KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani gagal mengulangi pencapaian Man Wei Chong-Tee Kai Wun pade edisi lalu setelah tunduk dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Gandingan No. 3 Malaysia itu tewas straight set kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menghuni ranking ke-18 dunia 16-21, 17-21 dalam masa 42 minit.
Kekalahan itu menyaksikan kedua-dua beregu tersebut kini berkongsi rekod pertemuan yang kini terikat 3-3.
Selaku naib juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$19,000 (RM75,390) beserta pingat perak.
Sementara itu, pasangan pecah ganding China, Chen Fan Shu Tian-Luo Xu Min menjuarai acara beregu wanita selepas mengetepikan Sayaka Hirota-Ayako Sakuramoto dari Jepun 21-16, 25-23 dalam masa 52 minit.
Bagi final perseorangan lelaki, bintang No. 7 dunia, Li Shi Feng dari China mengambil masa selama 50 minit sebelum menewaskan wakil Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul 21-16, 21-17.
Kekecewaan Teeraratsakul, bagaimanapun, berjaya ditebus rakan senegara, Ratchanok Intanon dalam acara perseorangan wanita apabila pemain No. 7 dunia itu mengejutkan jaguh No. 4 dunia dari China, Chen Yu Fei 21-17, 21-15 dalam masa 51 minit.
Dalam final beregu campuran pula, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin dari China membenam pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai, Thailand 21-13, 15-21, 21-11 dalam masa 58 minit. – UTUSAN










