Ekonomi meningkat tapi persepsi rakyat masih diragui

Ekonomi meningkat tapi persepsi rakyat masih diragui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT paradoks yang semakin ketara dalam wacana politik Malaysia masa kini. Di satu pihak, kerajaan memaparkan data ekonomi yang menunjukkan kemajuan yang nyata. Di pihak yang lain, majoriti rakyat masih merasakan kehidupan harian belum berubah secara bermakna. 

Paradoks ini bukan sekadar perbezaan persepsi yang remeh  sebaliknya mencerminkan jurang yang lebih mendalam antara prestasi makroekonomi sesebuah negara dengan pengalaman sebenar rakyat di peringkat bawahan. 

Memahami mengapa jurang ini wujud dan bagaimana ia membentuk dinamik kepercayaan politik, adalah persoalan yang mendesak untuk ditangani.

Pada Oktober 2024, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 mengumumkan kadar kemiskinan tegar negara menurun kepada 0.09 peratus iaitu hampir mencapai sifar manakala pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM9,155 pada 2024.

Angka-angka ini, yang dikira menggunakan metodologi yang diterima pakai secara antarabangsa, adalah sahih dan tidak boleh dipandang ringan.

Namun statistik purata nasional mempunyai had yang inheren kerana cenderung menyembunyikan ketidaksamaan taburan yang signifikan. Apabila pendapatan median isi rumah di Kuala Lumpur mencecah RM10,802 sebulan sementara pertumbuhan pendapatan tahunan di Perak hanya 2.1 peratus (paling rendah dalam negara), maka angka purata nasional tidak lagi dapat mewakili realiti kehidupan sebahagian besar rakyat. 

Bagi isi rumah yang membelanjakan lebih separuh pendapatan mereka untuk keperluan asas seperti sewa, makanan, dan persekolahan anak-anak, maka statistik purata itu terasa jauh dari kenyataan yang mereka hadapi setiap hari.

Persoalan ini semakin ketara apabila diteliti dari sudut kuasa beli sebenar. Laporan Bank Negara Malaysia mendedahkan harga makanan melonjak 17.5 peratus dari suku pertama 2020 hingga suku pertama 2025,  lebih dua kali ganda berbanding kenaikan gaji pekerja swasta nominal yang hanya 7.9 peratus dalam tempoh yang sama. Ini bermakna walaupun pendapatan nominal bertambah tetapi kuasa beli sebenar rakyat sebenarnya menyusut.

Keadaan ini semakin jelas apabila gaji minimum RM1,700 sebulan dibandingkan dengan anggaran Gaji Kehidupan Wajar yang dirujuk dalam Panduan Belanjawan 2024/2025 pada sekitar RM3,100 sebulan,  suatu anggaran konseptual yang belum ditetapkan secara formal, namun cukup untuk menggambarkan jarak antara dasar dan keperluan sebenar rakyat.

Fenomena ini bukan unik bagi Malaysia. Pippa Norris dan Ronald Inglehart dalam Democratic Deficit (2011) mendapati corak yang serupa melanda pelbagai demokrasi  apabila pertumbuhan ekonomi agregat tidak dinikmati secara merata malah cenderung melahirkan ketidakpuasan yang meluas kerana rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan pengalaman peribadi, bukan statistik nasional.

Walau bagaimanapun, analisis ini tidak lengkap tanpa mempertimbangkan dimensi kepercayaan institusi. Kajian Belia Merdeka Center (April–Mei 2024) mendedahkan 59 peratus responden muda tidak mempercayai ahli politik secara umum, Ini petanda serius tentang arah kepercayaan generasi akan datang.

Tinjauan Merdeka Center Disember 2024 turut mendapati hanya 42 peratus responden percaya kerajaan menjunjung kedaulatan undang-undang, manakala 52 peratus tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan memerangi rasuah. 

Data ini mendedahkan hakisan kepercayaan terhadap institusi yang bersifat sistematik. Apabila kepercayaan retak, fakta kehilangan kredibiliti menyebabkan rakyat bukan menolak data kerana tidak memahaminya tetapi mempertikaikan legitimasi pihak yang membawanya.

Keadaan ini sejajar dengan pemerhatian oleh Russell Dalton dalam Citizen Politics (2014), bahawa krisis kepercayaan institusi bukan fenomena tempatan tetapi  trend global yang menjejaskan demokrasi maju dan membangun serentak. 

Thailand pasca-2014 dan Indonesia semasa pemerintahan Jokowi dalam penggal pertama adalah contoh serantau yang lebih dekat dengan kedua-dua kes, ketidakpuasan rakyat berterusan walaupun data pertumbuhan ekonomi menunjukkan arah positif kerana pengagihan manfaat dirasai tidak saksama.

Di sinilah terletaknya dimensi paling kritikal dalam perbincangan ini. Ada kecenderungan untuk menolak persepsi negatif rakyat sebagai sekadar hasil manipulasi pembangkang atau gelembung media sosial. 

Walaupun faktor itu tidak boleh dinafikan sepenuhnya tetapi menjadi berbahaya apabila dijadikan alasan untuk tidak menangani kebimbangan rakyat yang sah.

Dalam sistem demokrasi, persepsi rakyat bukan sekadar fenomena psikologi yang boleh diperbetulkan melalui kempen komunikasi yang lebih canggih. Larry Bartels dalam Unequal Democracy (2008) menunjukkan apabila kerajaan gagal menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada peningkatan kehidupan nyata golongan bawahan, krisis legitimasi adalah akibat yang hampir tidak dapat dielakkan.

Persepsi kolektif itu sendiri berfungsi sebagai kuasa politik yang nyata  mempengaruhi keyakinan pelabur, kestabilan sosial dan keputusan pengundian. Mengabaikannya bukan kesilapan komunikasi semata-mata tetapi kegagalan tadbir urus.

Bukti empirikal menunjukkan persepsi rakyat bukanlah sesuatu yang statik. Ia berubah apabila pengalaman nyata rakyat berubah. Tinjauan Merdeka Center Mei 2025 melaporkan peningkatan rating kelulusan Perdana Menteri kepada 55 peratus.

Peratusan pengundi yang beranggapan negara menuju ke arah salah turut menurun daripada 61 peratus kepada 50 peratus dalam tempoh setahun. Perubahan itu bukan hasil kempen imej tetapi kerana rakyat mula merasai secara langsung kestabilan harga, kenaikan gaji minimum, dan inflasi yang terkawal pada paras 1.4 peratus. 

Ini selari dengan tesis Michael Lewis-Beck dalam Economics and Elections (1988) yang penilaian rakyat terhadap kerajaan sangat ditentukan oleh pengalaman ekonomi yang dirasai secara peribadi, bukan sekadar angka makroekonomi yang dilaporkan.

 

WALAUPUN statistik menunjukkan kemajuan ekonomi namun pengalaman sebenar rakyat di peringkat akar umbi masih berbeza dan menimbulkan jurang kepercayaan terhadap institusi kerajaan.

 

KERANGKA PENTADBIRAN

Kesimpulannya, persoalan tentang apa yang rakyat mahu tidak seharusnya dijawab dengan menghulurkan lebih banyak statistik kejayaan. Rakyat sudah cukup jelas menyatakan kehendak mereka melalui pelbagai saluran seperti tinjauan pendapat, pilihan raya dan suara harian mereka.

Apa yang diperlukan ialah kerangka tadbir urus yang mampu menjambatani jurang antara pencapaian makroekonomi dengan pengalaman sebenar rakyat di peringkat akar umbi, sambil memulihkan kepercayaan institusi yang telah lama terhakis. 

Selagi jurang ini tidak ditangani secara jujur serta sistematik dan selagi persepsi rakyat terus dilabel sebagai salah faham tanpa usaha serius untuk memahami punca sebenarnya, maka angka-angka kejayaan itu akan terus berbisik kepada angin, jauh dari telinga rakyat yang menghayatinya setiap hari. –UTUSAN

 

DATUK Norshida Ibrahim ialah Ketua Wanita UMNO Segamat dan calon Doktor Falsafah (PhD) Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×