Kuching City intai slot Asia

Kuching City intai slot Asia

The Cats yang masih segar dengan kejayaan layak ke final Piala Malaysia akan berkunjung ke Brunei esok untuk menentang DPMM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. - Ihsan Kuching City FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memasang impian membawa pasukan itu ke pentas Asia sama ada Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) atau pun Liga Juara-Juara Elit (ACLE).

Biarpun sedar cabaran yang bakal menanti pasukan selepas ini, jurulatih dari Singapura itu percaya barisan pemainnya mempunyai kualiti untuk cuba merealisasikan harapan besar berkenaan.

“Pastinya saya mahu membawa Kuching ke Piala ACL atau ACLE kerana itu adalah salah satu pertandingan baik yang dicari oleh semua orang. Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukannya dengan sangat baik.

“Jadi di sinilah kita mahu mengikut jejak langkah yang baik seperti pasukan JDT. Harapnya kami akan pergi selangkah demi selangkah dan ia tidak akan mudah dan anda boleh terus mendaki ke sana,” katanya.

The Cats yang masih segar dengan kejayaan layak ke final Piala Malaysia akan berkunjung ke Brunei esok untuk menentang DPMM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Pastinya tiga mata penuh menjadi sasaran mereka bagi mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super di depan pencabar terdekat Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC.

Menurut Aidil, selain menyiapkan diri bagi mengharungi final Piala Malaysia, satu lagi langkah yang perlu diambil Kuching City adalah mengekalkan aksi terbaik bagi menamatkan musim ini di tangga kedua Liga Super.

“Mereka boleh meraikannya (kejayaan layak ke final) tetapi apabila kembali ke latihan, semua kena kembali beri fokus. Seperti saya katakan, tugas kami belum lagi selesai,” katanya.

Walaupun gelaran juara Liga Super sudah diketahui menjadi milik JDT, namun kerancakan saingan Liga Super masih terasa ketika mana tumpuan kini terarah kepada perebutan tempat kedua.

Tiga pasukan sedang mengatur persiapan untuk menghadapi baki aksi Liga Super dalam misi bergelar naib juara, sekali gus memperoleh slot ke ACL2 musim hadapan.

Kuching City yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan akan bertemu DPMM esok sebelum menentang Terengganu, Melaka dan menutup kempen berdepan KL City.

Manakala tiga baki lawan Selangor adalah Kelantan TRW sebelum melayani kunjungan Penang dan PDRM di Stadium MBPJ untuk perlawanan penutup tirai Liga Super musim ini.

Jadual KL City tampak sukar apabila dijadualkan berkunjung ke laman JDT pada 2 Mei, sebelum bertemu Negeri Sembilan dan terbang ke Sarawak untuk berdepan Kuching City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×