DENGAN usia yang hampir mencecah satu abad, Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah melalui pelbagai fasa pembangunan, doktrin dan evolusi.
Namun, dalam landskap keselamatan semakin kompleks pada masa kini, keadaan tersebut menuntut TDM kekal gagah, berkembang dan relevan dalam menghadapi cabaran semasa.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Panglima Tentera Darat, JENERAL DATUK AZHAN MD. OTHMAN bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto ISKANDAR ISHAK.
UTUSAN: Bagaimana tema hari ulang tahun TDM, ‘Kemahuan untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat’ boleh dicapai dalam merealisasikan Aspirasi Angkatan Masa Hadapan (AMH) menerusi strategi domain daratan?
AZHAN: Tema ni adalah hasrat dan pembudayaan operasi yang akan menjadi asas kepada transformasi TDM untuk memasuki fasa seterusnya.
Di usia 93 tahun ini, TDM bukan sekadar meraikan sejarah tetapi sedang menetapkan hala tuju yang jelas untuk menjadi sebuah angkatan yang bukan sahaja konvensional malah ‘Future-Ready’ untuk menghadapi situasi dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks, melibatkan ancaman hibrid, peperangan pelbagai domain serta ketidaktentuan geopolitik serantau.
Tema ini juga boleh diterjemahkan dengan pengukuhan keupayaan tempur berteraskan Strategi Domain Daratan yang menuntut TDM untuk beroperasi secara bersepadu melibatkan penguasaan pelbagai kepakaran, teknologi terkini serta mendominasi operasi maklumat.
‘Kemahuan Untuk Menang’, bermaksud kita membina daya tempur yang berwibawa, tangkas dan berteraskan rangkaian selaras dengan aspirasi AMH yang sedang dibangunkan ketika ini melibatkan kredibiliti organisasi, pemodenan aset dan sistem persenjataan, integrasi C4ISR (Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Risikan, Pengawasan dan Peninjauan).
Selain itu TDM mahu pembinaan modal insan bermentaliti pejuang. Setiap warga TDM perlu menanamkan mentaliti berkeupayaan tempur, disiplin tinggi, profesionalisme dan integriti yang tinggi tanpa berkompromi, selain memperkukuhkan aspek latihan secara joint dan combined exercises serta pembangunan kepimpinan berteraskan nilai dan profil Tentera Darat.
Apakah elemen PODKAL dalam Perintah Ulung Tentera Darat dan bagaimana ia membantu pelaksanaan AMH?
PODKAL adalah rangka kerja komprehensif yang menyasarkan kecemerlangan organisasi secara holistik berdasarkan kepada tujuh elemen iaitu P (Pemimpin) & A (Anggota): Fokus utama saya adalah melahirkan The Thinking Soldier. Kita mahu pemimpin dan anggota yang bukan sekadar pengikut arahan tetapi bijak membuat keputusan taktikal yang kritis di lapangan berdasarkan situasi semasa.
O (Organisasi) & D (Doktrin): Kita sedang menstrukturkan semula organisasi supaya lebih ringkas tetapi berbisa dengan model modular. Doktrin peperangan kita pula sentiasa dikemas kini agar relevan dengan ancaman peperangan hibrid dan bukan konvensional.
K (Kewangan): Setiap sen wang rakyat adalah amanah. Kita mengamalkan tadbir urus kewangan yang berhemah dengan konsep value for money bagi memastikan perbelanjaan memberi impak pertahanan yang maksimum.
A (Alat): Perolehan aset kini berasaskan keperluan strategi, bukannya keinginan semata-mata. Aset mestilah fit-for-purpose, mempunyai kebolehoperasian yang tinggi, dan berasaskan teknologi terkini seperti sistem tanpa pemandu (UAV).
L (Latihan): Latihan kita kini beralih kepada latihan yang lebih realistik, berasaskan simulasi canggih dan latihan berterusan yang mampu menguji kompetensi anggota dalam persekitaran mencabar.
Apabila ketujuh-tujuh elemen ini diperkasakan secara serentak, ia akan menghasilkan sinergi yang melonjakkan tahap kesiagaan TDM ke tahap tertinggi.
Sejauh mana kepentingan Operasi Informasi dan Media Warfare dalam Strategi Domain Daratan?
Landskap keselamatan global tidak lagi terbatas kepada pertembungan kinetik di medan fizikal semata-mata. Konflik moden berkembang ke arah multi-domain battlespace merangkumi domain fizikal, siber dan kognitif. Dalam konteks ini, Operasi Informasi dan Media Warfare bukan lagi elemen sokongan tetapi menjadi komponen teras dalam Strategi Domain Daratan.
Hari ini, kita lihat peperangan moden dimenangi melalui penguasaan naratif. Kita tidak boleh membiarkan persepsi rakyat atau moral anggota dimanipulasi musuh melalui ruang siber. Tentera Darat mesti dominan dalam menyampaikan kebenaran dan mematahkan propaganda yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara.
Kita perlu faham matlmat peperangan moden bukan sekadar memusnahkan keupayaan fizikal musuh tetapi juga melemahkan legitimasi musuh. Ruang persepsi yang dibentuk melalui media arus perdana, media sosial dan platform digital, kini menjadi sama penting dengan medan pertempuran daratan.
Bagaimana persediaan dalam menghadapi doktrin peperangan masa hadapan terutama dengan penggunaan dron yang semakin meluas, mengambil situasi perang masa kini?
TDM sedang mempersiapkan diri melalui pendekatan berfasa bermula dengan pembinaan keupayaan asas ke arah integrasi dron secara menyeluruh dalam doktrin peperangan masa hadapan.
Dari sudut keupayaan semasa, TDM memulakan pengoperasian dron pengawasan taktikal seperti FlyEye bagi memperkukuh ISR dan sokongan artileri, sekali gus meningkatkan kesedaran situasi medan tanpa mendedahkan anggota kepada risiko.
Dalam masa sama, pembangunan dron serangan sedang diteroka melalui kerjasama industri tempatan dan inovasi dalaman termasuk pembangunan loitering munition dan dron kamikaze kos rendah. Usaha ini selari dengan pengajaran konflik semasa yang membuktikan dron murah mampu melumpuhkan aset bernilai tinggi seperti kenderaan berperisai dan sistem artileri.
Bagaimana dengan perkembangan terbaharu proses perolehan pesawat Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)?
Berdasarkan perancangan semasa, PUTD dijangka menerima empat buah pesawat AW 149 melalui kaedah sewaan pajakan kerajaan bagi tempoh sekitar 15 tahun dengan penghantaran dijangka bermula secara berperingkat seawal Ogos 2027.
Perolehan ini bertujuan memperkukuh keupayaan mobiliti taktikal, sokongan operasi darat serta pelaksanaan misi pelbagai peranan termasuk pengangkutan taktikal, Medevac (pemindahan perubatan) dan sokongan khas.
Selain itu, PUTD turut merancang menambah empat buah lagi helikopter utiliti tempur secara kaedah sewaan jangka sederhana. Tender bagi perolehan ini dibuka semula secara terbuka selepas kontrak terdahulu dibatalkan termasuk cadangan melibatkan varian Black Hawk.
TDM juga dalam peringkat perancangan awal bagi perolehan helikopter penyerang sebagai sebahagian usaha membangunkan keupayaan tempur udara Tentera Darat yang lebih seimbang. Inisiatif ini selari aspirasi pembangunan AMH bagi meningkatkan keupayaan tempur bersepadu di medan operasi moden.
Selain perolehan baharu, TDM turut mengkaji kemungkinan meneruskan sewaan helikopter AW 139 yang kini sedang disewa daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Keputusan ini akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi operasi semasa serta kesesuaian varian tersebut dalam memenuhi keperluan semasa TDM.-UTUSAN










