen pula menjadi sumber utama maklumat pada waktu-waktu tertentu.
Berita yang disampaikan melalui media tersebut dianggap berwibawa kerana terdapat wartawan, editor dan organisasi media yang bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan.
Hari ini, keadaan sudah berubah sama sekali. Sebuah telefon pintar yang berada di tangan sudah cukup untuk membolehkan seseorang membaca berita dari seluruh dunia.
Portal berita dalam talian pula memberikan akses kepada maklumat dengan pantas tanpa perlu menunggu akhbar dicetak atau siaran berita radio dan televisyen bermula.
Sesungguhnya, media sosial menjadikan setiap pengguna bukan sahaja pembaca, malah boleh menjadi penyampai berita.
Di sinilah masalah mula timbul kerana tidak semua maklumat yang muncul di skrin telefon merupakan berita. Tidak semua paparan yang dikongsi oleh rakan-rakan kita adalah fakta. Tidak semua siaran yang disertakan gambar, video, tajuk yang menarik atau ribuan tanda suka merupakan maklumat yang benar.
Lebih membimbangkan, berita palsu atau maklumat yang belum disahkan sering bergerak lebih pantas berbanding berita yang benar. Sebagaimana kita saksikan sendiri, sesuatu dakwaan yang mengejutkan, menakutkan atau menimbulkan kemarahan amat mudah mendapat perhatian.
Seseorang membaca, mempercayainya, lalu menekan butang ‘kongsi’. Orang kedua, ketiga dan seterusnya melakukan perkara sama. Dalam beberapa minit, sesuatu siaran yang belum terbukti benar boleh tular dan kelihatan seperti suatu ‘kebenaran’ hanya kerana terlalu ramai orang menyebarkannya.
Sama ada disedari atau tidak, penyebaran berita atau maklumat yang belum disahkan membawa kesan kepada pelbagai pihak. Kesan pertama berlaku kepada individu iaitu kita sebagai pengguna media sosial.
Seseorang yang mempercayai berita palsu mungkin membuat keputusan berdasarkan maklumat yang salah. Dia mungkin panik, takut, marah atau membenci seseorang tanpa alasan kukuh.
Lebih buruk lagi, dia sendiri boleh kehilangan kredibiliti dalam kalangan rakan-rakan apabila berkongsi maklumat palsu.
Dalam dunia digital, jejak perkongsian boleh kekal lama. Apa yang dianggap sebagai ‘sekadar forward’ pada hari ini mungkin menjadi bahan pertanyaan pada masa hadapan.
Senario melibatkan beberapa orang politik boleh dijadikan contoh dalam hal ini. Kesan negatif juga boleh memberi kesan kepada keluarga. Bayangkan seorang ahli keluarga menerima mesej kononnya sesuatu penyakit sedang merebak, sesuatu produk dikatakan bahaya atau seseorang ahli keluarga terlibat dalam malapetaka.
Tanpa menyemak kesahihan, mesej tersebut disebarkan pula kepada ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara. Akibatnya, timbul ketakutan, salah faham dan pertengkaran.
Hubungan kekeluargaan boleh terjejas hanya kerana seseorang terlalu cepat mempercayai sesuatu yang muncul menerusi WhatsApp, Facebook, Threads, TikTok atau platform lain.
Lebih besar lagi ialah kesan kepada masyarakat atau komuniti setempat. Masyarakat yang dibanjiri maklumat palsu akan menjadi komuniti yang sukar membezakan fakta dengan persepsi.
Misalnya, fitnah terhadap seseorang boleh tersebar sebelum individu berkenaan sempat menjelaskan keadaan sebenar. Khabar angin mengenai sesuatu kaum, agama, institusi atau kumpulan masyarakat pula boleh mencetuskan kebencian dan permusuhan.
Apabila emosi mengatasi fakta, masyarakat menjadi mudah dipengaruhi. Perkara ini bukan hanya pada teori kerana sudah banyak kali berlaku dalam masyarakat kita.
Dalam keadaan tertentu, berita palsu boleh memberikan kesan kepada negara. Maklumat palsu mengenai isu keselamatan, ekonomi, pilihan raya, institusi awam atau sesuatu krisis boleh menggugat keyakinan orang ramai.
Pelabur, pelancong dan masyarakat antarabangsa juga mungkin membentuk persepsi berdasarkan maklumat yang tidak benar. Jika keadaan menjadi serius, penyebaran maklumat palsu bukan lagi sekadar masalah komunikasi. Sebaliknya, sudah menjadi ancaman terhadap keharmonian sosial dan kestabilan negara.
JADI PENGGUNA MEDIA SOSIAL YANG BIJAK
Contoh dan huraian mudah ini menunjukkan betapa kita sebagai pengguna media sosial perlu belajar menjadi pembaca yang berhati-hati dan bukan sekadar pembaca yang pantas berkongsi berita.
Langkah pertama ialah menyemak sumber. Siapakah yang menulis berita ini? Adakah ia berasal daripada portal berita yang ada reputasi seperti Utusan Malaysia? Adakah nama wartawan dan tarikh penerbitan dinyatakan? Jika sumber asal tidak jelas, kita ada sebab untuk berhati-hati. Jika tidak pasti, jangan tekan butang ‘kongsi’.
Langkah kedua ialah membaca keseluruhan berita, bukan sekadar tajuk. Tajuk yang sensasi mungkin sengaja digunakan sebagai klik umpan untuk menarik perhatian. Ada kalanya tajuk memberikan gambaran yang jauh berbeza daripada kandungan sebenar.
Langkah ketiga ialah membandingkan maklumat dengan sumber lain. Jika sesuatu berita benar-benar penting, lazimnya terdapat laporan daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai. Jangan jadikan satu hantaran media sosial sebagai satu-satunya sumber kebenaran.
Langkah keempat ialah menyemak tarikh. Berita lama sering dikitar semula seolah-olah merupakan kejadian baharu. Gambar lama pula boleh digunakan untuk memberikan gambaran palsu terhadap sesuatu peristiwa.
Akhir sekali, kita perlu belajar mengawal jari sebelum menekan butang ‘kongsi’. Jika sesuatu berita menimbulkan kemarahan melampau, ketakutan mendadak atau kegembiraan luar biasa, maka perlu berhenti sebentar, tarik nafas, baca semula dan semak dahulu kesahihan.
Kita tidak perlu menjadi wartawan untuk mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab. Kita hanya perlu menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab apabila berkongsi maklumat.
Sesuatu maklumat yang belum disahkan tidak menjadi benar hanya kerana kita menerimanya daripada orang yang kita kenali. Sesuatu yang tular tidak semestinya benar hanya kerana sudah dikongsi oleh ribuan orang.
Mungkin kita tidak mampu mengawal individu yang mencipta dan menyebarkan berita atau maklumat yang belum disahkan sahih. Namun, kita masih ada kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab dengan tidak berkonsgi atau menyebarkan sebarang berita seperti itu. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










