PADA Sabtu lalu, markas tentera pusat Iran menolak ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memberi amaran untuk memusnahkan infrastruktur penting negara itu sekiranya Iran tidak menerima perjanjian damai dalam tempoh 48 jam.
Jeneral Ali Abdollahi Aliabadi, dalam kenyataan daripada Markas Pusat Khatam al-Anbiya, yang memainkan peranan penting dalam koordinasi pertahanan negara menyifatkan ancaman Presiden AS itu sebagai tindakan yang terdesak, gelisah, tidak seimbang dan bodoh.
Sebelumnya, Trump menulis di platform Truth Social: “Ingat ketika saya memberi Iran 10 hari untuk membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz.”. Beliau turut menulis, “Masa semakin suntuk – 48 jam sebelum neraka akan turun menimpa mereka.”
Sebagai respons, Aliabadi secara sinis memberi amaran “maksud mudah mesej ini ialah pintu-pintu neraka akan terbuka untuk kamu.”
Laporan tersebut bukan sahaja memberi gambaran jelas tentang perkara sedang berlaku di Asia Barat tetapi juga menghantar satu mesej mudah difahami dunia bahawa krisis yang membarah di rantau itu masih jauh daripada berakhir.
Keadaan ini sebenarnya tidak dijangka, termasuk oleh Trump sendiri. Akhbar The New York Times dalam laporannya menyifatkan pentadbiran Trump pada awalnya meremehkan risiko terhadap pasaran tenaga ketika mempertimbangkan serangan bersama Israel ke atas Iran.
Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, ketika itu malah menyatakan beliau tidak bimbang perang tersebut akan mengganggu bekalan minyak atau menjejaskan pasaran tenaga global.
Beliau merujuk kesan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada Jun tahun lalu yang hanya menyebabkan kenaikan harga minyak secara sementara. Namun penilaian tersebut ternyata meleset.
Kali ini Iran memberi reaksi berbeza. Negara itu bertindak menutup Selat Hormuz dan mengancam menyerang kapal tangki minyak yang melalui laluan strategik tersebut, yang merupakan laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia, di mana kira-kira 20 peratus bekalan minyak global dibawa melaluinya.
Ancaman tersebut menyebabkan aktiviti perkapalan komersial di Teluk Parsi terganggu, harga minyak melonjak dan pentadbiran Trump terpaksa bertungkus-lumus mencari jalan untuk menangani krisis ekonomi serta kenaikan harga petrol di AS.
Situasi ini juga memperlihatkan bagaimana Trump dan para penasihatnya tersalah menilai reaksi Iran.
Laporan itu turut memetik beberapa ahli politik AS menyuarakan kebimbangan pentadbiran Trump tidak mempunyai pelan jelas untuk menangani krisis di Selat Hormuz.
Malah di dalam pentadbiran sendiri, kebimbangan semakin meningkat mengenai ketiadaan strategi yang jelas untuk menamatkan konflik tersebut, walaupun Trump terus menggambarkan operasi ketenteraan itu sebagai kejayaan.
Sementara Trump terus hidup dalam bayangan ‘kemenangan’ versinya sendiri, dunia terpaksa membayar harga atas kesilapan tersebut. Selagi konflik di Asia Barat terus berlarutan, selagi itulah dunia akan berada dalam fasa ketidaktentuan.
Hal ini kerana konflik tersebut bukan sekadar pertikaian geopolitik serantau. Sebaliknya, mencetuskan gelombang ketidaktentuan yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global, sistem perdagangan antarabangsa serta kehidupan rakyat di banyak negara termasuk Malaysia.
Dalam era globalisasi yang saling bergantung, apa sahaja yang berlaku di kawasan strategik dunia akhirnya akan memberi kesan kepada negara-negara lain.
Hakikatnya, ekonomi dunia hari ini ibarat satu rangkaian besar yang saling berkait. Gangguan di satu bahagian rangkaian boleh mencetuskan kesan berantai yang mempengaruhi yang lain.
Asia Barat merupakan antara kawasan paling strategik dalam ekonomi dunia. Rantau ini menjadi sumber utama bekalan minyak dan gas global yang menjadi nadi kepada sistem ekonomi antarabangsa. Apabila berlaku konflik di kawasan tersebut, kesannya bukan sahaja dirasai negara-negara di sekitarnya, malah turut memberi tekanan kepada ekonomi dunia secara keseluruhan.
Gangguan terhadap kemudahan tenaga, laluan perkapalan atau bekalan minyak boleh menyebabkan harga tenaga melonjak secara mendadak. Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan dan kos pengeluaran turut meningkat.
Kesan akhirnya akan sampai kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi inilah yang sedang dihadapi oleh banyak negara hari ini.
Negara seperti Malaysia berdepan kesan inflasi import. Walaupun merupakan negara pengeluar minyak, namun realitinya lebih separuh daripada minyak mentah yang diproses penapisan tempatan sebenarnya diimport dari luar negara.
Sebahagian besar daripada import tersebut datang dari rantau Asia Barat. Malah dianggarkan sekitar 38 peratus bekalan minyak mentah yang digunakan kilang penapisan tempatan berasal daripada kawasan konflik tersebut.
Ini bermakna apabila berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, harga minyak global akan meningkat dan kos tersebut akhirnya memberi kesan kepada ekonomi domestik.
Bank Negara Malaysia turut memberi perhatian serius terhadap perkembangan ini. Menurut bank pusat negara itu, kenaikan harga minyak global yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi domestik. Harga tenaga yang tinggi boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan meningkatkan kos operasi industri.
Selain itu, ketidaktentuan geopolitik juga boleh menyebabkan aliran modal antarabangsa menjadi lebih tidak menentu. Dalam keadaan global yang tidak stabil, pelabur antarabangsa lazimnya akan memindahkan pelaburan mereka ke pasaran yang dianggap lebih selamat.
Fenomena ini menyebabkan turun naik aliran modal yang memberi kesan kepada pasaran kewangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya menegaskan konflik Asia Barat mengganggu rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor tenaga, walaupun Malaysia setakat ini masih berjaya mengekalkan ketahanan ekonominya.
Namun begitu, kata beliau, konflik tersebut menyebabkan peningkatan kos pengangkutan, makanan dan tenaga elektrik yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.
Oleh sebab itu, kerajaan memberi keutamaan kepada langkah-langkah yang dapat memastikan rakyat tidak terbeban dengan apa yang berlaku. Atas sebab yang sama kerajaan menegaskan dalam situasi seperti ini, keutamaan bukanlah kepada pengumuman pakej rangsangan ekonomi secara tergesa-gesa, sebaliknya kepada usaha memastikan kestabilan bekalan serta harga barangan asas.
Antara yang menjadi fokus utama kerajaan ialah memastikan bekalan beras, minyak masak dan daging kekal mencukupi di pasaran.
Dalam pada itu, kerajaan terus memperhalusi sistem subsidi tenaga bagi memastikan ia lebih berkesan dalam melindungi rakyat. Antara langkah penting ialah menambah baik mekanisme subsidi bahan api supaya lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pendekatan ini penting kerana kenaikan harga tenaga global boleh memberi tekanan besar kepada kewangan negara sekiranya subsidi diberikan secara menyeluruh tanpa kawalan.
Pada masa sama, langkah ini juga membantu memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan, ekonomi negara kekal stabil dalam jangka panjang dan kehidupan rakyat tidak terjejas.
Namun sebagaimana lazimnya, bagi sesebuah negara, kekuatan dalam menghadapi apa juga cabaran tidak hanya bergantung kepada dasar ekonomi semata-mata. Sebaliknya, teras kekuatan itu terletak pada perpaduan rakyatnya.
Sejarah menunjukkan banyak negara menjadi lemah bukan kerana tekanan luar tetapi perpecahan dalam negara itu sendiri.
Apabila masyarakat berpecah-belah, keadaan ini boleh membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mengambil kesempatan.
Dalam era digital hari ini, penyebaran maklumat palsu, propaganda serta manipulasi sentimen masyarakat boleh menjadi alat untuk mencetuskan ketegangan sosial.
Oleh itu, perpaduan rakyat merupakan benteng paling kukuh dalam menghadapi sebarang cabaran global.
Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya membuktikan keharmonian masyarakat majmuk merupakan asas utama kekuatannya. Nilai inilah yang perlu terus kita pelihara.
Sayugia diingat, Malaysia sebenarnya bukan negara yang asing dengan cabaran global.
Negara pernah menghadapi pelbagai krisis besar sebelum ini, termasuk krisis kewangan Asia pada 1997 serta pandemik Covid-19 yang melanda dunia beberapa tahun lalu.
Dalam setiap cabaran tersebut, rakyat Malaysia menunjukkan kemampuan untuk bangkit dan menghadapi kesukaran bersama-sama.
Perpaduan dan semangat kebersamaan itulah yang akhirnya membantu negara mengharungi tempoh sukar tersebut.
Kita pernah melakukannya. Dengan semangat yang sama, kita mampu melakukannya sekali lagi dan berkali-kali lagi.-UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Zohdi ialah Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).










