KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengharapkan sinar daripada beregu lelaki dan campuran untuk meneruskan perjuangan ke podium selepas sektor yang lain tumbang satu demi satu dalam Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Afena, Bukit Jalil, semalam.
Pasangan olahragawan dan olahragawati kebangsaan 2025 yang baru dinobatkan, baru-baru ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan langkah mereka tidak pincang untuk memburu kejuaraan apabila mengiringi tiga beregu lelaki ke saingan suku akhir pada hari ini.
Pasangan juara dunia itu yang menghuni ranking No. 4 dunia menewaskan gandingan ke-16 dunia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia 21-16, 22-20 dalam masa 47 minit.
Skuad Malaysia juga dikejutkan dengan pencapaian pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa yang tidak mengecewakan setakat ini apabila turut mara selepas menyingkirkan bintang muda Jepun, Tomoka Miyazaki yang merupakan jaguh No. 9 dunia 21-15, 21-17.
Beregu lelaki menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik membelasah pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger 21-12, 21-10 manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Arif Junaidi-Yap Roy King menepati ramalan untuk meneruskan saingan di suku akhir.
Sementara itu Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan rentak cemerlang menyingkirkan rakan senegara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi 21-14, 21-12 dalam tempoh 29 minit.
Turut mencuri tumpuan Wan Arif-Roy King yang buat kali pertama mara ke suku akhir musim ini selepas menewaskan beregu muda negara, Kang Kai Xing-Aaron Tai 21-12, 22-20 dalam pertembungan dua gandingan Malaysia. – UTUSAN










