Tang Jie-Ee Wei mara ke pusingan kedua Malaysia Masters

Tang Jie-Ee Wei mara ke pusingan kedua Malaysia Masters

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei mudah melepasi halangan pusingan pertama selepas membenam wakil Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Unifi Arena, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mudah mara ke pusingan kedua selepas membenam wakil Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena dekat sini, hari ini.

Diletakkan selaku pilihan kedua, juara dunia tersebut melakar kemenangan straight set ke atas pasangan ke-52 dunia itu 21-6, 21-14 dalam masa 24 minit.

Pada pusingan kedua, Tang Jie-Ee Wei akan menghitung pertemuan dengan Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia.

Tang Jie berkata, kemenangan ke atas pasangan Kanada tersebut merupakan satu permulaan yang baik, tetapi, untuk pertemuan, esok, mereka perlu tingkatkan lagi kualiti permainan.

“Esok, bertemu beregu Indonesia, kami belum pernah bertemu mereka sebelum ini. Kita cuma fokus
pada diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir di sini, hari ini.

Sementara itu, dua beregu pecah ganding, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing dan Jimmy Wong-Cheng Su Yin bermula langkah kiri pada penampilan sulung mereka sebagai pasangan selepas tunduk kepada lawan masing-masing.

Pang Ron-Pei Jing tewas kepada pasangan No. 11 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi dari China 21-13, 12-21, 16-21 dalam masa 52 minit.

Jimmy-Su Yin pula yang berdepan gandingan No. 6 dunia, Mathias Christiansen-Alaxandra Boje dari Denmark kalah straight set 13-21, 15-21 dalam masa 36 minit.

Sebelum ini, Pang Ron berpasangan dengan Su Yin, manakala, Pei Jing bergandingan bersama Jimmy sebelum mereka bertukar pasangan dan Malaysia Masters menjadi kejohanan pertama kedua-dua beregu tersebut.

Turut ditunjukkan jalan keluar adalah beregu profesional Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang kalah kepada Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 14-21, 19-21 dalam masa 33 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN