Ridwan perlukan post-mortem

Ridwan perlukan post-mortem

Muhammad Ridwan Sahrom tersingkir seawal pusingan 1/8 acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan untuk melihat kilauan emas pertama skuad senior kabur apabila pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom tersingkir seawal pusingan 1/8 acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, semalam.

Ridwan yang sebelum itu melepasi sesi kelayakan terpaksa akur tewas kepada pelumba Thailand yang juga bekas juara Sukan Asia, Jai Angsuthasawit dalam saringan kelapan.

Perlumbaan di Velodrom Tagaytay City itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pelumba saling mengawal momentum sebelum pelumba Angsuthasawit melakukan pecutan lebih kemas di penghujung saingan.

Dalam perlumbaan tersebut, pelumba berusia 25 tahun itu mencatat masa 10.425 saat (s) berbanding lawannya 10.227s, sekali gus gagal melangkah ke pusingan 1/4.

Kekalahan itu memperlihatkan jurang ketara dari segi taktikal dan kepantasan di peringkat kalah mati meskipun Ridwan menunjukkan potensi dalam pusingan kelayakan.

Terdahulu, Ridwan mempamerkan aksi memberangsangkan dalam sesi kelayakan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelapan daripada 22 pelumba.

Dia mencatat masa 9.791s dalam ujian masa 200 meter (m) untuk memastikan tempat ke pusingan 1/8 akhir.

Setakat ini, skuad senior hanya meraih satu pingat perak menerusi pecut berpasukan wanita yang dibarisi oleh ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid.

Untuk rekod, pada edisi lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, Ridwan terlepas podium selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN