PETALING JAYA: Skuad pecut berbasikal trek lelaki negara goyah ketika ini menjelang dua temasya iaitu Sukan Komanwel pada Julai serta Sukan Asia pada September ini apabila kekurangan atlet elit untuk bersaing dalam acara berkenaan.
Ketika ini Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena merupakan pelumba utama kebangsaan namun berdepan situasi kritikal apabila Ridwan berkemungkinan berehat baki musim ini selepas mengalami kecederaan serius pada bahu kirinya.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan kebimbangan terhadap kekurangan pilihan pelumba dalam skuad kebangsaan ketika ini.
Beliau berkata situasi tersebut memberi kesan khususnya kepada peluang Malaysia dalam acara seperti pecut berpasukan yang memerlukan tiga pelumba.
“Kalau kita lihat negara lain, kebanyakannya mempunyai empat pelumba (termasuk pelumba simpanan), tetapi kita hanya ada tiga. Jadi mereka boleh menggunakan (menggilirkan) pelumba keempat itu pada pusingan kelayakan dan kemudian menggunakan pelumba berbeza pada pusingan pertama.
“Ini memastikan mereka mempunyai pelumba dengan tenaga segar pada setiap pusingan. Sebab itu anda perlukan kumpulan pelumba pecut yang lebih besar. Apabila Ridwan cedera, kita tidak mempunyai pengganti. Kita ada Adib Adhar Andan tetapi dia belum bersedia (untuk tahap ini),” kata Azizulhasni.
Ridwan mengalami kemalangan ngeri aksi keirin pada pusingan kedua Piala Dunia Trek di Hong Kong bulan lalu menyaksikan pelumba muda Sarawak, Adib menggantikan tempatnya pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Nilai, bulan lalu.
Untuk rekod, skuad negara menamatkan saingan kedua tercorot di tempat ke-13 daripada 14 pasukan dalam pusingan kelayakan di Nilai sekali gus gagal melayakkan diri ke kelompok lapan terbaik untuk pusingan seterusnya. – UTUSAN










