Amegilla cingulata: Serangga metalik yang menyelamatkan tanaman kita

Amegilla cingulata: Serangga metalik yang menyelamatkan tanaman kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERANGGA bersayap yang abdomennya berwarna dan berkilat seperti warna metalik mungkin jarang dapat dilihat di sekitar kita. Namun jika diperhati secara tekun di celah bunga-bunga liar yang kecil, kadangkala terdapat seekor serangga berjalur biru metalik terbang pantas sambil mengeluarkan dengung yang kuat. 

Sekilas pandang, kelihatan seperti lebah biasa. Namun apabila diamati dengan teliti, warna biru berkilau pada abdomennya menjadikannya antara serangga yang paling cantik dan menarik.

Ahli Entomologi mengenali serangga ini dengan nama Amegilla cingulata atau lebih dikenali sebagai Blue-banded Bee. 

Walaupun sering dipanggil ‘lebah hijau’ oleh masyarakat tempatan, namun jalur pada abdomennya berwarna biru metalik. 

Di bawah cahaya tertentu, warna ini boleh berubah menjadi biru-firus atau kehijauan akibat fenomena pantulan cahaya yang dikenali sebagai pendarcahaya.  Sebagai perbandingan, kesan optik pendarcahaya yang sama juga boleh dilihat pada sayap pepatung dan bulu sesetengah burung seperti burung raja udang.

Spesies lebah soliter ini berasal dari Australia dan juga ditemui di beberapa wilayah Asia Tenggara termasuk di Malaysia.

Lebah ini mempunyai ciri khas toraks berbulu lebat berwarna keemasan atau coklat kemerahan serta abdomen hitam dengan jalur-jalur metalik yang menarik perhatian. Jalur biru pada abdomen berasal daripada struktur mikro pada rambut badan yang memantulkan cahaya. 

Lebah biru lebih aktif pada waktu panas dan cahaya terang. Penerbangannya sangat pantas sehingga sukar dilihat walau pada jarak dekat apatah lagi difokuskan oleh lensa kamera biasa.

Tidak seperti lebah madu dan kelulut, lebah Amegilla cingulata lebih besar, berbadan tegap dan mempunyai gaya penerbangan berliku-liku yang sangat pantas. Ia jarang hinggap lama pada sesuatu kuntum bunga. 

Dalam beberapa saat sahaja, serangga ini  berpindah dari satu bunga ke bunga lain untuk menghisap nektar dan debunga.

Pemerhatian saya mendapati serangga ini lebih gemarkan bunga-bunga halus berbanding bunga berkelopak besar dan tebal seperti bunga raya.

Bayangkan keupayaannya, walaupun kecil, ia mampu mengepak sayapnya sekitar 200 hingga 250 kali sesaat. 

Kelajuan ini bukan sahaja membolehkannya terbang pantas, malah menghasilkan getaran kuat ketika mengutip debunga. Kadangkala seluruh kuntuman bunga kecil turut bergoyang ketika sedang menghisap madu.

Lebah ini lazim ditemui di kawasan panas dan terbuka seperti kebun, padang rumput, taman rumah dan tepi hutan. Ia gemar mengunjungi bunga-bunga kecil liar yang kaya nektar.

Pemerhatian di lapangan menunjukkan ia lebih kerap mendatangi bunga halus berbanding bunga besar yang mempunyai kelopak tebal.

Namun, keistimewaan sebenar lebah ini bukan pada warnanya semata-mata. Berbeza seperti lebah madu yang hidup berkoloni di dalam sarang besar, Amegilla cingulata ialah lebah solitari. Setiap ekor lebah betina hidup bersendirian tanpa ratu dan tanpa pekerja. Ia juga tidak menghasilkan madu untuk disimpan. Sebaliknya, lebah betina menggali lubang kecil di dalam tanah atau tebing berpasir sebagai sarangnya.

Di dalam lubang tersebut, lebah betina menyediakan ruang kecil berisi campuran debunga dan nektar sebelum meletakkan telur. Apabila telur menetas, larva akan memakan bekalan makanan itu sehingga membesar sebelum bertukar menjadi pupa dan akhirnya keluar sebagai lebah dewasa.

Walaupun hidup sendirian, lebah ini memainkan peranan besar dalam ekosistem sebagai agen pendebunga. Antara tanaman yang sangat bergantung kepada pendebungaan oleh lebah hijau ini ialah tomato, cili, lada dan terung. 

Menariknya, Amegilla cingulata mempunyai kebolehan khas yang tidak dimiliki oleh kebanyakan serangga lain iaitu melakukan pendebungaan gegaran. 

Ketika hinggap pada bunga tertentu, lebah ini akan menggetarkan otot penerbangannya dengan sangat pantas sehingga seluruh bunga bergegar. Gegaran ini menyebabkan debunga keluar daripada anter bunga seperti debu halus. Teknik ini sangat berkesan untuk tanaman daripada keluarga Solanaceae seperti tomato dan terung. Sebab itulah dengung lebah ini kedengaran lebih kuat berbanding lebah biasa.

Sebagai contoh, pokok tomato mempunyai debunga yang terperangkap kemas di dalam anter. Lebah madu biasa sering gagal mengeluarkan debunga ini, namun Amegilla cingulata mampu menggetarkan bunga tersebut sehingga 350 kali sesaat, menyebabkan debunga terpercik keluar dan melekat pada badannya.

Kajian menunjukkan kehadiran lebah biru di ladang tomato dan cili mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 30 peratus lebih tinggi berbanding kawasan yang hanya bergantung kepada angin atau serangga lain. 

Tanpa bantuan lebah solitari ini, kualiti buah mungkin merosot, saiznya lebih kecil dan biji benih yang dihasilkan tidak bermutu tinggi.

Walaupun memiliki sengat, Amegilla cingulata bukanlah spesies yang agresif. Ia jarang menyengat manusia kecuali apabila dipegang atau diganggu. Berbeza dengan lebah madu yang mempertahankan koloni, lebah solitari tidak mempunyai sarang besar untuk dipertahankan. Oleh sebab itu, sifatnya lebih tenang dan cenderung melarikan diri jika ada gangguan atau ancaman.

Proses pembiakannya juga menarik. Lebah jantan biasanya mencari betina berhampiran kawasan bunga untuk mengawan. Apabila menemui pasangan, jantan akan mengejar betina di udara sebelum hinggap dan mengawan dalam posisi jantan berada di atas badan betina. Selepas itu, betina akan memulakan tugas membina sarang dan menjaga generasi baharu secara sendirian.

Jangka hayat lebah dewasa ini sebenarnya tidak panjang, sekitar satu hingga tiga bulan sahaja. Namun dalam tempoh singkat itu, seekor lebah mampu mengunjungi ribuan bunga dan membantu proses pendebungaan pelbagai tumbuhan. Ia juga agen pendebunga yang efisien selepas lebah dan kelulut. 

 

 

Lebah seperti ini penting untuk mendebungakan pokok-pokok yang bunganya halus yang tidak mampu dilakukan oleh serangga besar seperti lebah tukang dan kupu-kupu.

Di sebalik saiznya yang kecil, Amegilla cingulata membuktikan alam mempunyai pekerja-pekerja halus yang amat penting kepada keseimbangan ekosistem dan sumber makanan manusia. 

Tanpa kehadiran pendebunga seperti lebah ini, banyak tumbuhan berbunga dan tanaman pertanian akan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan buah dan biji benih yang secara berterusan boleh mengganggu proses keterjaminan makanan.

Walaupun ia tidak menghasilkan madu, lebah biru ini tetap menjadi antara spesies paling berharga pada alam semula jadi. Bagaimanapun, spesies kecil seperti ini sangat terdedah kepada bahaya persekitaran. Antaranya ialah penggunaan racun serangga yang digunakan di kebun dan ladang-ladang. Racun bukan sahaja membunuh serangga perosak tetapi turut mengorbankan serangga-serangga pendebunga.

Begitu juga apabila berlaku kebakaran terbuka atau kebakaran hutan. Ia bukan sahaja membunuh lebah secara individu tetapi memusnahkan sarang dan warisannya.

Selain itu, amalan pertanian monokultur (penanaman satu jenis tanaman sahaja) menyebabkan lebah ini kekurangan sumber makanan sepanjang tahun. Apabila musim berbunga tamat, lebah biru kehilangan sumber nektar.

Kehilangan habitat akibat pembersihan tanah yang drastik turut memusnahkan tebing-tebing tanah yang menjadi lokasi utama spesies cantik itu membina sarang.

Memandangkan jangka hayat lebah dewasa ini singkat, kelangsungan spesiesnya amat bergantung kepada persekitaran yang mesra alam. 

Petani dan pemilik taman rumah digalakkan untuk mengekalkan kawasan tanah yang sedikit terbuka dan tidak diganggu untuk membolehkan lebah dan serangga pendebunga lain bersarang. 

Penanaman pelbagai jenis bunga tempatan  juga sangat membantu membekalkan makanan berterusan kepada serangga-serangga itu.

 

Fakta menarik lebah biru:

  • Jangka hayat antara satu hingga tiga bulan sahaja.
  • Antara pendebunga terbaik tanaman tomato.
  • Mampu melakukan “buzz pollination” yang tidak dapat dilakukan oleh kebanyakan kelulut atau lebah biasa.
  • Jalur biru pada abdomen berasal daripada struktur mikro pada rambut badan yang memantulkan cahaya.
  • Lebih aktif pada waktu panas dan cahaya terang.
  • Penerbangannya sangat pantas sehingga sukar difokuskan kamera biasa, melainkan dengan kanta makro telefoto.

 

HAMDAN Abu ialah penulis sambilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN