VAR ‘rompak’ kemenangan Arsenal

VAR ‘rompak’ kemenangan Arsenal

Pemain Arsenal meraikan jaringan gol Viktor Gyokeres dalam aksi separuh akhir pertama menentang Atletico Madrid di Stadium Metropolitano, Madrid, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berang dengan tindakan pengadil yang membatalkan sepakan penalti pasukannya dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, semalam.

Dalam perlawanan yang berakhir 1-1 itu, pengadil Danny Makkelie pada mulanya menghadiahkan penalti kepada Arsenal selepas Eberechi Eze dilihat dikasari, namun keputusan itu ditarik balik selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Arteta menegaskan terdapat sentuhan jelas dalam insiden berkenaan dan mempersoalkan keputusan yang dibuat VAR, apatah lagi pengadil perlu menonton ulang tayang beberapa kali sebelum mengubah keputusan.

“Saya sangat berang bagaimana penalti ke atas Eze dibatalkan. Jika perlu menontonnya berkali-kali, itu sudah cukup membuktikan ia sepatutnya kekal sebagai penalti. Itu adalah gol yang boleh mengubah perjalanan musim ini,” katanya.

Dalam masa sama, Arteta mengakui penalti yang diberikan kepada Atletico hasil bola terkena tangan Ben White adalah keputusan yang boleh diterima, meskipun menurutnya situasi sama mungkin tidak diberikan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Sepakan penalti itu disempurnakan Julian Alvarez pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan selepas Arsenal terlebih dahulu mendahului menerusi gol Viktor Gyokeres.

“Seperti mana kami menerima penalti Ben White, situasi Eze juga adalah penalti yang jelas yang sepatutnya membolehkan kami mengakhiri perlawanan dengan kemenangan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Arteta bagaimanapun tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya yang berjaya mengharungi tekanan hebat di Madrid, meskipun mengakui tugas Arsenal akan menjadi lebih mudah dalam aksi timbal balik jika keputusan penalti itu tidak dibatalkan.

Atletico lebih menguasai permainan untuk tempoh panjang, namun pertahanan kental Arsenal memastikan mereka membawa pulang keputusan positif menjelang aksi timbal balik di London, minggu depan.

“Di sini, anda perlu bertahan. Banyak pasukan menderita di sini termasuk yang terbaik di dunia. Kami ada detik baik dan ada masa perlu bertahan. Jurangnya sangat kecil dan saya percaya segalanya masih terbuka di London,” kata Arteta.

Selepas ii, Arsenal kini akan berdepan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan akan membaris skuad terbaik bagi mengelak keciciran mara untuk merebut kejuaran, manakala Atletico dijangka melakukan penggiliran pemain dalam La Liga sebelum aksi timbal balik. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN