Integriti bukan sekadar bebas rasuah

Integriti bukan sekadar bebas rasuah

REFORMASI perkhidmatan awam bukan sekadar memperkemas sistem, tetapi membentuk penjawat awam yang cekap, berintegriti, matang dan menghormati insan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESUNGGUHAN kerajaan melaksanakan reformasi pentadbiran dapat dilihat menerusi ucapan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada kira-kira 1,200 penjawat awam dan pihak industri pada Konvensyen ILTIZAM 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), 5 Ogos lalu.

Konvensyen bertemakan ‘ILTIZAM: Memacu Kecekapan, Akauntabiliti dan Reformasi Perkhidmatan Awam’ itu memperlihatkan komitmen kerajaan memperkukuh integriti serta menangani gejala rasuah dalam sektor awam.

Usaha berkenaan selari dengan gagasan Malaysia Madani yang menjadikan kesejahteraan, nilai kemanusiaan dan tadbir urus baik sebagai asas pembangunan negara.

Namun, reformasi pentadbiran tidak memadai jika hanya tertumpu kepada sistem, prosedur dan teknologi. Sektor awam juga memerlukan modal insan yang cekap, matang serta mampu menggabungkan profesionalisme dengan nilai kemanusiaan.

Kesantunan profesional, misalnya, bukan sekadar tutur kata yang baik atau menjaga adab ketika berurusan. Ia merangkumi rasa hormat, empati, kesediaan mendengar pandangan berbeza serta keupayaan mengurus perbezaan secara matang. Nilai ini penting kerana perkhidmatan awam pada akhirnya berkaitan manusia yang berkhidmat kepada manusia lain.

Penjawat awam yang mempunyai kompetensi tinggi tetapi gagal menghormati rakan sekerja atau mendengar pandangan berbeza boleh menjejaskan kepercayaan dalam organisasi. Sebaliknya, budaya saling menghargai mampu membuka ruang kepada perkongsian idea, kerjasama dan inovasi.

Organisasi yang matang juga tidak semestinya bebas daripada konflik. Perbezaan pendapat merupakan perkara biasa, malah boleh menjadi pemangkin kepada penambahbaikan. Yang perlu dielakkan ialah apabila perbezaan bertukar menjadi penghinaan, serangan peribadi atau budaya takut bersuara.

BERANI BERUBAH

Reformasi memerlukan penjawat awam yang berani menilai semula prosedur lama yang tidak lagi relevan. Mereka perlu berani bertanya sama ada sesuatu proses masih diperlukan, boleh dipermudah atau digantikan dengan pendekatan yang lebih berkesan.

Keberanian mencabar amalan lapuk ini selari dengan nilai daya cipta Malaysia Madani. Namun, bersuara secara kritikal tidak bermaksud bersikap kasar. Penjawat awam perlu berani menyuarakan pandangan tanpa merendahkan pihak lain.

Dalam hal ini, pemimpin organisasi mempunyai tanggungjawab besar untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bagi percambahan idea. Jika setiap cadangan baharu disambut dengan sindiran atau penolakan, kakitangan akhirnya memilih untuk berdiam diri. Organisasi mungkin menjadi lebih patuh tetapi kehilangan keberanian untuk berkembang.

Masalah rakyat semakin kompleks dan jarang dapat diselesaikan oleh satu jabatan atau kementerian sahaja. Justeru, penjawat awam perlu bergerak melangkaui sempadan tugas dan mengamalkan pemikiran rentas silo.

Persoalannya bukan lagi sekadar “ini tugas saya atau bukan?” tetapi “siapa yang perlu kita libatkan untuk menyelesaikan masalah ini?”. Pendekatan tersebut dapat membina keyakinan rakyat terhadap keupayaan serta ketelusan kerajaan.

Integriti sering dikaitkan dengan pematuhan peraturan, pencegahan salah guna kuasa dan usaha membanteras rasuah. Semua itu penting, namun nilai tersebut turut terserlah melalui cara seseorang melayan orang lain.

Nilai Ihsan Madani pula mengingatkan penjawat awam supaya mengutamakan empati, belas kasihan dan penghormatan dalam setiap urusan.

Dalam era teknologi yang semakin mengambil alih tugasan rutin, nilai kemanusiaan seperti empati, hormat dan kesantunan akan menjadi aset yang sukar digantikan.

Justeru, pembangunan modal insan sektor awam perlu melangkaui kompetensi teknikal. Kerajaan memerlukan penjawat awam yang cekap tetapi rendah hati, berani tetapi santun, tegas namun berempati serta berintegriti tanpa mengabaikan maruah insan.

Reformasi pentadbiran yang sebenar bukan sekadar menjadikan sistem lebih pantas dan cekap, tetapi membentuk manusia yang mampu membuat pertimbangan dengan matang, berani mencari penyelesaian lebih baik dan melaksanakan amanah dengan penuh rasa hormat kepada rakyat. –UTUSAN

 

DR. Sakinah Muslim ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN