RUU Pengangkutan Jalan taring baharu keselamatan jalan raya

RUU Pengangkutan Jalan taring baharu keselamatan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AKTA 333 merupakan antara undang-undang utama yang menjadi asas kepada pengurusan, pengawalseliaan dan penguatkuasaan jalan raya di negara kita.

“Namun, realiti pengangkutan jalan pada hari ini telah banyak berubah. Perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semakin digital, corak mobiliti rakyat semakin pelbagai dan penguatkuasaan kini semakin bergantung kepada data, kamera serta sistem automasi.

“Pada masa sama, kita turut berdepan dengan pelbagai cabaran dalam aspek penguatkuasaan dan kawal selia yang memerlukan perhatian berterusan termasuk isu lumba haram, kegiatan tonto, penggunaan mikromobiliti, perkembangan teknologi kenderaan elektrik, pematuhan kenderaan asing rentas sempadan, pemalsuan dokumen kenderaan serta keselamatan kenderaan motor dan komponennya.” – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam Bacaan Kali Kedua Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 (DR7/2026).

Pada 1 Jun lalu, lima nyawa maut dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Johor melibatkan perlanggaran lima kenderaan.

Ini adalah jalan raya yang saya lalui setiap kali pulang ke kampung halaman di Layang-Layang. Meskipun amat tragik tetapi tidak aneh kejadian seumpama ini berlaku kerana jalan raya yang dibina sebagai kemudahan menghubungkan masyarakat di Daerah Kluang ini sering melihat pemanduan kenderaan secara melulu dan melebihi had laju.

Bahkan, beberapa tahun mutakhir ini, jalan raya ini juga menyaksikan trend kayuhan basikal mewah menggunakan laluan ini. Pilihan Jalan Renggam-Simpang Renggam bukan sahaja kerana panaroma ladang pertanian yang sangat indah di kiri dan kanan jalan tetapi juga disebabkan laluan mencabar berbukit yang memberikan pengalaman kayuhan yang berbeza. Namun, pilihan ini adalah sebetulnya berbahaya dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Isu lumba haram dan sikap acuh tak acuh di jalan raya bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita. Berdekad-dekad lamanya, jalan raya awam sering dijadikan ‘litar percuma’ oleh sesetengah pihak tanpa memikirkan keselamatan orang lain.
Namun, kelulusan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Parlimen baru-baru ini menandakan perubahan signifikan yang amat diperlukan dalam penguatkuasaan undang-undang trafik tanah air.

Langkah Kementerian Pengangkutan memperkenalkan Seksyen 42A wajar dipuji kerana menyasarkan teras masalah berkaitan kelompongan undang-undang dalam kerangka sedia ada.

Sebelum ini, pihak berkuasa seolah-olah terikat tangan kerana perlu membuktikan wujudnya unsur bahaya atau perlu melihat berlakunya kemalangan terlebih dahulu sebelum tindakan tegas dapat diambil.

Melalui Seksyen 42A yang diluluskan ini, perbuatan berlumba atau menduga kelajuan itu sendiri sudah menjadi satu kesalahan khusus.

Penguatkuasaan kini boleh bertindak lebih awal, sebelum nyawa pengguna jalan raya menjadi taruhan. Pindaan kali ini tidak hanya memfokuskan kepada pesalah di atas litar haram, malah merangkumi skop yang lebih meluas.

Di bawah Seksyen 110B, Akta 333 kini juga bertaring untuk membanteras kegiatan tonto. Kini, sebarang tindakan mengekori, mengganggu atau membocorkan maklumat operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat ditangani secara khusus.

Ini memberi perlindungan wajar kepada pegawai penguatkuasa daripada ancaman sindiket yang selama ini beroperasi merendahkan kemurniaan undang-undang negara.

 

KESELAMATAN jalan raya bukan hanya bergantung pada undang-undang dan penguatkuasaan, sebaliknya memerlukan sikap bertanggungjawab setiap pengguna jalan raya.

 

PENGUATKUASAAN TIDAK BOLEH KETINGGALAN ZAMAN

RUU ini juga memberi pengiktirafan dan memperkasa kawal selia terhadap alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) serta kenderaan mikromobiliti dengan memberi keutamaan kepada keselamatan pejalan kaki, tanpa mengabaikan keperluan golongan B40, pelajar dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pindaan sebegini adalah cerminan keprihatinan terhadap perkembangan teknologi pemotoran yang kini semakin maju merangkumi kenderaan elektrik termasuklah skuter berkuasa tinggi.

Pindaan undang-undang di atas kertas sememangnya kelihatan utuh, namun kejayaan sebenarnya bergantung kepada sejauh mana ia dapat dilaksanakan di lapangan. Kerana itu, dalam perbahasan di Parlimen, pendekatan keselamatan jalan raya tidak boleh bersandarkan hukuman punitif semata-mata.

Sebaliknya, kawal selia dan penguatkuasaan perlu mengimbangi tiga teras utama (3E) yakni pertama, kejuruteraan yang melibatkan keadaan infrastruktur seperti pembahagi jalan dan kamera penguatkuasaan automatik.

Kedua, pendidikan yang lebih utama dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam memupuk budaya pemanduan berdisiplin sejak di bangku sekolah.

Ketiga, penguatkuasaan yang melihat kepada ketegasan dan ketelusan penguatkuasaan tanpa kompromi, termasuk cadangan penggantungan lesen secara automatik bagi pesalah tegar atau berulang.

Biarpun pindaan di bawah DR 7/2026 memberikan pihak berkuasa taring yang lebih tajam untuk bertindak, namun keharmonian dan keselamatan jalan raya akhirnya kembali kepada tanggungjawab kita bersama sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.

Sikap pentingkan diri sendiri yang akhirnya menyusahkan pengguna lain haruslah dilihat sebagai sikap antisosial yang membahayakan keseluruhan masyarakat dan harus ditekankan sejak di sekolah.

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2026 merupakan satu mesej jelas bahawa jalan raya awam bukan tempat untuk rakyat menunjuk samseng. Sebaliknya adalah satu kemudahan yang harus dipelihara kerana dibina bagi manfaat semua rakyat Malaysia.

Apabila kita menggunakan jalan raya, setiap orang ada destinasi pulang kepada keluarga masing-masing.

Peringatan ini harus ditekankan kerana sebagaimana ketat sekalipun sesuatu undang-undang itu digubal, ia tidak akan membawa perubahan sekiranya sikap pengguna jalan raya tetap di takuk lama. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN