ISU pemecatan dan penggantungan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sekadar soal prosedur tetapi ujian integriti dan keberanian parti, bahkan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan lembaga disiplin.
Walaupun segelintir pihak bersuara lantang di luar, mengkritik tanpa henti tetapi mereka sebenarnya hanyalah boneka politik yang hilang arah dan hanya menumpang nama perjuangan untuk kepentingan peribadi.
Bagi Naib Presiden Bersatu yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden, DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU, mereka yang dulunya lantang menyuarakan isu kerajaan sebagai pembangkang kini senyap dan keberanian mereka hanyalah sandiwara politik.
Menyatakan hal itu kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau memberitahu pihak yang cuba menafikan kepimpinan
Bersatu, hakikatnya tidak memahami erti kesetiaan.
Dalam wawancara yang turut disertai, jurufoto, SYAKIR RADIN, Ahmad Faizal turut berkongsi Bersatu kini bergerak dengan lebih fokus, lebih bersih dan lebih kuat.
UTUSAN: Isu yang hangat diperkatakan ketika ini tentang penggantungan ahli parti sedangkan mereka ini sudah tiada hati untuk terus berjuang dalam Bersatu?
AHMAD FAIZAL : Setiap parti politik mempunyai perjuangan, peraturan dan garis panduan tersendiri. Dalam parti ini, kami turut menetapkan etika serta tata kelakuan yang jelas. Semua ini diwujudkan bagi memastikan budaya parti kekal sihat dan tidak dicemari unsur toksik.
Tindakan yang diambil bukan bertujuan menimbulkan suasana toksik, sebaliknya untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku dalam parti. Apabila terdapat tindakan atau tingkah laku yang boleh menjejaskan keharmonian serta imej parti, maka langkah sewajarnya perlu diambil. Inilah tanggungjawab yang perlu dipikul demi menjaga kestabilan dan integriti organisasi.
Perlu difahami juga keputusan tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana individu tetapi dilakukan oleh lembaga disiplin parti, sebuah badan yang dilantik mengikut perlembagaan parti.
Malah, ketika Datuk Seri Hamzah Zainudin masih berada dalam parti, lembaga disiplin yang sama turut berfungsi dan melaksanakan tanggungjawabnya.
Pada ketika itu, pelbagai tindakan disiplin pernah diambil dan dipersetujui oleh kepimpinan termasuk Hamzah dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. Semua pihak menerima keputusan tersebut kerana dibuat berdasarkan peraturan dan proses yang ditetapkan. Namun kini, apabila tindakan yang sama dikenakan terhadap pihak tertentu, timbul pula pelbagai reaksi dan kritikan.
Apabila parti mengetahui ada pihak yang melakukan gerakan lain di belakang tabir, perkara itu tidak boleh dipandang ringan. Apabila aduan diterima dan kesalahan disiasat sebelum tindakan disiplin diambil, tiba-tiba pula parti dilihat seolah-olah bersikap kejam atau tidak adil. Sedangkan proses tersebut dilakukan mengikut peraturan dan mekanisme yang ditetapkan dalam parti.
Apa yang lebih menghairankan, pihak yang kini berada di luar parti dilihat semakin aktif menyertai pelbagai program dan tampil mengenakan baju putih, sesuatu yang sebelum ini jarang dilakukan.
Dalam setiap kesempatan, mereka seolah-olah begitu bersungguh-sungguh memburukkan Bersatu. Segala yang diperkatakan tertumpu kepada kelemahan parti, seolah-olah tidak ada lagi isu lain yang perlu disentuh.
Pada masa sama, kritikan terhadap kerajaan yang sebelum ini lantang disuarakan juga seakan-akan hilang. Isu-isu yang pernah dibangkitkan dahulu kini tidak lagi disebut. Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang pendirian sebenar mereka.
Kemudian timbul pula naratif mengenai usaha memperjuangkan perpaduan Melayu. Pada asasnya, tidak ada yang salah dengan gagasan perpaduan Melayu. Malah, perpaduan umat Islam adalah sesuatu yang amat baik. Namun persoalannya ialah bagaimana usaha tersebut dilaksanakan?
Jika matlamatnya benar-benar untuk menyatukan orang Melayu, mengapa pertemuan tersebut perlu diadakan secara tertutup di Bangkok? Mengapa tidak diadakan di negara sendiri? Malaysia mempunyai pelbagai tempat yang sesuai untuk perbincangan seperti balai raya, dewan mesyuarat atau masjid. Malah terdapat banyak ruang yang boleh menghimpunkan parti-parti Melayu untuk berbincang secara terbuka dan telus.
Apabila sesuatu yang dikatakan baik dilakukan secara sulit, ia secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat. Tindakan seperti ini juga boleh memberi gambaran seolah-olah ada agenda tersembunyi atau usaha yang bertentangan dengan pendirian yang pernah disuarakan sebelum ini.
Persoalannya, kenapa dalam kes Ronald dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin digantung, sedangkan mereka tidak mahu lagi bersama parti?
Saya tidak boleh bercakap mewakili lembaga disiplin tetapi yakin keputusan yang dibuat berdasarkan peraturan parti yang jelas. Badan ini mempunyai beberapa pilihan tindakan disiplin, termasuk memberi amaran, membebaskan dengan amaran, menggantung keahlian, melucutkan jawatan atau sebagai langkah terakhir, memecat ahli daripada parti.
Semua tindakan ini berada dalam bidang kuasa lembaga disiplin dan tidak semestinya perlu dibawa kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Oleh itu, keputusan yang dibuat adalah mengikut proses dan peraturan parti yang telah ditetapkan.
Pun begitu, seseorang yang telah dikenakan tindakan disiplin mempunyai tempoh 14 hari bekerja untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan.
Tapi Datuk Seri, bukankah menjadi virus untuk terus membiarkan mereka yang sudah hilang ‘minat’ terhadap parti masih dalam Bersatu?
Masalah dalam parti tidak semestinya hilang walaupun seseorang digantung atau dipecat. Menggantung seseorang bermakna hak keahliannya ditangguhkan, dia tidak lagi boleh mengundi, menghadiri mesyuarat atau menyertai program parti. Namun, realitinya, ada juga ahli yang walaupun digantung atau diberi amaran, terus melakukan perkara sama seperti sebelum ini.
Ada ahli yang pernah berjumpa lembaga disiplin, mengaku kesalahan, menangis, memohon maaf dan akhirnya dibebaskan dengan amaran. Tetapi tingkah laku yang sama masih berulang.
Ini menunjukkan tindakan hukuman bukan sekadar soal menakutkan atau membalas dendam tetapi lebih kepada memastikan parti bebas daripada unsur toksik yang boleh merosakkan suasana dan budaya kerja dalam parti.
Lembaga disiplin bertindak bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi untuk menjaga integriti dan kesejahteraan parti secara keseluruhan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan peraturan dan perlembagaan parti, bertujuan mengekalkan disiplin dan memastikan parti tetap fokus kepada perjuangan kolektif, bukannya dirosakkan oleh individu yang mengutamakan kepentingan peribadi.
Ada ura-ura yang jika mereka dipecat menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin hilang sokongan di Dewan Rakyat kerana tidak ramai yang akan menyokongnya. Komen.
Muhyiddin tidak memerlukan sokongan peribadi di Dewan Rakyat kerana beliau bukan ketua pembangkang. Dalam Perikatan Nasional (PN), keputusan dibuat secara parti, bukan oleh ahli parlimen individu. Jika ahli parlimen diberi kebebasan untuk bertindak sendiri, ia boleh melemahkan disiplin dan menjejaskan kelangsungan keputusan parti pada masa hadapan.
Bagaimana pula pandangan Datuk Seri apabila beberapa penganalisis politik mencadangkan agar Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai presiden parti?
Muhyiddin kekal relevan dalam parti kerana beliau ialah presiden dan menegaskan komitmennya untuk memimpin parti sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kesihatan beliau kini stabil dan masih aktif serta berfikiran tajam.
Tahun ini, beliau bersama-sama parti merancang untuk memperkukuh aktiviti dan menyediakan strategi supaya parti dapat berfungsi lebih efektif sebagai pembangkang demi rakyat. Peranan beliau bukan sekadar kepentingan peribadi tetapi untuk parti dan perkhidmatan nasional.
Bagaimana dengan kekuatan parti? Sejauh mana dakwaan mengatakan parti ini semakin rapuh?
Kelemahan parti mula terserlah apabila ada ahli parlimen meninggalkan perjuangan asal kerana mengikuti seorang pemimpin, bukannya menumpukan kepada matlamat parti. Parti memberi peluang kepada mereka menjadi calon dan dipilih sebagai wakil rakyat tetapi tindakan meninggalkan perjuangan menunjukkan ketidaksetiaan.
Ahli politik yang hanya mengikut kepentingan peribadi atau mencari kebebasan selepas dipecat berbeza dengan ahli politik perjuangan, yang fokus membawa aspirasi ramai dan mengutamakan matlamat kolektif berbanding kumpulan kecil. Kejujuran terhadap perjuangan parti tetap menjadi penanda kesetiaan dan integriti ahli.
Dulu Datuk Seri adalah timbalan presiden, kemudian Hamzah menggantikan posisi itu. Kini, apabila Hamzah bertindak di luar jangkaan, adakah Datuk Seri melihat keputusan pelantikan Hamzah sebelum ini tersasar?
Kita ini manusia biasa dan memang sukar untuk menilai hati seseorang sepenuhnya. Pada ketika membuat keputusan, saya yakin pelantikan Hamzah sebagai timbalan presiden adalah tepat, sebagai persiapan untuk membina kepimpinan masa hadapan Bersatu dan negara.
Namun, selepas tempoh tertentu, saya perhatikan pergerakan beliau sedikit berbeza dan kumpulan sekelilingnya mula menunjukkan tanda melemahkan kepimpinan presiden.
Saya akui, mungkin kami gagal membaca isi hati Hamzah sepenuhnya dan terpukau dengan kata-kata beliau sehingga kami mengekalkan beliau sebagai timbalan presiden tanpa pertandingan.
Kini, majoriti ahli pusat menyedari kekhilafan itu dan mengambil iktibar daripada situasi ini. Ia menjadi pengajaran penting walaupun keputusan dibuat dengan niat baik dan keyakinan, namun perubahan tingkah laku individu boleh berlaku dan sistem parti perlu sentiasa bersedia menghadapi dinamika sedemikian dengan bijaksana.
Sejauh mana perkenalan Datuk Seri dengan Hamzah?
Saya mengenali Hamzah sudah lama, sejak mula aktif dalam politik dan memegang jawatan dalam Pemuda UMNO Cawangan. Pada masa itu, beliau adalah Ketua Pemuda Bahagian. Hubungan ini menunjukkan betapa rapatnya kami dalam arena politik sejak dahulu.
Daripada pemerhatian saya, Hamzah memang mempunyai modus operandi tertentu. Beliau lebih cenderung bertindak sebagai seorang operator berbanding seorang pemimpin secara tradisional.
Sebagai operator, Hamzah gemar memastikan matlamat tercapai dengan apa jua cara, walaupun kadang-kadang itu bermaksud menghalalkan jalan untuk mencapai sasaran.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, beliau tetap berani redah asalkan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai. Sifatnya ini menunjukkan keberanian dan kecekapan dalam melaksanakan tugas tetapi ia juga menimbulkan cabaran apabila prinsip operator lebih dominan berbanding pendekatan kepimpinan yang inklusif dan kolaboratif.

Pas dilihat lebih cenderung dengan Hamzah, tidakkah ia memberi kesan kepada Bersatu dan PN?
Semangat yang ada dalam PN seharusnya menghormati kepimpinan sedia ada. Kita tidak boleh menerima pihak yang hanya bersetuju dengan perjuangan parti tetapi menolak pemimpin yang sah.
Jika seseorang ingin menyertai PN, mereka perlu menerima kepimpinan parti yang ada sepenuhnya. Tidak boleh pilih-pilih, Saya mahu parti ini tetapi musuh kepada Muhyiddin.
Sama seperti jika sebahagian besar ahli menyokong Pas tetapi menolak kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN, itu tidak boleh diterima. Konsepnya jelas, menyokong parti bermakna menerima parti seutuhnya, termasuk pimpinan yang dipilih secara sah.
Nak kata tentang Pas berpihak pada kem Hamzah perlu melihat pada keadaan dan beberapa faktor. Contohnya, baru-baru ini kita baru sahaja selesai sesi Parlimen. Dalam sesi tersebut, kita nampak Hamzah masih aktif mengetuai pembangkang dan sebagai rakan dalam blok pembangkang, mereka perlu memastikan hubungan sesama parti terjaga. Oleh itu, tanggungjawab menjaga hubungan antara pimpinan Pas dan Bersatu tetap perlu dilakukan secara serentak.
Saya tidak melihat sebarang masalah serius antara Pas dan Bersatu secara rasmi. Tetapi saya juga mengakui, ada segelintir pimpinan Pas yang mempunyai hubungan peribadi dan persahabatan rapat dengan Hamzah. Oleh itu, tidak dapat dielakkan jika kadangkala terkeluar kenyataan, gambar atau tindakan yang kelihatan lebih memihak kepada Hamzah. Keadaan ini berlaku kerana situasi semasa dan konteks masa itu.
Jadi, sekiranya nampak seolah-olah ada kecenderungan tertentu, ia hanyalah akibat daripada situasi pada masa itu, bukan bermaksud wujud konflik atau perpecahan yang serius. Saya nyatakan ini secara ikhlas.
Pandangan Datuk Seri apabila di media sosial, ada segelintir pihak mengatakan Bersatu seolah-olah koyak, sedangkan pihak di kem Hamzah kurang memberi kenyataan dalam isu konflik ini berbanding kem Muhyiddin?
Saya rasa kita lebih menumpukan perhatian kepada diri sendiri. Kami sedar banyak perkara yang masih lemah dan perlu diperbaiki. Fokus kami adalah untuk memperkukuh diri serta parti. Kami sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri, bukannya hanya menuding jari kepada pihak lain.
Jika ada individu yang bertindak menyerang atau mengkritik, itu tidak mewakili keseluruhan parti. Parti tetap utuh dan tidak goyah. Kita perlu ingat untuk menilai diri sendiri sebelum menilai orang lain.
Walaupun ada orang bercakap banyak, itu hanyalah diri mereka sendiri. Parti tidak menafikan kewujudan mereka tetapi kita tidak menumpukan perhatian kepada perkara itu.
Sekarang, kami bergerak ke hadapan. Fasa kami kini adalah memperbaiki bahagian, menyiapkan rancangan dan menunjukkan prestasi yang baik.
Sejauh mana kebenaran dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghancurkan keharmonian Bersatu?
Sejak parti ditubuhkan pada 2016, Bersatu kini berada pada tahap pentadbiran yang sangat kemas. Sejak Mohamed Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung, beliau menunjukkan kepimpinan yang teliti dalam setiap tindakan dan pentadbiran parti.
Hari ini, bahagian-bahagian parti berada dalam keadaan yang memuaskan, manakala pentadbiran di peringkat pusat juga semakin baik dan lancar. Bagi saya, beliau adalah aset yang sangat bernilai untuk Bersatu.
Saya tidak melihat sebarang punca pergolakan atau masalah dalam pentadbiran, kecuali bagi mereka yang cuba mencemburui kerja baik yang dilakukan. Sesetengah pihak mungkin melihat beliau sebagai ancaman kepada agenda politik mereka sendiri, bukannya mengikuti politik perjuangan yang telah digariskan parti. –UTUSAN










