KEHARMONIAN dan penyatuan bangsa bukan sekadar slogan tetapi nadi utama kelangsungan negara tercinta.
Dalam realiti masyarakat Malaysia berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, membolehkan jalinan silaturahim yang terbina sejak 69 tahun lalu bukanlah hadir tanpa pengorbanan.
Sebaliknya, penyatuan ini lahir daripada jerih perih dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang berdepan pelbagai cabaran demi membina sebuah negara bangsa berdaulat.
Kini, sebagai pewaris perjuangan itu, kita memikul tanggungjawab untuk mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi dengan acuan sendiri. Justeru, akar perpaduan perlu terus diperkukuh agar menjadi pencengkam kepada obor kesatuan dan antara wahana paling ampuh untuk menyuburkannya ialah melalui sukan.
Sukan mampu menjadi agenda perpaduan yang boleh menyatukan setiap naluri dan setiap pemikiran rakyat Malaysia.
Di padang, di gelanggang mahupun di kerusi-kerisi stadium kita boleh melihat percambahan bibit-bibit perpaduan bangsa Malaysia. Setiap gerak geri dalam dunia sukan, sama ada sebagai atlet atau penyokong setia memperlihatkan keutuhan kita sebagai rakyat Malaysia.
JALUR GEMILANG
Sorakan bergema, Jalur Gemilang berkibar megah dan rasa bangga dikongsikan bersama menjadi bukti sukan mempunyai kuasa luar biasa dalam menyatukan rakyat. Bulu roma meremang dan titisan air mata terus berjurai tanpa dipinta apabila lagu Negaraku berkumandang.
Dengan penuh taat setia dan bangga, lirik lagu Negaraku dinyanyikan dengan nada yang tinggi dan suara yang lantang, atas dasar ‘Saya Anak Malaysia’.
Kehangatan ini dapat dirasakan ketika pasukan kebangsaan beraksi di pentas sukan. Di mana-mana peringkat sama ada sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa pelibatan atlet menjadi tumpuan rakyat jelata. Rakyat sanggup meluangkan masa turun padang memberikan sokongan dan sorakan.
Ketika pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei beraksi di gelanggang Olimpik, seluruh rakyat tanpa mengira kaum bersatu di hadapan layar besar atau kaca mata televisyen, mendoakan kejayaan beliau.
Setiap pukulan kencang yang tercetus dari raketnya disambut dengan sorakkan. Gema pukulan raket dapat dijelmakan di kedai kopi, dataran, kedai mamak, balai raya dan di mana-mana pelusuk negara. Setiap langkah Chong Wei bukan sekadar usahanya sahaja malah menjadi lambang harapan sebuah negara.
KAYUHAN EMAS
Kayuhan emas Datuk Azizulhasni Awang yang dikenali sebagai ‘The Pocket Roketman’ menjadi idaman setiap anak muda di negara kita. Kejayaan terbaharu beliau pada 7 Mac lalu, apabila berjaya mengegarkan Perth Speed Dome Velodrome dengan pingat emas.
Aksi dan gaya kayuhan beliau sehingga garisan penamat dengan mengalahkan pelumba pilihan kejohanan, menjadikan setiap rakyat Malaysia terus bangga. Walaupun kita menyaksikannya melalui siaran langsung, namun doa dari setiap rakyat Malaysia mengiringi beliau sehingga garisan hitam keramat. Kita melonjak dan menangis bersama melihat kejayaan beliau.
Sementara S. Sivasangari muncul sebagai juara Terbuka Australia 2026 dalam acara Squash, sekali gus menjadi satu lagi agenda perpaduan negara. Kejayaan beliau amat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
Sebagai pengganti kepada ratu Squash negara, Datuk Nicol Ann David, Sivasanggari bukan sahaja berjaya menjadi inspirasi kepada pemuda-pemudi negara malahan menjadi lambang perpaduan antara kaum di negara.

PENANTIAN 34 TAHUN
Jeritan padu setiap rakyat Malaysia ketika Sukan SEA 2025, membantu pasukan sepak takraw negara melenyapkan penguasaan dan penantian 34 tahun pasukan Thailand. Sebagai ‘pemain simpanan’ di kaca mata televisyen, setiap rakyat Malaysia melibas dan menjadi tekong di tempat masing-masing.
Laungan keramat di awan Malaysia terbias sehingga ke Chonburi, Thailand.
Kemenangan 2 -1 dan nyanyian lagu Negaraku ketika ucapan penyampaian pingat menjadi saksi yang sukan mampu membina dan menjadi benteng perpaduan negara.
Kita tidak boleh melupakan raja segala sukan, iaitu bola sepak. Setiap kali Harimau Malaya turun ke padang, deruman sokongan pemain ke-12, iaitu seluruh rakyat Malaysia menjadi simbol dan penggerak utama perpaduan negara.
Kita dapat melihat tiada ruang kerusi tanpa penyokong. Kibaran Jalur Gemilang dan lagu sokongan membakar semangat waja pasukan negara. Ketika mengalahkan pasukan Vietnam tempoh hari, kita dapat melihat runtuhnya tembok kaum dan bangkitnya semangat Malaysia.
Sukan sebenarnya bukan sekadar menyatukan penonton, malah turut mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemain. Satu pasukan yang dibentuk dari akar umbi, sebenarnya terdiri daripada pelbagai kaum. Kepelbagaian kaum inilah yang menjadi inspirasi kejayaan setiap pasukan sukan di negara kita.
Sukan bola keranjang walaupun dikatakan didominasi oleh masyarakat Cina, namun pasukan kebangsaan diwakili oleh pemain berbangsa Melayu dan India. Adunan perpaduan inilah yang menjadi resipi kejayaan pasukan negara.
SUKAN SETEMPAT
Kita harus memupuk dan memperkukuhkan perpaduan melalui sukan ini di peringkat akar umbi. Persatuan sukan di sekolah dan komuniti setempat perlu memainkan peranan penting.
Program seperti kejohanan sukan tahunan, pertandingan antara kampung atau taman, liga komuniti mampu memberikan peluang kepada rakyat terutamanya anak muda dari pelbagai latar belakang berinteraksi secara positif.
Suasana santai tetapi kompetitif mampu merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan mengukuhkan silahturahim.
KOMITMEN KEMENTERIAN
Usaha menyatukan rakyat melalui sukan memerlukan komitmen tinggi daripada agensi-agensi kerajaan. Kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pelbagai agensi di bawah setiap kementerian mampu merealisasikan misi perpaduan melalui sukan.
Penganjuran aktiviti sukan yang berkonsepkan pelbagai kaum dari peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan haruslah menjadi modus operandi.
Rancangan tahunan sukan mengikut setiap bulan perlulah diuar-uarkan kepada masyarakat umum agar penyertaan lebih menyeluruh.
Hanya perpaduan sahaja mampu menjadi benteng utama dalam menangkis segala usaha pencerobohan terhadap kedaulatan negara. Anasir-anasir yang berselindung atas nama kaum hanya boleh diusir melalui semangat kesukanan yang jitu dan padu.
Perpaduan melalui sukan tidak datang bergolek begitu sahaja sebaliknya perlu dipupuk, dikawal dan diperkukuh dari semasa ke semasa sejak di bangku sekolah.
Sebagai rakyat yang kuat jati diri, ayuh menyokong pasukan negara, libatkan diri secara aktif dalam sukan dan hayati semangat kesukanan dalam kehidupan harian. -UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.










