Ridwan perlu buktikan kemampuan individu

Ridwan perlu buktikan kemampuan individu

Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd Akmal Nazimi Jusena serta Muhammad Fadhil Zonis gagal membutirkan pingat dalam acara pecut lelaki berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, semalam. - IHSAN KONFEDERASI BASIKAL ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom menggalas tekanan lebih besar untuk membuktikan kemampuan sebenar dalam acara pecut individu lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 hari ini selepas gagal dalam acara berpasukan.

Selepas menduduki tempat keempat bersama Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Zonis, kekecewaan itu menyuntik semangat baharu buat Ridwan untuk tampil lebih agresif di Filipina.

Lebih mencabar, Ridwan kini perlu bergerak tanpa bayangan abangnya, Muhammad Shah Firdaus sekali gus meletakkan tanggungjawab lebih besar di bahunya sebagai sandaran utama negara.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri percaya pelumba itu mampu mencipta sesuatu dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke kelompok lapan terbaik bersama pelumba muda, Adib Andhar Andan.

“Masa kali ini Ridwan kena pecahkan rekod peribadi dia di sini kerana keadaan trek yang baharu dan lebih laju.

“Saya yakin dia mampu melakukan catatan lebih baik dan sasaran kita sekurang-kurangnya mara ke suku akhir bagi acara pecut,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita di Filipina, semalam. – IHSAN KONFEDERASI BASIKAL ASIA

Di kem wanita, gandingan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid kembali mencuri tumpuan selepas mempertahankan pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan.

Namun, fokus kini terarah kepada cabaran individu apabila Izzah bersama Alyssa berdepan tugas sukar menyaingi kuasa besar seperti China dan Jepun.

“Keyakinan Izzah masih terkesan selepas insiden jatuh sebelum ini (tahun lalu), jadi fokus kami lebih kepada memperbaiki catatan masa dan memastikan dia kembali stabil.

“Sasaran kami sekurang-kurangnya ada peningkatan prestasi dalam pecut individu walaupun saingan kali ini lebih sengit,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi lalu di Nilai, Negeri Sembilan, Ridwan terlepas podium selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus terpaksa menyaksikan abangnya meraih gangsa dalam perebutan tempat ketiga, manakala bagi acara pecut wanita, ratu trek negara, Izzah menghadiahkan pingat gangsa sementara Alyssa berada di kedudukan keenam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×