ZEB: Jambatan baharu ekonomi Malaysia-Thailand

ZEB: Jambatan baharu ekonomi Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand (ZEB) perlu dilihat sebagai anjakan strategik yang mampu mengubah landskap pembangunan negara, bukan sekadar projek infrastruktur berskala besar.

Dalam era ekonomi serantau yang semakin bersepadu, kawasan sempadan perlu diangkat sebagai pusat pertumbuhan baharu yang mampu merangsang perdagangan, menarik pelaburan dan mengagihkan manfaat ekonomi secara lebih seimbang.

Justeru, pelaksanaan ZEB perlu dipercepatkan dengan pendekatan lebih tersusun, bersepadu dan berasaskan bukti supaya potensinya dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat serta komuniti setempat.

Hubungan perdagangan Malaysia-Thailand sememangnya kukuh dengan nilai dagangan dua hala yang tinggi dalam kalangan negara ASEAN. Namun, kecekapan logistik di kawasan sempadan masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani.

Laluan Bukit Kayu Hitam-Sadao memainkan peranan penting sebagai nadi perdagangan antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, kesesakan, ketidakselarasan prosedur dan kelewatan pelepasan kastam terus meningkatkan kos transaksi serta menjejaskan kecekapan rantaian bekalan.

Langkah kerajaan memindahkan pusat kastam Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu merupakan perkembangan strategik yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Kemudahan moden itu berupaya meningkatkan kapasiti pemprosesan, mempercepat pergerakan kargo serta menyokong penggunaan sistem digital.

Namun, kelebihan infrastruktur tersebut hanya dapat dimaksimumkan melalui penyelarasan prosedur antara Malaysia dan Thailand, pelaksanaan sistem sehenti (single window) rentas sempadan serta automasi penuh proses kastam. Reformasi ini penting bagi memastikan ZEB berfungsi sebagai pemangkin perdagangan yang cekap dan kompetitif.

Pada masa sama, pembangunan infrastruktur sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan ZEB. Pengalaman antarabangsa menunjukkan banyak projek berskala besar gagal mencetuskan pertumbuhan ekonomi apabila tidak disokong ekosistem yang kukuh.

Oleh itu, kerajaan perlu memperkukuh asas ekonomi sekitar sempadan melalui pembangunan taman industri, hab logistik bersepadu dan platform perdagangan digital. Pendekatan ini membolehkan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengambil bahagian secara lebih aktif dalam ekonomi rentas sempadan.

 

KERJASAMA Malaysia-Thailand dalam Zon Ekonomi Sempadan Malaysia–Thailand (ZEB) membuka peluang untuk membentuk ekosistem ekonomi baharu yang menghubungkan perdagangan, industri dan masyarakat.

PERANAN UNIVERSITI

Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu diberikan peranan lebih besar sebagai pemangkin pembangunan.

Kepakaran dalam penyelidikan gunaan, inovasi teknologi, pembangunan bakat dan khidmat sokongan kepada industri mampu membantu membina ekosistem ekonomi yang lebih berdaya saing.

PKS perlu menjadi antara komponen utama dalam strategi pembangunan ZEB. Walaupun sektor ini merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, namun penyertaan mereka dalam aktiviti eksport masih belum mencapai tahap optimum.

Di kawasan sempadan, cabaran yang dihadapi usahawan lebih kompleks, termasuk kekangan pembiayaan, keperluan mematuhi piawaian produk, kekurangan jaringan pasaran dan tahap penggunaan teknologi yang masih rendah.

Tanpa intervensi bersasar, manfaat ZEB berisiko tertumpu kepada syarikat besar dan pelabur asing sahaja. Justeru, kerajaan perlu mempercepat program inkubator PKS, menyediakan kemudahan pembiayaan bersesuaian serta membangunkan platform e-dagang rentas sempadan yang mudah diakses oleh usahawan tempatan.

Selain pertumbuhan ekonomi, aspek sosial juga perlu diberikan perhatian. Antara matlamat utama ZEB ialah mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah utara Semenanjung Malaysia dengan kawasan selatan Thailand.

Bagi mencapai matlamat itu, pendekatan berasaskan lokasi perlu diterapkan dengan mengambil kira keunikan sosioekonomi masyarakat setempat. Pembangunan kemahiran tenaga kerja melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu diselaraskan dengan keperluan industri baharu, manakala kemudahan perumahan serta perkhidmatan sosial perlu diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Kejayaan ZEB turut bergantung kepada aspek tadbir urus yang berkesan. Projek rentas sempadan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkepentingan di kedua-dua negara. Tanpa penyelarasan yang kukuh, proses pelaksanaan boleh menjadi perlahan dan menjejaskan keyakinan pelabur.

KERJASAMA DUA HALA

Sehubungan itu, Malaysia dan Thailand perlu mewujudkan mekanisme kerjasama dua hala yang lebih berkesan, termasuk membentuk badan penyelaras peringkat tinggi yang mempunyai kuasa membuat keputusan serta menyelaraskan isu berkaitan kastam, pelaburan dan mobiliti tenaga kerja.

Dalam ekonomi digital hari ini, teknologi juga perlu menjadi tunjang pelaksanaan ZEB. Kerajaan boleh membangunkan sistem pemantauan berasaskan data bagi menilai prestasi zon tersebut dari segi aliran perdagangan, kemasukan pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan komuniti.

Pendekatan berasaskan data membolehkan tindakan pembetulan dilakukan dengan lebih pantas serta memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada masyarakat.

Pada masa sama, Malaysia perlu melihat ZEB dalam konteks lebih luas sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh jaringan logistik serantau. Kebergantungan tinggi terhadap Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan menjadikan rantaian bekalan mudah terdedah kepada kesesakan dan risiko geopolitik.

Justeru, pembangunan sistem pengangkutan darat rentas Semenanjung yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur wajar diberi perhatian.

Rangkaian rel berkapasiti tinggi serta lebuh raya logistik bersepadu mampu mempercepat pergerakan kargo antara Laut Andaman dan Laut China Selatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada laluan maritim.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan perdagangan, malah berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau serta menjadi pelengkap kepada perkembangan ekonomi Thailand.

Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, ZEB mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan. Namun, kejayaannya tidak bergantung kepada saiz pelaburan atau kemegahan infrastruktur semata-mata.

Yang lebih penting ialah keupayaan kerajaan kedua-dua negara menyegerakan pelaksanaan dasar, memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta memastikan manfaat ekonomi sampai kepada masyarakat setempat.

Jika dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, ZEB berpotensi memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi model kerjasama ekonomi serantau yang memberi manfaat bersama. –UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN