Lindungi bumi selamatkan masa hadapan

Lindungi bumi selamatkan masa hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Mac setiap tahun membawa mesej yang amat penting kepada seluruh masyarakat dunia. 

Ini kerana merupakan bulan yang dipenuhi dengan perayaan alam semula jadi, kesedaran tentang kepelbagaian biologi serta peringatan terhadap tanggungjawab menjaga bumi. 

Tahun ini khususnya menampilkan tema yang sangat relevan, “Tumbuhan Ubatan dan Aromatik: Memelihara Kesihatan, Warisan dan Mata Pencarian”. Tema ini bukan sahaja menekankan nilai tumbuhan dalam kehidupan manusia tetapi juga menghubungkan warisan budaya, kesihatan masyarakat, dan kelestarian ekonomi dengan pemuliharaan kepelbagaian biologi. 

Disamping itu,  tema ini menuntut penyelidikan yang lebih lagi dalam bidang sumber semula jadi untuk perubatan dan kesihatan, bukan sahaja meneroka perubatan tradisional tetapi menghadapi cabaran penyakit-penyakit baharu dan jarang jumpa.

 

HARI HIDUPAN LIAR SEDUNIA  (3 MAC)

Hari Hidupan Liar Sedunia yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi fokus kepada perlindungan spesies terancam dan habitat semula jadi. 

Pada tahun ini, tema tumbuhan ubatan dan aromatik mengingatkan kita yang flora bukan sekadar hiasan tetapi sumber kesihatan dan mata pencarian. 

Malaysia yang kaya dengan hutan tropika mempunyai ribuan spesies tumbuhan ubatan yang menjadi asas kepada perubatan tradisional dan moden. 

Kekayaan tumbuhan ubatan yang berpotensi menuntut lebih kajian dilakukan. Universiti yang dikenalpasti sebagai peneraju bidang tumbuhan ubatan mesti mengambil tanggungjawab.

Tema tahun ini lebih kepada tumbuhan ubatan dan aromatik. Tumbuhan popular seperti Tongkat Ali, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Lidah Buaya, Mengkudu dan lain-lain kumpulan halia seperti Cekur, Kantan, Temu Lawak, Kunyit, Lengkuas dan Halia Bara memang selalu disebut. 

Ulam-ulam seperti ulam raja, pegaga, daun kesum, daun kaduk, petai dan jering memang tidak asing lagi. Tumbuhan ini mempunyai nilai terapeutik yang tinggi untuk merawat pelbagai penyakit.

 

HARI HUTAN ANTARABANGSA (21 MAC)

Hutan adalah nadi kehidupan. Hari Hutan Antarabangsa mengingatkan kita hutan bukan sekadar habitat haiwan tetapi juga sumber air bersih, udara segar dan kesejahteraan komuniti. 

Hutan tropika Malaysia menyimpan kepelbagaian biologi yang luar biasa, menjadi benteng terhadap perubahan iklim dan menyokong ekonomi desa melalui hasil hutan bukan kayu. 

Sambutan ini menekankan hutan yang sihat bermakna komuniti juga sihat.

Hidupan liar terancam sangat sensitif dengan keadaan hutan di Malaysia yang menjadi habitat mereka semakin mengecil, terpencil dan terosot. 

 

HARI AIR SEDUNIA  (22 MAC)

Air adalah asas kehidupan. Hari Air Sedunia memberi fokus kepada kepentingan air tawar dan pengurusan lestari sumber air. Sungai, tasik, dan hutan adalah sistem semula jadi yang memastikan bekalan air bersih kepada masyarakat. 

Proses semula jadi seperti simpanan air di hutan, pelepasan perlahan melalui sungai dan tasik serta penyejatan di udara adalah mekanisme penting yang mesti dipelihara. 

Tanpa hutan, sumber air bersih akan terjejas dan masyarakat akan berdepan krisis kesihatan serta ekonomi.

 

EARTH HOUR (28 MAC)

Earth Hour yang dianjurkan oleh  Tabung Alam Sedunia (WWF) adalah simbol komitmen global terhadap bumi. Dari jam 8:30 malam hingga 9:30 malam, individu dan organisasi digalakkan mematikan lampu tidak penting sebagai tanda kesedaran terhadap perubahan iklim. 

Namun mesej Earth Hour lebih besar daripada sekadar memadamkan lampu. Earth Hour mengingatkan kita tentang isu tenaga, pencemaran plastik, pembaziran sumber dan kesan rumah hijau terhadap planet.

 

HARI BURUNG PEMANGSA (MINGGU KEDUA) 

Selain perayaan antarabangsa, Malaysia turut meraikan Hari Burung Pemangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sejak lebih 25 tahun lalu di Tanjung Tuan, Melaka. 

Sambutan ini diiktiraf antarabangsa sebagai aktiviti penting meraikan penghijrahan beribu-ribu burung pemangsa melintasi Selat Melaka dalam perjalanan ke hemisfera utara. 

Setiap tahun, ahli MNS bersama pelajar sekolah dan universiti meraikan penghijrahan burung pemangsa dengan pelbagai aktiviti. 

Burung pemangsa seperti helang adalah indikator kesihatan ekosistem. Kehadiran mereka menandakan keseimbangan rantai makanan dan kestabilan habitat. Sambutan ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali burung pemangsa tetapi juga menanam rasa bangga terhadap warisan alam Malaysia.

 

KESEDARAN dan tindakan kolektif diperlukan untuk memastikan bumi yang sihat, lestari dan kaya dengan kepelbagaian biologi untuk generasi akan datang.

 

PERANAN SEKOLAH DAN GENERASI MUDA

Bulan Mac adalah masa terbaik untuk menggerakkan generasi muda. Sekolah-sekolah di seluruh negara mesti mengambil peluang ini untuk mendidik pelajar tentang kepelbagaian biologi, hutan, air dan perubahan iklim. 

Aktiviti seperti menanam pokok, membersihkan pantai, menanam bakau, merentas hutan, memerhati burung, melaksanakan projek kitar semula atau menghadiri acara di zoo, taman botani dan kawasan pemuliharaan boleh dijadikan sebahagian daripada sambutan. 

Cara ini boleh mendekatkan pelajar dengan alam. Pelajar bukan sahaja belajar secara teori tetapi juga menghayati pengalaman praktikal.

Kesemua perayaan yang disebut ini memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia untuk menyedari kesihatan planet berkait rapat dengan kesihatan manusia. 

Perubahan iklim, pencemaran plastik dan kehilangan habitat adalah cabaran besar yang memerlukan tindakan kolektif. 

Bulan Mac 2026 bukan sekadar bulan biasa tetapi mengingatkan yang bumi ini adalah amanah. 

Kita mesti menghargai hutan, melindungi kepelbagaian biologi, memastikan bekalan air bersih dan mengurangkan kesan rumah hijau. 

Setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan kelestarian alam. 

Dengan kesedaran dan tindakan bersama, kita dapat memastikan bahawa generasi muda akan mewarisi bumi yang sihat, lestari dan penuh dengan kepelbagaian biologi. –UTUSAN

 

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×