PETALING JAYA: Skuad hoki negara akhirnya boleh menarik nafas lega apabila sudah mengesahkan tiket mereka ke pusingan akhir Piala Dunia di Belgium dan Belanda yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini.
Pengurus pasukan skuad kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, berdasarkan syarat kelayakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), tiga pasukan terbaik daripada setiap pusingan kelayakan yang berlangsung di Mesir dan Chile layak secara automatik ke pusingan akhir.
Jelasnya, slot terakhir akan diisi oleh pasukan keempat terbaik bagi kedua-dua pusingan kelayakan tersebut berdasarkan kedudukan ranking.
“Kita bernasib baik sebab aksi penentuan tempat ketiga di Santiago membabitkan Wales dan Poland, ranking mereka lebih rendah daripada kita. Wales di tangga ke-15 dunia manakala Poland di tempat ke-20, berbanding Malaysia di ranking ke-14 dunia.
“Jika kita menamatkan kempen kelayakan di tempat keempat, ranking kita lebih tinggi daripada Wales dan Poland, sebab pasukan keempat terbaik keseluruhan daripada kedua-dua pusingan kelayakan akan layak ke Piala Dunia,” katanya.
Najmi juga merupakan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut berkata, beraksi ke Piala Dunia merupakan salah satu sasaran yang diberikan kepada jurulatih skuad kebangsaan, Sarjit Singh.
“Itu sasaran KHM kepada jurulatih Sarjit dan dia pun ada sasaran peribadinya sendiri jadi, apa yang dia beritahu sebelum ini dia berasa yakin akan bawa pasukan kita ke Piala Dunia.
“KHM pun berasa gembira untuk pasukan kebangsaan dan juga pemain-pemain yang telah berjuang untuk negara,” katanya. – UTUSAN










