PETALING JAYA: Kebangkitan pelumba China kini muncul ancaman terbesar buat dua pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjelang acara pecut individu pada baki dua hari terakhir Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina.
Dalam kem lelaki, perhatian terarah kepada duo China, Xie Han dan Li Zhi Wei yang masing-masing meraih emas dan perak acara keirin, Khamis lalu sekali gus dijangka memberi cabaran sengit kepada Ridwan.
Situasi itu menuntut Ridwan tampil lebih agresif terutama selepas kegagalan skuad pecut berpasukan negara meraih podium sebelum ini.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, China kini berada pada tahap berbeza hasil perubahan sistem pembangunan mereka.
“Memang betul China sekarang sudah tukar sistem kejurulatihan dan struktur mereka, jadi ia satu ancaman besar kepada kita kerana mereka ada ramai pelumba dan pembangunan yang sangat luas.
“Bila kita tengok mereka ada banyak velodrom dan hanya pilih pelumba terbaik, memang jelas mereka sedang berada di tahap yang sangat berbahaya untuk dicabar,” kata Harnizam.
Dalam kem wanita, cabaran tidak kurang hebat apabila Yuan Li Ying dan Wang Lijuan yang menguasai acara keirin muncul sebagai penghalang utama buat Izzah dalam misi memburu kejayaan.
Harnizam turut mengakui faktor mental masih menjadi cabaran buat Izzah selepas insiden jatuh sebelum ini yang sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya.
“Dia masih terkesan dari segi keyakinan sebab insiden jatuh sebelum ini dan itu beri kesan kepada mental terutama bila masuk selekoh dengan tekanan G-force.
“Jadi fokus kami sekarang lebih kepada stabilkan semula prestasi dan perbaiki catatan masa supaya dia mampu kembali bersaing walaupun tekanan daripada China dan Jepun semakin kuat,” katanya.
Untuk rekod, pada edisi lalu di Nilai, Negeri Sembilan, Ridwan terlepas podium selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat, manakala bagi acara pecut wanita, ratu trek negara, Izzah menghadiahkan pingat gangsa. – UTUSAN










