Ganti politik perkauman sempit dengan nilai, integriti, keadilan

Ganti politik perkauman sempit dengan nilai, integriti, keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANDSKAP politik Malaysia sejak sekian lama sering terperangkap dalam polemik yang berulang, khususnya mengenai perpecahan politik Melayu dan ancaman penguasaan ekonomi oleh kaum lain.

Isu ini bukan sahaja menjadi bahan perbualan harian masyarakat, malah terus dijadikan modal politik dalam ceramah, kempen dan perdebatan awam. Akibatnya, masyarakat seolah-olah hidup dalam ketakutan berpanjangan. Mereka menganggap perpecahan politik Melayu akan membawa kehilangan kuasa dan masa hadapan negara.

Namun persoalannya, mengapa isu ini begitu dominan di Malaysia sedangkan negara jiran seperti Indonesia yang mempunyai rumpun etnik hampir sama tidak terlalu terikat dengan polemik sedemikian? 

Untuk memahami keadaan ini, kita perlu melihat struktur politik dan ekonomi yang membentuk negara sejak merdeka.

Malaysia membina sistem politik berasaskan identiti kaum. Hampir setiap kelompok etnik mempunyai parti yang mendakwa mewakili kepentingan kaum masing-masing. Struktur ini secara tidak langsung memaksa pemimpin politik bersaing menunjukkan siapa paling lantang mempertahankan kaum sendiri demi meraih sokongan akar umbi. 

Ketika berada di pentas parti, bahasa politik menjadi keras dan bersifat perkauman. Namun apabila memasuki kerajaan, nada yang sama berubah menjadi lebih pragmatik dan sederhana.

Perubahan pendekatan ini akhirnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Politik menjadi permainan persepsi, bukannya medan membina negara bangsa. Pemimpin bercakap tentang perpaduan di pentas nasional tetapi dalam masa sama terus menghidupkan sentimen perkauman untuk mengekalkan pengaruh politik.

Keadaan ini berbeza dengan Indonesia. Walaupun negara itu mempunyai ketidakseimbangan ekonomi yang besar antara etnik, namun isu tersebut tidak menjadi asas utama politik nasional mereka. 

Masyarakat lebih menilai kerajaan berdasarkan prestasi pentadbiran, peluang ekonomi dan kebajikan rakyat secara keseluruhan. Kegagalan ekonomi dilihat sebagai kelemahan tadbir urus, bukannya ancaman daripada kaum tertentu.

Di Malaysia pula, setiap isu ekonomi sering diberikan warna perkauman. Akibatnya, masalah sebenar seperti ketirisan, monopoli, rasuah dan kelemahan dasar ekonomi tenggelam di sebalik retorik kaum. Rakyat akhirnya lebih mudah dipengaruhi emosi berbanding fakta dan penyelesaian sebenar.

Dalam perspektif Islam, ketakutan terhadap penguasaan ekonomi atau perpecahan politik perlu diuruskan dengan prinsip keadilan, bukannya kebencian. 

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah, ayat 8, agar umat Islam berlaku adil dan tidak membiarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kepada ketidakadilan. Prinsip ini sangat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Islam tidak menolak usaha memperkukuh ekonomi Melayu atau membantu golongan yang tertinggal. Namun perjuangan tersebut mesti dilaksanakan melalui dasar yang adil, telus dan berasaskan keperluan, bukannya dengan membina kebencian terhadap kaum lain. Keadilan ekonomi dalam Islam bertujuan memastikan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kelompok tertentu sahaja.

Realitinya, masalah utama negara bukan semata-mata persaingan antara kaum tetapi kelemahan sistem yang membenarkan jurang kekayaan terus melebar. Dalam keadaan tertentu, kelompok elit dan kartel ekonomi lebih berpengaruh daripada suara rakyat biasa. Mereka tidak mengenal kaum atau ideologi, sebaliknya hanya mengejar keuntungan dan pengaruh.

Kartel inilah yang sering mempengaruhi dasar ekonomi, projek besar dan struktur pasaran negara. Akibatnya, siapa pun yang memegang kuasa politik, rakyat biasa tetap berdepan kos hidup tinggi, peluang ekonomi tidak seimbang dan ketidaktentuan masa hadapan. Namun isu ini jarang dibincangkan secara serius kerana sentimen kaum lebih mudah dimainkan untuk mengalihkan perhatian masyarakat.

Lebih membimbangkan, politik identiti yang keterlaluan boleh merosakkan proses pembinaan negara bangsa. Generasi muda membesar dalam suasana syak wasangka antara kaum, sedangkan mereka sebenarnya berkongsi cabaran sama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan harga rumah yang semakin mahal.

 

 

REFORMASI POLITIK

Malaysia memerlukan reformasi politik dan pemikiran yang lebih matang. Rakyat perlu berani menilai pemimpin berdasarkan integriti, kecekapan dan kemampuan mentadbir, bukannya semata-mata retorik kaum. Selagi masyarakat terus terperangkap dalam politik ketakutan, selagi itulah ahli politik akan menggunakan isu kaum sebagai alat untuk mengekalkan kuasa.

Dalam konteks ini, konsep Fiqh al-Muwatanah atau fiqh kewarganegaraan yang sering dibincangkan oleh tokoh Islam seperti Yusuf al-Qaradawi sangat relevan. Konsep ini menekankan keadilan, kesaksamaan hak dan tanggungjawab bersama dalam membina negara. 

Ia mengajar kestabilan negara tidak lahir daripada dominasi satu kaum terhadap kaum lain, tetapi daripada sistem yang adil kepada semua rakyat.

Malaysia tidak boleh terus bergerak dengan mentaliti lama yang melihat setiap persaingan politik sebagai ancaman kaum. Negara memerlukan budaya politik yang lebih berteraskan nilai, prestasi dan penyelesaian masalah rakyat. Jika tidak, kita akan terus berputar dalam polemik sama tanpa mampu membina masa hadapan yang lebih stabil.

Hakikatnya, perpecahan politik Melayu hari ini bukan berpunca daripada ancaman kaum lain semata-mata tetapi juga akibat perebutan kuasa sesama elit politik yang menggunakan sentimen kaum sebagai senjata. Rakyat pula menjadi mangsa kepada permainan emosi yang berpanjangan.

Sudah tiba masanya Malaysia keluar daripada politik ketakutan dan bergerak menuju politik keadilan serta kematangan. 

Masa hadapan negara tidak boleh dibina atas kebencian atau syak wasangka antara kaum. Sebaliknya, negara hanya akan menjadi kuat apabila setiap rakyat merasa dihargai, dilindungi dan mempunyai peluang yang adil untuk maju.

Jika Malaysia benar-benar mahu menjadi negara maju dan bersatu, maka politik perkauman yang sempit perlu digantikan dengan politik nilai, integriti dan keadilan. Hanya dengan keberanian mengubah cara berfikir, kita mampu membina sebuah negara yang lebih stabil, matang dan dihormati di mata dunia. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN