LONDON: Manchester City terus membuktikan kecemerlangan mereka di pentas domestik apabila melakar sejarah sebagai kelab pertama mara ke empat final berturut-turut Piala FA selepas bangkit menewaskan Southampton 2-1 di Wembley, semalam.
Pengendali City, Pep Guardiola, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa, terutama selepas pasukannya terpaksa mengharungi detik cemas sebelum memastikan tempat ke final.
Southampton yang beraksi di Liga Kejuaraan hampir mencipta sensasi apabila jaringan menarik Finn Azaz meletakkan mereka di depan 11 minit sebelum perlawanan berakhir, sekali gus memberi bayangan kejutan besar bakal tercipta.
Namun begitu, pengalaman dan kualiti dimiliki City akhirnya menjadi pemisah apabila Jeremy Doku menyamakan kedudukan sebelum rembatan menarik Nico Gonzalez melengkapkan kebangkitan dramatik dalam perlawanan itu.
City yang sebelum ini tewas dalam dua final berturut-turut kepada Crystal Palace dan Manchester United namun muncul juara pada 2023, kini berpeluang menambah koleksi trofi mereka musim ini selepas turut menjulang Piala Liga bulan lalu.
Lebih menarik, skuad kendalian Guardiola itu juga sedang bersaing sengit dengan Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris(EPL), sekali gus membuka peluang untuk menamatkan musim dengan lebih gemilang.
“Tiada pasukan pernah mara ke empat final berturut-turut. Ia sesuatu yang luar biasa dan kami berharap dapat ke final dengan momentum terbaik.
“Ini peluang untuk tebus kekecewaan selepas dua kali kami melepaskan peluang untuk menjulang Piala FA sebelum ini,” kata Guardiola.
Keputusan Guardiola melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama selepas kemenangan ke atas Burnley hampir memakan diri apabila Southampton tampil lebih bertenaga dan menguasai babak pertama.
Bagaimanapun, kemasukan pemain seperti Doku, Erling Haaland dan Bernardo Silva selepas rehat nyata mengubah corak permainan City.
“Ia perlawanan sukar tetapi pemain sayap (Doku dan Savinho) mengubah rentak permainan sebaik dimasukkan. Percubaan pertama mereka melepasi garisan tengah terus menghasilkan gol yang hebat. Bola sepak sentiasa sukar dijangka, tetapi cara kami bermain pada separuh masa kedua sangat luar biasa,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










