KONFLIK berterusan di Asia Barat yang menyebabkan penutupan Selat Hormuz berpanjangan kini meningkatkan risiko inflasi global serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi dunia.
Bagi Malaysia, cabaran utama adalah menyeimbangkan usaha mengawal kenaikan harga barang sambil mengoptimumkan ruang fiskal negara.
Cara kerajaan menyeimbangkan keperluan rakyat dengan kemampuan fiskal negara kini menjadi isu utama yang melibatkan kos lepas yang tinggi.
Tumpuan utama ketika ini ialah subsidi petrol. Jika mengekalkan mekanisme subsidi bersasar sedia ada, kerajaan dijangka menanggung kos sekitar RM5 bilion sebulan, berbanding hanya kira-kira RM700 juta sebulan sebelum konflik tercetus pada penghujung Februari lalu.
Dalam tempoh setahun, jumlah subsidi minyak boleh mencecah hampir RM60 bilion, sedangkan Belanjawan 2026 pada asalnya hanya menganggarkan sekitar RM15 bilion.
Pengekalan subsidi sememangnya membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat serta meminimumkan kesan krisis penawaran global. Namun, langkah itu turut memberi tekanan besar terhadap kedudukan fiskal negara.
Dengan kemampuan hasil negara ketika ini, persoalannya ialah sama ada kerajaan mampu meneruskan subsidi minyak pada skala tersebut. Lebih penting, adakah perbelanjaan sebesar itu benar-benar cekap dan mampan untuk pengurusan ekonomi negara dalam jangka panjang?
Namun, jika subsidi petrol ini ditarik balik, walaupun ada penijmatan yang berlaku kepada kantong ekonomi negara, ia akan mengakibatkan kesan negatif yang berganda kepada rakyat dan prospek makro ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.
Majoriti rakyat Malaysia akan terjejas teruk akibat kenaikan dalam kos sara hidup, yang sudahpun dialami sebelum perang di Asia Barat ini meletus lagi. Jadi, kesannya akan menjadi bertambah buruk kepada rakyat.
Harga barang harian dijangka meningkat dengan lebih tinggi dan impak kepada permintaan agregat juga akan mengakibatkan momentum pertumbuhan ekonomi akan terjejas, apatah lagi jika harga barang meningkat secara mendadak.
Perlu difahami walaupun konflik di Asia Barat berakhir dalam masa terdekat dan laluan Selat Hormuz kembali stabil, proses pemulihan bekalan minyak dunia tetap memerlukan masa. Malah, apabila harga minyak dunia kembali stabil sekali pun, harga barangan yang telah meningkat akibat penarikan subsidi kebiasaannya tidak akan turun semula. Inilah realiti sifat harga menurut teori ekonomi, iaitu harga yang sudah naik lazimnya sukar kembali ke paras asal.
Pada ketika ini, kerajaan perlu mengambil jalan tengah dalam menangani isu subsidi petrol dan tekanan kos sara hidup. Namun, langkah tersebut bukan mudah kerana kerajaan perlu menentukan dengan tepat golongan yang benar-benar layak menerima subsidi. Pengelasan umum seperti T20 atau T15 dilihat kurang tepat dalam keadaan semasa.
Sebagai alternatif, kerajaan boleh mempertimbangkan penarikan subsidi secara berperingkat terhadap individu berpendapatan RM20,000 ke atas, bukannya berdasarkan pendapatan isi rumah. Namun persoalannya, sejauh mana penjimatan yang dapat dicapai dan berapakah kos pentadbiran yang perlu ditanggung? Jika kos pelaksanaan melebihi manfaatnya, maka langkah tersebut mungkin tidak lagi berkesan.
Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengurangan kuota BUDI95 atau menaikkan sedikit harga subsidi RON95, contohnya daripada RM1.99 kepada RM2.10 seliter. Namun, setiap pilihan tetap menimbulkan persoalan sama, iaitu golongan mana yang perlu dikecualikan dan sejauh mana kesannya terhadap inflasi serta pertumbuhan ekonomi negara.
Selain isu subsidi petrol, kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal bagi membolehkan penjimatan disalurkan terus kepada rakyat dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.

GST TINGKAT HASIL NEGARA
Sebab itulah, selain daripada strategi yang perlu dilakukan segera, kerajaan perlu bersedia dari sekarang untuk melakukan reformasi struktural dalam ekonomi negara untuk memastikan kutipan hasil negara lebih cekap dan mampan di masa hadapan.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan bersedia untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pada ketika ini, memang tidak sesuai untuk memperkenalkan semula GST. Namun, persediaan boleh dilakukan sekarang, dan GST boleh diumumkan di bawah Belanjawan 2027. Jadi, pelaksanaan semula GST boleh bermula pada akhir 2027, ataupun pada suku pertama 2028.
Dalam era dunia pasca-normal ini, kita perlu bersedia dengan pelbagai bentuk ketidakpastian yang akan berlaku di masa hadapan. Dan dalam aspek perang di Iran ini, tiga perkara penting yang kita perlu pelajari.
Pertama, hasil ekonomi kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak.
Kedua, asas percukaian kita masih lagi sempit dan menyebabkan kutipan hasil yang terhad.
Ketiga, isu keadilan dari segi siapa yang membayar cukai dan siapa yang dapat bantuan daripada hasil cukai tersebut.
Inilah tiga sebab utama kenapa GST perlu diperkenalkan semula pada Belanjawan 2027 nanti. Sebagai cukai kepenggunaan, GST dapat mengurangkan risiko jangkaan hasil negara yang berubah-ubah akibat daripada perubahan dalam harga minyak global.
Pada ketika ini, jelas GST dapat meningkatkan hasil negara dengan lebih mampan berbanding dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Jadi, di masa hadapan, ini boleh membantu negara dalam mendepani krisis luar jangka.
Hasil negara bertambah di bawah GST kerana kecekapan, walaupun banyak barangan-barangan asas dikecualikan, seperti yang pernah dilaksanakan pada 2015 hingga 2018.
Selain daripada itu, GST dapat meningkatkan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, yang pada ketika ini sangat kecil.
Dan yang lebih penting sekali adalah aspek keadilan. Hari ini, ramai golongan T20 marah jika subsidi BUDI95 ditarik kerana mereka adalah pembayar cukai pendapatan yang paling banyak berbanding dengan kumpulan lain. Bayangkan sebelum GST dilaksanakan, daripada 14 juta orang bekerja pada ketika itu, hanya 2 juta yang membayar cukai. Adakah ini adil?
Sudah lebih 8 tahun sejak GST dihapuskan pada 2018. Saya fikir rakyat sudah bijak melihat kelebihan dan kelemahan kedua-dua sistem percukaian GST atau SST ini dan sistem percukaian apa yang terbaik untuk negara di masa hadapan. –UTUSAN
Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).










