PETALING JAYA: Hasrat pelumba endurance negara, Lau New Joe untuk beraksi dalam dua acara pada siri terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini tidak kesampaian berikutan masalah kecergasan yang dialaminya.
Perkara itu disahkan jurulatih berbasikal trek endurance negara, Amir Mustafa Rusli apabila berkata, pelumba berusia 21 tahun itu hanya beraksi dalam acara omnium pada Ahad ini.
“Dua tiga hari ini dia agak lesu, selepas habis berlatih, saya berbincang bersama pasukan dan kami membuat keputusan dia kena korbankan satu acara.
“Dia tidak akan beraksi dalam acara elimination sebab kami bimbang kalau dia masuk dua acara dia tidak dapat menjalani pemulihan sepenuhnya. Jadi, esok (hari ini) dia tidak akan bermain dalam acara elimination,” katanya.
New Joe sebelum ini beraksi dalam siri kedua di Hong Kong, minggu lalu dan menamatkan acara elimination dan omnium masing-masing di kedudukan ke-13 dan ke-24 keseluruhan.
Dia juga turut beraksi dalam siri pertama di Perth pada Mac lalu dan menamatkan saingan elimination dan omnium masing-masing di kedudukan ke-10 keseluruhan.
Jelas Amir, kejohanan kali ini, selain New Joe turut menggalas cabaran negara adalah Aisyah Zubir, Yusri Shaari dan Hafiq Mohd Jafri.
“Piala Dunia standard tinggi dan kejohanan ini menawarkan kutipan mata bagi kejohanan dunia di China. Memang ada tekanan untuk dapatkan mata tapi saya faham perlumbaan kali ini sengit dengan adanya pelumba handalan dari Eropah,” katanya. – UTUSAN










