Benarkah Pas tidak pernah setia?

Benarkah Pas tidak pernah setia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAS parti curang? Setiap kali parti Islam mengambil keputusan untuk menjarakkan diri daripada rakan politiknya, akan muncul semula tuduhan lama bahawa Pas adalah parti yang tidak setia.

Ada yang mengatakan parti ini tidak pernah mampu kekal lama dalam mana-mana gabungan politik. Bermula dengan Barisan Nasional (BN) pada 1970-an, kemudian Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat (PR), Muafakat Nasional (MN) dan kini hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) yang semakin dingin.

Mereka melihat satu pola yang berulang. Pas masuk gabungan, keluar gabungan dan akhirnya berpecah. Tetapi benarkah sejarah politik Malaysia semudah itu?

Jika kita melihat perjalanan politik Pas secara adil dan objektif, persoalan yang lebih tepat sebenarnya bukan sama ada setia atau curang tetapi sama ada parti ini mempunyai pilihan lain apabila berdepan tekanan politik yang tidak lagi mampu dirundingkan.

Dalam bahasa politik Islam yang sering digunakan Pas, konsep tahaluf siyasi bukanlah satu ikatan yang bersifat mutlak. Ia adalah kerjasama politik yang dibenarkan selagi tidak menjejaskan matlamat dan prinsip perjuangan parti. Apabila syarat-syarat tersebut tidak lagi dapat dipenuhi, maka kerjasama itu boleh disemak semula atau ditamatkan.

Sebab itulah apabila kita menilai sejarah Pas, kita perlu melihat keseluruhan konteks dan bukan sekadar penghujung cerita.

HUBUNGAN DENGAN BN

Hubungan Pas dengan UMNO dalam BN pada 1974 merupakan contoh pertama. Ketika itu Pas di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda menyertai kerajaan campuran yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ramai melihat penyertaan itu sebagai usaha menyatukan orang Melayu selepas tempoh ketegangan politik yang panjang.

Namun hubungan itu hanya bertahan beberapa tahun sebelum krisis politik Kelantan pada 1977 membawa kepada penyingkiran Pas daripada BN. Jika dilihat dari sudut penyokong UMNO, Pas dianggap gagal menyesuaikan diri dalam kerajaan campuran. Tetapi jika dilihat dari sudut parti Islam itu pula, mereka melihat campur tangan kerajaan pusat dalam politik Kelantan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam kes ini, adakah Pas yang meninggalkan BN atau disingkirkan? Jawapannya tidak semudah hitam dan putih.

SEMANGAT LUNTUR APU

Begitu juga ketika Pas bekerjasama dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah melalui APU pada 1990. Kerjasama ini berjaya mengembalikan Kelantan kepada Pas selepas tumbangnya pemerintahan BN di negeri itu.

Namun apabila Semangat 46 dibubarkan pada 1996 dan kembali kepada UMNO, APU juga berakhir. Adakah Pas yang mengkhianati gabungan tersebut? Sudah tentu tidak. Dalam episod ini, parti yang berubah arah ialah Semangat 46, manakala Pas kekal dengan pendiriannya.

Cabaran sebenar Pas mula menjadi lebih jelas apabila memasuki era reformasi. Dari Barisan Alternatif ke PR. Kerjasama Pas dengan DAP dan PKR dalam Barisan Alternatif dan kemudiannya PR sering dianggap sebagai zaman kegemilangan pembangkang Malaysia.

Namun di sinilah kita dapat melihat bagaimana tekanan politik dalaman mula menguji kemampuan Pas untuk terus bertahan dalam sebuah gabungan pelbagai ideologi. Ramai yang terlupa konflik dalam PR bukan bermula dengan isu hudud semata-mata. Antaranya, titik perubahan besar ialah krisis Langkah Kajang pada 2014.

Ketika itu keputusan PKR untuk menggantikan Menteri Besar Selangor tanpa persetujuan penuh rakan-rakan dalam PR mencetuskan ketegangan yang serius. Pas ketika itu terperangkap di tengah-tengah konflik antara PKR dan DAP.

Sebahagian kepimpinan Pas menyokong rancangan PKR manakala sebahagian lagi menolaknya. Akibatnya, Pas bukan sahaja berdepan tekanan daripada rakan gabungan tetapi juga tekanan dalaman yang akhirnya membawa perpecahan besar dalam parti.

Kemuncak kepada konflik tersebut berlaku pada 2015 apabila kumpulan yang dilabel sebagai ‘Anwarinas’ atau golongan progresif dalam Pas tewas dalam pemilihan parti. Sebahagian besar daripada mereka kemudiannya keluar dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

MUAFAKAT YANG TIDAK BERPAKAT

Peristiwa ini sering digunakan untuk menggambarkan Pas sebagai parti yang tidak boleh bekerjasama dengan pihak lain. Tetapi dari perspektif Pas, apa yang berlaku adalah usaha mempertahankan identiti parti daripada pengaruh luar yang dilihat semakin dominan.

Dalam kata lain, Pas melihat partinya sedang mempertahankan organisasi manakala pengkritiknya melihat Pas sedang memusnahkan gabungan. Dua tafsiran yang berbeza terhadap peristiwa sama.

Selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas sekali lagi membentuk kerjasama baharu melalui MN bersama UMNO. Pada ketika itu ramai pemerhati politik menganggap inilah formula paling stabil yang pernah dicapai Pas. Kedua-dua parti mempunyai asas pengundi Melayu-Islam yang hampir sama dan berkongsi banyak agenda politik.

Namun kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perubahan landskap politik selepas Langkah Sheraton mengubah segalanya. Pas mengambil keputusan untuk menyertai PN bersama Bersatu, manakala UMNO semakin menjauhkan diri daripada gabungan tersebut.

Sekali lagi Pas dituduh tidak setia. Tetapi jika diperhatikan secara lebih mendalam, masalah sebenar ketika itu bukan Pas semata-mata. UMNO dan Bersatu sendiri sedang bersaing untuk menjadi parti dominan dalam kalangan pengundi Melayu.

Pas pula berada di tengah-tengah persaingan tersebut. Apa sahaja keputusan yang diambil parti Islam itu pasti akan menyebabkan salah satu pihak berasa dikhianati.

 

BERSATU-PAS ROBOH

Tahun ini, sejarah yang hampir sama kelihatan berulang. Hubungan Pas dengan Bersatu semakin menunjukkan tanda-tanda keretakan. Namun sebelum Pas dipersalahkan sekali lagi, kita perlu melihat faktor-faktor yang sedang berlaku dalam Bersatu sendiri.

Pertama ialah isu kepimpinan. Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi figura utama Bersatu, ramai pemerhati politik melihat pengaruh parti itu semakin bergantung kepada beberapa individu tertentu termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin (sebelum meninggalkan parti).

Dalam masa sama, terdapat juga perbincangan mengenai hala tuju masa hadapan parti dan siapa yang bakal menerajui kepimpinan generasi seterusnya.

Kedua ialah isu kestabilan organisasi. Bersatu sejak penubuhannya melalui beberapa siri perpecahan dan penghijrahan pemimpin. Bermula dengan keluarnya kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemudian beberapa pemimpin kanan yang mengambil haluan berbeza, parti itu sentiasa berdepan persoalan mengenai kekuatan jangka panjangnya.

Bagi Pas, kestabilan rakan gabungan adalah faktor penting dalam membuat keputusan politik. Sebuah parti yang sentiasa bergelut dengan konflik dalaman akan menyukarkan perancangan strategik jangka panjang.

Ketiga ialah perubahan imbangan kuasa dalam pembangkang. Jika dahulu Bersatu dilihat sebagai peneraju PN, hari ini ramai penganalisis berpendapat Pas menjadi komponen paling dominan dalam gabungan tersebut.

Dalam keadaan sebegini, Pas mungkin merasakan mereka tidak lagi perlu bergantung kepada Bersatu sebagaimana sebelum ini. Ini bukan soal kesetiaan atau pengkhianatan tetapi soal pengiraan politik yang dibuat oleh setiap parti untuk memastikan kelangsungan mereka.

Hakikat yang sering dilupakan ialah hampir semua gabungan politik di Malaysia akhirnya mengalami perpecahan. Bukan sahaja gabungan yang melibatkan Pas.

Gabungan Parti Perikatan pernah mengalami krisis. BN kehilangan banyak parti komponen. PR berpecah. PH juga pernah runtuh selepas Langkah Sheraton. Malah PN sendiri kini sedang berdepan cabaran dalaman. Ini menunjukkan masalah utama bukan terletak pada Pas semata-mata tetapi pada sifat politik gabungan di Malaysia yang sangat bergantung kepada keseimbangan kepentingan antara parti-parti berbeza.

BIARLAH SEJARAH YANG MENJADI HAKIM

Maka apabila timbul persoalan sama ada Pas setia atau curang, jawapan yang paling adil ialah Pas bukanlah parti yang sempurna tetapi juga bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab terhadap kegagalan kerjasama politik yang pernah disertainya.

Dalam kebanyakan kes, Pas meninggalkan gabungan apabila merasakan ‘kos’ politik untuk terus kekal lebih tinggi daripada manfaat yang diperoleh. Parti-parti lain juga melakukan perkara yang sama.

Bezanya, kerana Pas melalui begitu banyak episod kerjasama politik sejak 1970-an, maka setiap perpisahan akan sentiasa menjadi bahan perbahasan. Akhirnya sejarah menunjukkan satu perkara yang jelas. Pas mungkin boleh dituduh keras kepala, terlalu berhati-hati atau terlalu menjaga identiti parti.

Tetapi untuk melabel Pas sebagai parti tidak setia kawan adalah kesimpulan terlalu mudah bagi sebuah perjalanan politik yang jauh lebih kompleks daripada apa sering diperkatakan. –UTUSAN

PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN