ISTANBUL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui penyudah tumpul menyumbang kepada kekalahan 0-1 skuad kendaliannya kepada Galatasaray dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, semalam.
Dalam aksi di Stadium RAMS itu, skuad kendalian Slot dibolosi awal menerusi tandukan Mario Lemina pada separuh masa pertama dan mereka bernasib baik tidak ketinggalan dengan jurang jaringan lebih besar.
Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah mempamerkan aksi hambar dalam ksi itu dan dikeluarkan selepas sejam permainan dalam penampilan ke-81 rekodnya bersama Liverpool dalam Liga Juara-Juara.
“Kami memulakan perlawanan dengan baik dengan mempunyai tiga atau empat peluang yang sangat baik. Peluang terbaik ialah ketika Florian (Wirtz) berada di depan gol yang hampir terbuka, tetapi dia gagal menyudahkannya.
“Kami tidak mampu menjaringkan gol dan dengan serangan pertama mereka, ia membawa kepada sepakan sudut. Anda perlu beri kredit kepada cara mereka memanfaatkan peluang, mereka bermain seolah-olah itu peluang terakhir dalam hidup mereka.
“Itu sesuatu yang pasti kami boleh pelajari. Kadang-kadang kami mendapat peluang tetapi seolah-olah kami fikir kami akan mendapat 10 peluang lagi. Tempat ini memang sukar untuk dikunjungi, tetapi apabila anda sudah ketinggalan 1-0, ia menjadi lebih sukar,” kata Slot.
Berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berharap dapat menyelamatkan musim yang tidak menentu dengan menjuarai Liga Juara-Juara, namun kekalahan itu menambah lagi senarai persembahan tidak konsisten mereka.
Slot turut mempersoalkan keputusan VAR yang membatalkan gol Ibrahima Konate, sambil mendakwa terlalu banyak keputusan tidak memihak kepada mereka dalam dua kunjungan ke gelanggang Galatasaray musim ini. – AGENSI/UTUSAN










