Belia mesti berani berubah

Belia mesti berani berubah

PENULIS bersama peserta daripada kumpulan Indonesian Youth Excursion Network (IYEN) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELIA merupakan aset penting yang boleh mempengaruhi jatuh bangunnya sesebuah negara. Justeru, jika belianya elok dan terdidik dengan baik, maka negara tersebut akan lebih berupaya untuk mencapai kejayaan yang gemilang.

Pada masa sama, anak muda juga sering dikaitkan dengan sifat darah muda yang menggambarkan semangat yang berkobar-kobar dan sentiasa bertenaga, namun cepat marah, tidak sabar dan suka bertindak mengikut kata hati.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta. Maka, belia harus sentiasa bersikap bijaksana dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melangkah.

Menyedari kelemahan ini, ada pihak yang menjadikan anak muda sebagai alat untuk mencapai tujuan mereka. Semuanya akan didesak atas nama hak kebebasan bersuara dan akan terus memberontak atau turun ke jalanan sekiranya apa yang mereka desak tidak dituruti.

Orang yang paling kuat bersuara akan diangkat sebagai jaguh perjuangan mereka. Apatah lagi mereka yang dilihat berani melakukan hasutan provokasi dan kekerasan.

Lucunya, tidak kurang juga anak muda yang sekadar terikut-ikut dan turun ke jalanan tanpa benar-benar memahami akan isu yang sedang diperjuangkan. Mereka tidak mahu dianggap sebagai penakut dan enggan ‘dipulau’ oleh kawan-kawan yang kononnya dilihat hebat dan berani.

Kita sering menyalahkan pihak lain kerana memang lebih mudah untuk menyalahkan orang daripada menyelesaikan masalah. Kita mahukan perubahan tetapi tidak mahu berusaha keras melakukannya. Hal sebegini sering terjadi di sekeliling kita.

Dua hari lalu, kami menerima lawatan daripada kumpulan Indonesian Youth Excursion Network (IYEN), iaitu sebuah program yang membawa belia Indonesia dari sekolah dan universiti ke Malaysia bagi memperluaskan pengalaman masing-masing.

Ini kali ke-27 mereka ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan saya sering mengendali lawatan mereka di sini dengan memberi taklimat dan perkongsian tentang pergerakan belia dan pembangunan mampan.

Semasa sesi tersebut, saya diajukan soalan bagaimanakah caranya untuk membina generasi belia yang hebat, sedangkan ekosistem pendidikan masih bermasalah dan tidak dapat bantu memperkasa belia.

Saya amat tertarik dengan soalan ini. Ini kerana merasakan perkara yang sama memandangkan berlaku di Malaysia juga. Ramai murid mengadu kerana sesetengah guru hanya mengajar untuk mengejar gaji dan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Sebagai contoh, apabila kerajaan mengemukakan soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang sepatutnya memerlukan fikiran kritikal untuk menjawabnya, para calon peperiksaan disuruh untuk menghafal seperanggu jawapan bagi soalan-soalan yang dijangka akan keluar, agar guru lebih mudah memberi markah kelak.

Akhirnya, murid hanya belajar untuk menghafal dan tidak mempunyai minda yang kritikal untuk menaakul apa yang dipelajari.

Maka soalan yang ditanya oleh peserta IYEN itu sangatlah berkenaan dengan keadaan semasa kerana meskipun kerajaan menyediakan sistem pendidikan yang bertujuan memupuk generasi yang lebih matang, namun ekosistemnya tidak semestinya mengizinkan perkara ini.

JANGAN JADI BELIA YANG DISUAP

Seperti biasa saya lebih suka mengambil pendekatan yang positif dalam mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu isu. Saya tidak arif mengenai sistem pendidikan di Indonesia, namun dalam hal ini setiap daripada kita boleh mengambil langkah untuk menjadi lebih baik.

Kita tidak perlu menunggu sistem pendidikan dirombak untuk menjadi belia yang hebat. Malah, sehebat mana jua sistem pendidikan kita, tidak akan menjadi efektif sehinggalah diterapkan berdasarkan falsafahnya.

Pembentukan sahsiah diri hendaklah bermula dari rumah dan bukannya dari sekolah. Setiap ibu bapa mesti membimbing anak-anak mereka dengan nilai yang baik dan mulia serta budi pekerti yang tinggi.

Untuk memperbaiki ekosistem pendidikan kita pula, seperti di Malaysia, bukan sahaja perlukan perubahan sistem kerana sistemnya tersendiri mungkin sudah cukup baik. Sebaliknya, perlu menterjemahkan perubahan tersebut kepada tindakan sebagai tenaga pengajar yang berwibawa.

Bukanlah bermakna semua orang perlu menjadi guru tetapi kita perlu mengajak yang lain ke arah yang benar agar bakal guru-guru masa depan tidak lagi membawa sifat yang dikutuk hari ini. Perubahan tersebut bermula dari langkah-langkah kita.

Kadangkala kita cepat menyalahkan sesetengah pihak apabila sesuatu masalah berlaku, tanpa menyedari langkah seterusnya hendaklah diteruskan oleh diri kita, bukannya orang lain.

Sekolah pula bukan bertujuan menjadi pusat sehenti untuk segala perkara berkaitan pembangunan murid. Malah, sekiranya ekosistem sekolah cukup baik pun, tidak bermakna kita boleh melepaskan tangan ke pihak sekolah untuk menjadikan anak atau diri kita lebih baik.

Kita sendiri juga perlu mengambil usaha ke arah memperkasa diri dan rakan-rakan sekeliling. Jangan bergantung kepada apa yang disuap semata-mata atau menjadi pelajar 3K (kuliah, kantin, katil) yang hanya mengikut arus tanpa inisiatif sendiri.

Kerana inilah saya mengagumi peserta serta penganjur IYEN, kerana menunjukkan usaha dari diri kita untuk cuba menerokai lebih jauh daripada sistem sedia ada. Langkah-langkah sebeginilah yang boleh membentuk pemimpin masa depan.

Belia berimpian untuk melakukan perubahan dan tiada yang menghalang impian tersebut selain diri kita. Tidak guna kita serak menengking mendesak perubahan sekiranya kita sendiri enggan melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan semasa.

Saya sangat mengagumi mereka yang mencari peluang untuk melibatkan diri dalam pengalaman yang lebih luas di luar lingkungan keselesaan mereka. Inilah juga yang saya cuba lakukan setiap kali menghadiri persidangan antarabangsa di luar negara.

Apabila kita melibatkan diri dalam perbicaraan ilmiah, intelektual dan kritikal, kita dapat menggilap dan mengasah minda kita ke arah kematangan. Janganlah sekadar berbising-bising, tidak berfikir dan hanya mendesak itu dan ini seperti kanak-kanak.

Ambillah peluang yang ada untuk membangun diri. Jangan menjadi rintangan terhadap diri sendiri, atau lebih teruk lagi menjadi pencetus runtuhnya sahsiah diri dan orang sekeliling akibat nafsu atau ketamakan diri. –UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×