Soon Huat-Shevon nekad rebut kembali slot RTG

Soon Huat-Shevon nekad rebut kembali slot RTG

GOH Soon Huat-Shevon Jemie Lai mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chen Zhi Yi-Francesca Corbett pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai nekad untuk berjuang mendapatkan kembali slot program Road To Gold (RTG) selepas nama mereka tidak lagi disenaraikan pada tahun ini.

Shevon berkata, dia serta Soon Huat akan berjuang bagi merebut kembali tempat tersebut dan peluang itu turut bergantung kepada prestasi mereka di dalam gelanggang.

“Buat masa sekarang, sudah tentu kita akan lawan, itu adalah keutamaan kami. Tapi tentang dapat masuk balik atau tidak, saya rasa kami serahkan kepada prestasi di atas gelanggang.

“Sebab sebelum ini kami dah banyak kali lalui, bila kita terlalu nak (sesuatu), terlalu nak lawan, akhirnya ia mengganggu emosi dan psikologi kami.

“Jadi kali ini, walaupun ada rasa sedih sebab tidak terpilih masuk semula dalam program, tapi ini adalah perjalanan kami untuk melangkah ke hadapan dengan psikologi berbeza,” katanya kepada pemberita di Unifi Arena di sini, hari ini.

Pasangan No. 12 dunia itu mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2026 selepas mengetepikan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-8, 21-16 dalam masa 26 minit.

Esok, beregu campuran No. 2 Malaysia itu bakal berdepan Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin dari Taiwan bagi mencari tempat ke suku akhir.

Mengulas lanjut mengenai RTG, Shevon menjelaskan, program itu berperanan sebagai sokongan yang sangat kuat dan ia menjadi motivasi besar bagi mendorong mereka terus maju ke depan.

“Sebab kita tahu ISN (Institut Sukan Negara) ada di belakang, mereka menyokong kita, banyak perkara yang mereka bantu, tapi saya rasa yang paling besar adalah kesan psikologi kerana kita tahu badan sukan kebangsaan ada bersama kita,” ujarnya.

Ditanya pula menjelang aksi pusingan kedua, esok, Shevon berkata, mereka memiliki kelebihan psikologi berdepan pasangan Taiwan tersebut dengan rekod kemenangan 2-0.

“Tapi kemenangan yang kami catat itu tidak mudah dan kita tak boleh pandang rendah kepada lawan kami, walaupun dah menang dua kali, ia bukan jaminan 100 peratus akan menang lagi, jadi, esok kena berhati-hati,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN