Perpaduan yang belum terbukti

Perpaduan yang belum terbukti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMBILAN hari sahaja memisahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan Negeri Sembilan. Dalam tempoh singkat itu, landskap politik kedua-dua negeri memperlihatkan dua pendekatan berbeza dalam menghadapi pilihan raya.

Di Johor pada 11 Julai lalu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertembung di kesemua 56 kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula gagal memenangi sebarang kerusi.

Di Negeri Sembilan, situasinya berbeza. PH bertanding di semua 36 kerusi, BN mengambil 25 kerusi, manakala 11 lagi diserahkan kepada PN tanpa pertembungan. Ada yang menyifatkan susunan ini sebagai muafakat antara BN dengan PN. Namun, adakah benar-benar muafakat atau sekadar persefahaman yang belum berani dinamakan?

Persoalan ini bukan sekadar berkaitan istilah. Jawapannya boleh memberi gambaran tentang corak Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri serta hala tuju hubungan antara parti dalam Kerajaan Madani.

Sebelum menilai maknanya, kita perlu memahami mengapa pendekatan kedua-dua negeri berbeza. Perubahan itu bukan semata-mata soal pendirian politik tetapi berkait dengan siapa yang memerintah sebelum pilihan raya.

Di Johor, BN ialah penyandang dengan 40 kerusi sejak 2022. Gabungan itu tidak memerlukan bantuan pihak lain untuk mempertahankan kuasa. Oleh itu, PN dibiarkan bertanding sendiri dan akhirnya gagal memenangi sebarang kerusi.

Di Negeri Sembilan pula, PH memegang tampuk pemerintahan. Jika BN mahu mengambil alih negeri, maka gabungan itu perlu menumbangkan kerajaan sedia ada. Namun, pembahagian undi kepada tiga penjuru boleh menyukarkan usaha tersebut. Maka, 11 kerusi diberikan kepada PN bagi mengelakkan pertembungan.

Coraknya mudah dibaca. PH dilawan secara langsung di negeri yang dikuasai BN, manakala PN mendapat ruang di negeri yang ditadbir PH. Maka, istilah ‘rakan yang boleh dipercayai’ seperti diungkapkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, kelihatan bergantung pada siapa yang sedang memegang kuasa.

SATU PAPAN TANDA, DUA KAUNTER

Semua percaturan ini berlaku di peringkat pemimpin. Bagi pengundi pula, gambaran yang muncul lebih mudah tetapi mengundang persoalan.

Bayangkan sebuah kedai dengan papan tanda besar dan terang. Satu nama, satu jenama dan satu janji. Namun, apabila pelanggan melangkah masuk, terdapat dua kaunter dan dua pemilik yang berebut pelanggan sama. Lebih menghairankan, seorang daripada mereka membawa peniaga dari kedai sebelah untuk membantunya.

Dalam keadaan itu, pelanggan hanya mahu tahu, apa sebenarnya yang tertulis pada papan tanda?

Begitulah keadaan pengundi di Rembau pada 1 Ogos nanti. Mereka berdepan dua calon daripada parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Madani selepas PRU pada 2022. Mereka diminta memilih antara dua rakan politik dan berhak bertanya, apa lagi yang menyatukan mereka?

Jawapannya terpampang pada papan tanda ‘perpaduan’.

Putrajaya sudah bersuara. Perdana Menteri mengingatkan anggota Kabinet supaya tidak menyerang rakan dalam kerajaan. Mana-mana menteri yang melanggar peringatan itu wajar melepaskan jawatan. Niat tersebut jelas dan kebimbangannya berasas.

Namun, peringatan itu tidak menghentikan persaingan. Parti masih bebas bertanding atas isu negeri, manakala PN pula bukan anggota Kerajaan Madani. Yang diminta hanyalah agar persaingan berlangsung secara sopan.

Keadaan ini ibarat memasang papan tanda ‘Dilarang meletak kenderaan’ di jalan tanpa penguat kuasa. Tanpa mekanisme yang jelas, arahan yang baik akhirnya hanya menjadi hiasan.

Perkara sama dapat dilihat apabila Menteri Luar itu menyatakan kesediaan untuk berundur tetapi menyerahkan keputusan kepada Perdana Menteri. Kedua-duanya menyampaikan pendirian dengan penuh hormat dan memahami tindakan itu hampir tidak akan berlaku.

Persoalannya bukan siapa yang bersalah. Masalah sebenar ialah ketiadaan kerangka bersama yang menetapkan batas tindakan rakan gabungan ketika mereka berdepan sebagai pesaing dalam pilihan raya negeri.

 

PERPPADUAN politik bukan sekadar nama atau persefahaman sementara tetapi perlu dibuktikan melalui kesepakatan yang jelas dan berterusan demi kepentingan bersama.

MUAFAKAT PERLU MELANGKAUI PERSEFAHAMAN

Ada yang menganggap keadaan ini sebagai lumrah politik. Tiada kawan atau lawan yang kekal kerana kepentingan sentiasa berubah. Logik Machiavelli bahawa matlamat menghalalkan cara juga sering dijadikan sandaran.

Namun, kedua-duanya hanya menggambarkan tingkah laku politik, bukan prinsip yang wajar menjadi panduan sesebuah bangsa.

Machiavelli menulis tentang pemerintah yang mahu mempertahankan kuasa, bukan masyarakat yang mahu membina kehidupan bersama. Kuasa mungkin dipertahankan melalui percaturan tetapi masyarakat memerlukan kepercayaan dan komitmen jangka panjang.

Jika kepentingan menjadi satu-satunya asas hubungan, maka rakyat tidak akan mendapat jaminan yang melangkaui satu penggal. Negara pula tidak mungkin dibina atas perjanjian yang sentiasa mempunyai tarikh luput.

Kembali kepada persoalan awal. Susunan 25–11 itu boleh dinamakan muafakat dan mungkin itulah niat pihak yang menyusunnya. Namun, muafakat dalam pengertian sebenar menuntut sekurang-kurangnya tiga perkara iaitu diumumkan secara terbuka, mempunyai matlamat lebih besar daripada kepentingan pihak terlibat dan menuntut pengorbanan daripada mereka yang membuat persetujuan.

Muafakat umpama gotong-royong. Tarikh ditetapkan, tujuan dijelaskan dan semua pihak tampil mengambil bahagian. Masyarakat tahu siapa yang hadir, siapa yang tidak serta siapa yang sanggup memikul beban.

Jika diukur berdasarkan prinsip tersebut, susunan di Negeri Sembilan masih belum mencapai tahap itu. Ia tidak diumumkan sebagai perjanjian rasmi, malah matlamat yang lebih besar belum dijelaskan kepada rakyat dan kos yang perlu ditanggung oleh setiap pihak juga tidak kelihatan.

Mungkin lebih tepat jika disebut sebagai persefahaman yang mana dua pihak bersetuju untuk tidak bertembung, tanpa perlu berkongsi agenda yang lebih luas.

Persefahaman bukan sesuatu yang salah. Ia berguna dan kadangkala diperlukan. Namun, hal ini berbeza daripada muafakat. Kedua-duanya mampu mengurangkan konflik tetapi hanya muafakat yang mampu membina kepercayaan dan masyarakat.

Kerajaan Perpaduan sendiri memang lahir daripada aritmetik politik. Namun, susunan selepas PRU15 diumumkan, dipersetujui dan dipertahankan secara terbuka. Pemimpin yang pernah menjadi lawan terpaksa menjelaskan kepada penyokong mengapa mereka kini duduk semeja.

Maka, persoalannya bukan sama ada politik pernah bersih daripada percaturan. Hakikatnya, politik sentiasa berdepan kepentingan. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada kita masih menuntut agar setiap persetujuan dibuat secara terbuka dan mempunyai alasan yang boleh dipersoalkan.

Ada satu risiko yang sering terlepas pandang. Apabila sesuatu perkataan dijadikan nama, kita mungkin berhenti menggunakannya sebagai ukuran. Kita tidak lagi bertanya sama ada sesuatu tindakan benar-benar memupuk perpaduan kerana perkataan itu sudah terpampang pada papan tanda.

Nama akhirnya menggantikan nilai.

Sebuah bangsa yang kehilangan ukuran masih boleh menyebut perkataan ‘perpaduan’ setiap hari, malah mungkin semakin kerap.

Perbezaan antara gotong-royong dengan perjanjian sesama jiran bukan terletak pada niat tetapi keberanian untuk berdiri di hadapan khalayak dan menyatakan “inilah yang kami persetujui, inilah kos yang kami tanggung dan inilah yang boleh dituntut daripada kami.”

Itu masih boleh dilakukan cuma belum dilakukan.

Pengundi di Negeri Sembilan sedang menuntut perkara yang sama. Rakyat bukan meminta rakan politik berhenti bersaing sebaliknya hanya mahu kejujuran tentang apa yang masih menyatukan mereka. –UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN