KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak meletakkan sasaran tinggi apabila mahu gandingan utama, Pearly Tan-M. Thinaah muncul juara pada Kejohanan Badminton All England selepas memanfaatkan sepenuhnya blok latihan selama sebulan yang dianggap cukup kritikal dalam kalendar musim ini.
Menurut Rosman, tempoh tersebut digunakan hampir sepenuhnya untuk memperkukuh aspek kecergasan fizikal sebagai asas menghadapi bukan sahaja All England, malah siri kejohanan besar yang bakal menyusul.
“Sasaran adalah seperti biasa, iaitu kita nak menang (juara). Seperti saya cakap sebelum ini, Pearly-Thinaah memang tidak boleh lari daripada sasaran yang tinggi dalam setiap kejohanan disertai.
“Selain itu, tempoh (rehat) sebulan adalah lama. Atas sebab itu saya harap mereka tidak berdepan sebarang masalah di pusingan pertama dan kedua kerana perlu kembali menyesuaikan diri,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Sebelum ini, pasangan No.2 dunia itu menamatkan kemarau 15 tahun negara di Indonesia Masters, bulan lalu apabila dinobatkan juara pada kejohanan bertaraf Super 500 tersebut.
Dalam pada itu, Rosman mengakui naib juara dunia 2025 itu melalui fasa keletihan sepanjang beberapa minggu awal latihan sebelum bebanan fizikal dikurangkan dan tumpuan kembali diberikan kepada latihan gelanggang bagi memastikan sentuhan permainan lebih tajam.
“Ya, saya rasa tempoh sebulan memang banyak kita tumpukan kepada fizikal mereka, jadi banyak perkara tertumpu kepada meningkatkan mereka punya kapasiti fizikal dan kita gunakan sepenuhnya sebab tahun ini hanya ada dua rehat latihan yang lama.
“Jadi memang blok ini kita gunakan kebanyakannya, sekurang-kurangnya 70 peratus lebih fokus dekat fizikal bukan hanya untuk All England tetapi untuk kejohanan yang akan datang sebab blok lain agak pendek,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi All England dalam kategori beregu wanita sejak kejohanan badminton tertua dunia itu dianjurkan pada 1899 manakala Lee Zii Jia merupakan pemain negara terakhir memenanginya pada 2021. – UTUSAN










