KUALA LUMPUR: Penyertaan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani ke dalam kem latihan skuad Piala Thomas/Uber memberi gambaran awal bahawa beregu lelaki No. 8 dunia itu bakal tampil pada kejohanan dwi tahunan tersebut pada 29 April ini di Horsens, Denmark.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemilihan beregu lelaki dibuat berdasarkan ranking dunia masing-masing dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebagai gandingan pertama serta kedua dan diikuti Sze Fei-Izzuddin.
“Boleh dikatakan pemilihannya tiga teratas (ranking dunia), tetapi, kita juga tak tahu apa yang bakal berlaku pada kejohanan-kejohanan sebelum itu, (kalau) tiba-tiba Arif Junaidi-Yap Roy King catat keputusan di luar jangkaan, maka ia cerita lain.
“Sze Fei-Izzuddin setakat ini memang ikut latihan bersama kita seminggu dua kali, tetapi, berdasarkan perbincangan, mereka juga akan akan ikut kita sertai kem latihan Piala Thomas pada April,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Menurut Rexy, rundingan yang dilakukan bersama Sze Fei-Izzuddin bukan setakat penyertaan mereka pada Piala Thomas semata-mata, malah turut melibatkan Sukan Asia di Jepun.
Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, kem latihan tersebut dijangka berlangsung selepas Kejohanan Badminton Individu Asia pada 7-12 April di Ningbo, China.
Katanya, seperti mana kem latihan Sukan Olimpik Paris, pihaknya turut memutuskan untuk terbang ke Denmark lebih awal dengan kem latihan tersebut akan bermula pada 14 April.
“Sebenarnya persediaan Piala Thomas telah kita lakukan sejak November lagi termasuk rencana-rencana yang bakal kita lakukan di sana.
“Seperti mana kem Sukan Olimpik, kita juga telah menyusun perancangan termasuk membawa chef dan pakar pemakanan ke Denmark, malah, rakan sepelatih yang bagus juga kita terbangkan bersama pasukan,” katanya. – UTUSAN










