Gelombang biru uji benteng PH di Negeri Sembilan

Gelombang biru uji benteng PH di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMAM kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 sudah pun melabuhkan tirai dengan kejayaan pasukan Sepanyol menjuarai piala itu setelah berjaya mengalahkan Argentina dengan keputusan 1-0.

Usai Piala Dunia 2026, kini seluruh perhatian tertumpu pula kepada satu lagi pertandingan penting, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang bakal berlangsung hanya seminggu daripada sekarang.

Memasuki minggu kedua berkempen, suasana di lapangan sudah pasti semakin meriah dan panas dengan kehadiran jentera-jentera parti daripada seluruh negara untuk berkempen bagi memenangkan calon mereka.

Mampukah gelombang biru Barisan Nasional (BN) yang menderu deras daripada Johor meruntuhkan benteng pertahanan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan? Persoalan inilah yang menjadi tajuk perdebatan panas di mana-mana sahaja pada saat ini.

Bagi kebanyakan penganalisis politik, PRN ini dilihat sebagai satu pertandingan yang sangat sukar untuk diramal namun kepada sebahagian penyokong setia parti-parti yang bertanding, masing-masing begitu yakin bahawa calon-calon yang dipertaruhkan akan berjaya menang besar.

Kemenangan bergaya BN dalam PRN Johor baru-baru ini menjadikan pertempuran di PRN Negeri Sembilan bertambah sengit. Sudah tentu PH mahu menebus kembali maruah di negeri yang mereka terajui setelah kehilangan banyak kerusi dalam PRN Johor.

Bagi BN pula, kemenangan dalam PRN Negeri Sembilan ini juga sangat penting. Oleh kerana PH dikatakan mempunyai pengaruh yang besar di Negeri Sembilan, maka kemenangan BN sudah pasti akan menyemarakkan lagi gegaran gelombang biru ke pilihan raya yang seterusnya.

Hal ini terutamanya penting bagi menarik sokongan pengundi, khasnya pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

Dalam PRN lalu, PH memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, manakala BN pula 14 kerusi.

Oleh kerana itu, ramai penganalisis dan pemerhati politik melihat PRN ini sebagai perlawanan di antara dua parti utama iaitu PH dan BN, meskipun Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) turut mempertaruhkan calon di sebahagian daripada kerusi yang dipertandingkan.

Setiausaha Agung DAP merangkap Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, menurut kajian berdasarkan demografi kawasan dan pengundi, sasaran PH memenangi 23 daripada 36 kerusi adalah realistik.

Manakala menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula, persefahaman di antara BN dan PN untuk tidak bertanding bertindih kerusi dalam PRN ini memungkinkan mereka memenangi 25 kerusi.

PRN ini menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi, manakala 11 lagi kerusi ditandingi PN. Bersatu pula membuat kejutan untuk bertanding di 24 kerusi menggunakan logo parti biarpun masih kekal sebagai anggota PN.

Langkah Bersatu ini dilihat akan memecahkan undi Melayu dan akhirnya bakal memberi kelebihan kepada PH untuk memenangi kerusi tersebut khasnya di kerusi-kerusi yang dimenangi BN dan Pas dengan majoriti tipis dalam PRN lalu.

 

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar persaingan merebut kerusi tetapi turut menguji kematangan politik dan kestabilan pentadbiran.

KERUSI PANAS

Terdapat nama-nama besar yang akan mempertahankan kerusi mereka serta beberapa kerusi panas yang menarik untuk diperhatikan dalam PRN ini.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau dalam pertandingan satu lawan satu menentang Dr. Azizul Hakim Mahdi daripada PH.

Sementara di DUN Chennah pula penyandangnya, Anthony akan berdepan Siow Kong Choon daripada BN dalam pertandingan dua penjuru.

Kerusi DUN Linggi bertukar menjadi kerusi panas apabila penyandangnya, Datuk Mohd. Faizal Ramli daripada BN dicabar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pertandingan tiga penjuru ini turut melibatkan Datuk Zamri Md. Said daripada Bersatu. Tindakan mengejut Aminuddin meninggalkan DUN Sikamat yang disandangnya sejak 2008 untuk bertanding di kubu kuat UMNO ini menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula akan mempertahankan kerusi DUN Pertang menentang calon PH, Mohd. Umry Abdul Khois dan Mohd. Faizal Fadli Mohd. Idrus yang mewakili Bersatu.

Kerusi-kerusi lain yang dianggap panas termasuklah kerusi DUN Sikamat, Ampangan, Paroi dan Labu yang kesemuanya melibatkan pertandingan tiga penjuru.

PRN Negeri Sembilan sekali lagi menguji keutuhan kerajaan Persekutuan apabila PH dan BN bertembung buat kali kedua di kerusi DUN. Keadaan politik yang bersifat dinamik pada ketika ini memerlukan perubahan minda dalam menilai situasi politik semasa.

Kita mungkin berdepan dengan situasi yang kini dianggap asing apabila parti-parti yang membentuk kerajaan di peringkat Pusat berada di blok berbeza pada peringkat DUN, seperti yang berlaku di Johor hari ini.

Namun, keadaan ini sebenarnya tidak begitu asing kerana situasi sama pernah berlaku di Sabah apabila parti-parti yang membentuk kerajaan Pusat bertanding sesama sendiri dalam persaingan sengit pada PRN lalu.

Selepas PRN Sabah berakhir, pemimpin parti-parti berkenaan kembali bersatu untuk mentadbir negara dengan baik. Itulah juga yang diharapkan rakyat agar perbezaan politik di peringkat negeri tidak menjejaskan kestabilan serta kelancaran pentadbiran kerajaan Pusat.

Rakyat mahukan pemimpin yang matang, bijaksana serta bertanggungjawab dan bukannya mereka yang hanya tahu bercakap tetapi tidak mampu bekerja.

Semoga kempen PRN ini berjalan lancar tanpa fitnah, hinaan, makian serta mainan persepsi yang dicipta untuk memainkan emosi pengundi.

Selamat mengundi kepada para warga Negeri Sembilan. Undilah berdasarkan akal kritikal, bukannya emosi dan sentimen semata-mata. Jangan mudah termakan umpan politik hanya kerana indah bunyinya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN