MADRID: Hatrik menakjubkan Federico Valverde pada babak pertama membantu Real Madrid menewaskan Manchester City 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, semalam.
Valverde mengakui sangat puas dan akui sudah lama tidak merasakan perlawanan sebegini namun paling penting adalah kemenangan buat Real.
“Ini luar biasa, anda sentiasa mengimpikan malam seperti ini. Sudah lama saya tidak begitu menikmati perlawanan seperti ini. Saya sangat gembira tetapi paling penting pasukan menang.
“Perlawanan di Manchester nanti pasti amat sukar. Kami perlu pergi ke sana seolah-olah kedudukan masih 0-0 dan bekerja keras,” kata Valverde kepada Movistar.
Los Blancos yang turun tanpa beberapa tonggak termasuk Kylian Mbappe menyaksikan pemain tengah Uruguay itu meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit sekali gus mengecewakan skuad kendalian Pep Guardiola di Santiago Bernabeu.
Walaupun Real adalah juara dengan rekod 15 kali, prestasi tidak menentu mereka akhir-akhir ini mencetus sedikit keraguan sama ada mereka mampu meraih kemenangan besar pada perlawanan yang kini dianggap sebagai klasik moden Liga Juara-Juara.
City yang menjuarai pertandingan itu buat kali pertama pada 2023 pernah menewaskan Real pada fasa liga, namun kelab gergasi Sepanyol itu mempamerkan aksi paling meyakinkan musim ini tepat pada saat paling penting.
Sementara itu, Guardiola tetap optimis pasukan mampu bangkit walaupun City kini berdepan tugas sukar menjelang aksi timbal balik di Etihad. – AGENSI/UTUSAN










