DALAM era yang semakin kompleks, kekuatan sesebuah negara tidak lagi hanya diukur melalui saiz ekonomi, kemajuan infrastruktur atau kedudukan dalam pelbagai indeks pembangunan global.
Walaupun semua ini penting, sejarah membuktikan banyak negara yang maju dari segi ekonomi akhirnya berdepan krisis apabila asas sosial dan moral masyarakatnya mula rapuh.
Hakikatnya, kelangsungan sesebuah negara bangsa bergantung kepada kekuatan nilai yang dipegang oleh rakyatnya.
Dua elemen utama yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemajuan negara ialah perpaduan dan integriti. Kedua-duanya bukan sekadar slogan dalam ucapan rasmi atau dokumen dasar tetapi syarat asas kepada pembinaan negara bangsa yang berdaya tahan.
Perpaduan dan integriti tidak boleh berdiri secara berasingan. Kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh antara satu sama lain. Perpaduan tanpa integriti melahirkan masyarakat yang mudah terpengaruh dengan sentimen sempit.
Sebaliknya, integriti tanpa perpaduan sukar membentuk kekuatan kolektif yang mampu membawa perubahan. Oleh itu, masa hadapan Malaysia bergantung kepada keupayaan kita mengharmonikan kedua-dua elemen ini dalam satu ekosistem nasional yang menyeluruh.
Malaysia sejak awal pembentukannya dibina atas kepelbagaian bangsa, agama, budaya dan bahasa. Kepelbagaian ini bukan kelemahan, sebaliknya aset strategik yang perlu diurus dengan bijaksana. Keupayaan negara mengekalkan keamanan dalam masyarakat majmuk sering menjadi contoh kepada negara lain.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah mengingatkan rakyat Malaysia, walaupun berbeza warna kulit, agama dan bahasa, tetap berkongsi tanah air yang sama.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi politik identiti dan polarisasi, peringatan ini kekal relevan.
Islam sendiri mengiktiraf kepelbagaian sebagai rahmat. Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 menjelaskan manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali, bukan bermusuhan. Prinsip ta’aruf ini menuntut masyarakat membina persefahaman, bukan perpecahan.
Namun, perpaduan tidak berlaku secara automatik. Ia memerlukan usaha berterusan untuk dipelihara. Cabaran hari ini jauh lebih kompleks berbanding era awal kemerdekaan.
Jika dahulu ancaman berpunca daripada faktor fizikal dan ekonomi, kini perpaduan terancam oleh media sosial, penyebaran maklumat tidak sahih, ekstremisme pemikiran dan kecenderungan melihat isu melalui lensa kaum, agama dan politik.
Dalam keadaan ini, perpaduan yang kukuh memerlukan tiga langkah utama, iaitu :
- Rakyat perlu memahami sejarah dan realiti masyarakat majmuk.
- Rakyat perlu menghormati perbezaan yang wujud.
- Rakyat perlu menerima dan meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan negara, bukan ancaman.
Titah Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun lalu menyeru perpaduan, toleransi dan penghormatan berasaskan Rukun Negara menegaskan perpaduan mesti menjadi agenda utama pembangunan negara.
Namun, perpaduan sahaja tidak mencukupi. Negara yang bersatu tetapi lemah integriti tetap akan berdepan krisis kepercayaan dan kemerosotan institusi. Integriti berfungsi sebagai kompas moral yang menentukan hala tuju negara.
Dalam Islam, integriti berkait rapat dengan amanah. Rasulullah SAW menegaskan kehancuran berlaku apabila amanah diserahkan kepada mereka yang tidak layak.
Prinsip ini sangat relevan dalam tadbir urus moden kerana menekankan kejujuran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kepimpinan.
Surah Al-Qasas, ayat 26 turut menegaskan individu terbaik ialah yang kuat dan amanah. Kekuatan tanpa integriti membawa kepada penyalahgunaan kuasa, manakala integriti tanpa kecekapan menjejaskan keberkesanan pentadbiran. Kedua-duanya mesti seimbang.
Oleh itu, integriti tidak boleh disempitkan kepada isu rasuah semata-mata. Ia merangkumi kejujuran, disiplin, ketelusan, etika kerja, akauntabiliti dan keberanian moral untuk melakukan perkara yang betul walaupun berdepan tekanan.
Sementara Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan negara yang kaya sumber tetapi miskin integriti akan runtuh akhirnya.
Sejarah banyak membuktikan kejatuhan tamadun bukan kerana kekurangan sumber tetapi kerana keruntuhan nilai.
Hubungan antara perpaduan dan integriti bersifat timbal balik. Apabila integriti lemah, ketidakadilan dan rasuah menghakis kepercayaan rakyat. Apabila kepercayaan hilang, perpaduan turut terjejas.
Sebaliknya, apabila masyarakat terlalu berpecah, usaha memperkukuh integriti menjadi sukar kerana ditafsir mengikut kepentingan kelompok tertentu.

USAHA PERLU BERTERUSAN
Dalam konteks semasa, terdapat perkembangan positif. Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) meningkat daripada 0.567 pada 2018 kepada 0.701 pada 2025. Peningkatan ini menunjukkan kesepaduan sosial semakin baik, khususnya apabila rakyat mula mengaitkan perpaduan dengan tadbir urus yang adil dan berkesan.
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 juga menunjukkan peningkatan kepada skor 52 mata, dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-54 dunia. Ini mencerminkan usaha pembaharuan yang mula membuahkan hasil.
Namun, pencapaian indeks sahaja tidak mencukupi. Cabaran sebenar ialah menjadikan perpaduan dan integriti sebagai budaya hidup dalam masyarakat.
Oleh itu, Dasar Perpaduan Negara (DPN), Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) perlu digerakkan secara bersepadu.
DPN memperkukuh kesepaduan sosial, NACS memperbaiki sistem dan penguatkuasaan manakala NIES membentuk budaya nilai dalam masyarakat.
Negara tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata untuk melahirkan masyarakat berintegriti. Undang-undang boleh menghukum kesalahan tetapi pendidikan dan pembudayaan nilai membentuk manusia yang memilih kebaikan walaupun tanpa pengawasan.
Akhirnya, masa hadapan Malaysia tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi tetapi kepada keupayaan rakyat mempertahankan perpaduan dan integriti sebagai asas negara bangsa.
Perpaduan mengikat rakyat sebagai satu bangsa, manakala integriti memastikan kekuatan itu digunakan dengan amanah.
Tanpa perpaduan, negara menjadi rapuh. Tanpa integriti, negara akan rosak dari dalam. Namun apabila kedua-duanya diperkukuh, Malaysia mampu muncul sebagai negara yang bukan sahaja maju dan makmur tetapi juga bermaruah, dihormati dan menjadi contoh kepada dunia.
Integriti Iidentiti kita, Perpaduan kekuatan kita.-UTUSAN
DATUK Seri Noridah Abdul Rahim ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia.










