PETALING JAYA: Prestasi kurang memberangsangkan dua pelumba wanita negara di pusingan pertama Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth, Jumaat lalu memberi gambaran jelas skuad pecut wanita Malaysia masih jauh daripada tahap sebenar ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina akan membuka tirai dari 25 hingga 31 Mac ini.
Kegagalan ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri serta pelumba muda, Nur Alyssa Farid melepasi pusingan awal dalam acara pecut serta keirin menunjukkan disiplin kelajuan masih berada pada peringkat rendah.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui prestasi semasa kedua-dua pelumba itu masih belum mencapai sasaran terutama dalam sesi kelayakan flying 200 meter (m) sebelum menentukan kedudukan acara pecut individu.
“Untuk perempuan masih mencari-cari rentak lagi dan dalam flying 200m kita agak kecewa sikit sebab sasaran kita bawah 11 saat tetapi kedua-dua mereka catat masa 11 saat.
“Namun prestasi mereka masih dalam proses pembangunan kerana mereka baru masuk acara kelajuan dan memang belum ada kelajuan lagi buat masa ini,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Selain isu kelajuan, Harnizam turut mengakui faktor pengalaman perlumbaan turut memainkan peranan terutamanya Alyssa yang bertanding kali kedua di pentas senior, masih belum cukup matang dalam membuat keputusan taktikal di trek.
“Untuk perlumbaan ini kita anggap sebagai perlumbaan sahaja dan bukan sasaran sebenar kerana fokus utama kita adalah Kejohanan Asia nanti,” katanya.
Malaysia bagaimanapun tetap membawa sandaran kepada Izzah yang pernah menyumbang dua pingat emas pada ACC tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, namun dengan kemunculan ramai pelumba baharu dari China, cabaran di Tagaytay dijangka lebih sengit berbanding edisi sebelumnya. – UTUSAN










